DALAM seminggu yang lalu, kita telah melalui dua perkembangan yang menyayat hati dan mendebarkan. Pertama, pengumuman Presiden Trump yang mengiktiraf Baitulmaqdis (Jerusalem) sebagai ibu kota Israel.

Kedua, penegasan kedua Peguam Negara AS tentang penyangakan wang yang berkaitan 1MDB.

YAHUDI DAN JERUSALEM: Apabila hal Yahudi diungkit, episod-episod ‘holocaust’ yang kononnya mengorbankan berjuta-juta nyawa Yahudi di sekitar Perang Dunia Kedua tidak ketinggalan dirujukkan.

Begitu juga ‘Perisytiharan Balfour 1917’ yang menjanjikan penubuhan sebuah negara Yahudi bernama Israel. Kematian Profesor Ismail Faruqi (orang Palestin) dan isterinya di kota Philaphelphia, AS, pada tahun 1986 mengingatkan semua orang Islam bahawa Yahudi boleh membuat apa saja untuk membunuh tokoh-tokoh tertentu Islam.

Kejadian buruk begitu sering ditutupkan dengan pelbagai alasan. Berkenaan pembunuhan Faruqi itu, sebab yang diberikan polis ialah ia dilakukan oleh pencuri yang menyelinap masuk ke dalam rumahnya pada waktu malam.

Pastinya tiada yang disyaki, yang tinggal hanya bekas dan kesan bagaimana pencuri berkenaan menerobos. Sebaliknya apabila pembunuh dikenal pasti seperti berlaku di sebuah kota Arab, Perdana Menteri Israel lantas mengemukakan justifikasi bahawa dunia bersikap pura-pura marah sedangkan kejadian yang berlaku ialah untuk membanteras terorisme.

Pihak AS hanya tunjuk-tunjuk marah dengan mengeluarkan beberapa kenyataan tidak bersetuju tetapi selepas beberapa hari keadaan bertukar semula seperti asal, bagaikan tiada apa-apa yang berlaku.

Pembunuh pulang ke Israel, dan tiada sebarang berita diketahui selepas itu. Memandang segalanya itu, kita teringat ungkapan Inggeris ‘air mata buaya’. Ertinya, seperti yang diketahui umum, ialah ‘tangisan pura-pura’.

Pada akhir Perang Dunia Pertama, 1917, Menteri Luar UK bernama Balfour mengutus surat kepada pemimpin Yahudi di London menyatakan persetujuan kerajaan UK untuk menubuhkan sebuah negara Yahudi dalam masa terdekat.

Ini berlaku serentak dengan kekalahan Uthmaniah Turki di bumi Arab ketika mana Palestin jatuh ke tangan UK. Keadaan yang tidak menentu selepas itu menyaksikan UK melanjutkan pegangannya ke atas Palestin sehinggalah Israel ditubuhkan selepas Perang Dunia Kedua berakhir pada 14 Mei 1948. Tentunya dunia Islam tersangat marah.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang baru dibentuk mewajarkan wujudnya Israel. Begitu banyak negara ahli dirasuahi Yahudi untuk mendapat undi dua-pertiga di persidangan agung PBB itu sebelum Presiden Truman memberikan sokongannya demi penubuhan Israel.

Tarikh 13 Mei yang dianggap majal dielakkan sehari, menjadi 14 Mei. Perang pun tercetus melibatkan beberapa buah Arab dengan Israel. Sejarah telah merakamkan kekalahan Arab 1948 – begitu juga kekalahan 1973.

Dari tangan UK, Palestin berpindah ke tangan AS. UK dan AS bagaikan sepupu. Yang satu berdesing, yang satu lagi mendapat selesema. Nasib malang anak watan Palestin hanya ditangisi oleh UK, Eropah dan Barat dengan ‘air mata buaya’.  

Usaha gigih Presiden Obama untuk mengubah realiti itu terkandas. Pengaruh Yahudi secara langsung dan tidak di AS adalah amat kuat. Presiden Trump sudah belajar daripada Presiden Truman: betapa marahnya dunia Islam, segalanya akan reda selepas kuasa senjata dan wang memainkan peranan masing-masing.

KLEPTOKRAT: Bunyi perkataan ini agak ganjil tetapi ertinya amat senang: ‘golongan pemimpin negara yang menyangak wang rakyat’. Beberapa hari lalu, Peguam Negara AS, Jeff Session telah menyatakan bahawa usaha sedang dilakukan untuk merampas balik wang berbilion dolar yang ditransaksi secara kotor di AS oleh pihak-pihak tertentu dari beberapa buah negara.

Sekali lagi dalam beberapa kali, 1MDB disebut. Ini adalah ulangan kecaman bekas Peguam Negara AS, Loretta Lynch pada 20 Julai 2016 terhadap perkara sama. Dalam jangka waktu antara dua Peguam Negara AS itu, sudah timbul tindakan menangguh tindakan sivil untuk memudahkan tindakan jenayah terhadap penyangakan yang sama.

Tindakan sivil memungkinkan perampasan harta sangakan, sedangkan tindakan jenayah memungkinkan mereka yang bersalah ditangkap. Tangan AS amat panjang untuk mencekup sesiapa yang hendak dicekup. Interpol dan CIA sudah terbukti dalam sejarah sebagai badan yang amat berkesan untuk maksud itu.