FILEM atau video dipanggil juga imej bergerak. Agak lama juga Panggung Negara UK di tebing Sungai Thames, London, memakai ‘imej bergerak’ untuk maksud filem dan video.

Baik apa pun, kita sedia memahami apa dia dua jenis media ini. Bagi saya, banyak maklumat dan vista dunia dulu dan terkini diperkenalkan oleh filem. Maklumat yang lebih mendalam dan luas selepas itu didapati pula daripada pembacaan yang tertumpu atau spontan.

Namun begitu kesan yang ditinggalkan oleh filem adalah lebih tebal dan tahan lama malah bagaikan kekal. Sebaliknya, apa-apa yang tidak dijadikan filem, maka pembacaan mengambil tempat kedua.

Ketika di sekolah menengah Inggeris dalam tahun 1956, filem Ten Commandments atau Sepuluh Rukun menjadi paling laris di dunia. Ini kerana aspek-aspek filem itu yang cemerlang.

Ceritanya tentang  Nabi Musa AS, kemampuan baginda yang dianugerah Tuhan melakukan tindakan mukjizat membelah laut, ular baik menelan ular sihir dan lebih dari segalanya membebaskan bani baginda, Israel, dari perhambaan Firaun waktu itu.

Kepimpinan baginda diselewengkan selepas itu oleh watak-watak tertentu dalam bani itu yang diikuti ramai pengikut. Sepuluh Rukun yang dianugerahkan Tuhan kepada Nabi Musa AS untuk baninya itu diperlekehkan.

Tidaklah mengejutkan beribu tahun orang Yahudi melata di Eropah dan di tempat-tempat lain di dunia. Dipendekkan cerita, hanya pada tahun 1948, selepas Bangsa-Bangsa Bersatu ditubuhkan, barulah bumi Yahudi bernama Israel diciptakan atas inisiatif AS melalui anggukan Presiden Truman.

Perang, konfrontasi, kecoh besar dan kecil antara Yahudi dengan Peribumi asal, Palestin, kekal hingga sekarang – usahlah disebut kezaliman yang sudah berlaku.

Tiga tahun selepas filem Sepuluh Rukun itu, terdapat pula filem maha agung, Ben Hur. Jika Sepuluh Rukun berkenaan Nabi Musa AS, Ben Hur pula tentang Nabi Isa AS.

Walaupun begitu, keistimewaan mukjizat yang dianugerahkan Tuhan kepada baginda berdua terbukti digunakan untuk kebaikan manusia dan kemanusiaan. Antaranya Nabi Isa AS mampu menyembuhkan mereka yang mengalami sakit kusta, penyakit yang membunuh insan berleluasa waktu itu.

Dari dua filem itu saja, kita dapat menghayati bagaimana luasnya perbezaan antara agama Yahudi dengan agama Kristian. Dalam tahun 1993, saya mendengar seorang wanita Yahudi menghina Nabi Isa AS dan agama Kristian ketika kami dalam satu grup berkunjung ke Itali, khususnya Rome, Milan, Florence dan beberapa tempat lagi.

Wanita Yahudi itu ialah seorang yang cantik, berambut perang, tinggi lampai dan kelihatan 100 peratus seorang kulit putih Amerika. Apabila melihat ukiran nabi tertentu di muzium, dia lantas mengatakan ‘kita tidak percaya ini semua’.

Maksudnya pemujaan boneka bukan amalan Yahudi. Begitu juga apabila melihat lukisan-lukisan Leonardo Da Vinci atau Michelangelo di siling, termasuk The Last Supper, beliau juga dengan kasar mencemik.

Sebaliknya, pujangga agung Inggeris, Shakespeare, memerikan sikap Inggeris dan Kristian umumnya terhadap kehinaan Yahudi dalam drama pentingnya, The Merchant of Venice (Saudagar Kota Venice), di hujung abad ke-16.

Drama itu menceritakan Shylock, peminjam wang Yahudi, hendak melapah satu paun daging dari badan seorang Kristian kerana terhutang, menurut syarat pinjaman itu.

Shylock enggan menerima langsaian dua kali ganda jumlah hutang itu daripada penjamin. Kenapa begitu? Beliau benci dihina oleh orang Kristian, antara sebabnya ialah pengenaan riba oleh Yahudi.  

Sikap Yahudi begitu memuncak pada zaman Hitler menjelang Perang Dunia II, maka dasar Holocaust menghapuskan berjuta Yahudi berlaku di seluruh Eropah. Salahnya Hitler ialah kerana beliau kalah perang.

Jika dia menang, kita tidak boleh bayangkan nasib Yahudi. Pasti ada alasan kuat mengapa satu bangsa begitu besar yang melahirkan paling ramai philosophers (ahli falsafah) bersikap begitu.  

Baru-baru ini, Majlis Keselamatan PBB telah meluluskan resolusi  yang menentang pembikinan beribu rumah oleh Israel di bumi Palestin yang dirampas dalam Perang 1967, demi perdamaian di bumi Palestin dan Arab.

Antara penaja resolusi itu ialah Malaysia. Langkah kerajaan kita ini adalah terpuji, paling bijak dan penuh dengan gemerlapan. Semoga prinsip agung ini dapat diperluaskan kepada kewangan, politik, amanah dan ketelusan demi rakyat.