WASHINGTON ialah nama orang, kota, istilah, kalimat dan simpulan bahasa. Ia boleh diertikan satu persatu atau dirangkumkan semua sekali dengan penuh ragam pengertian dan maksud.

Tidak ada yang lebih tepat dari segi rangkuman pengertian daripada filem ‘Mr Smith Goes To Washington’ terbitan tahun 1939; dibintangi James Stewart; dan memenangi anugerah Oscar.

Dalam filem itu, kota yang dinamakan sempena Presiden Washington, bapa kemerdekaan AS, itu ialah kota yang dikagumi orang AS selaku ibu kota gemilang, tetapi di sebalik kegemilangan itu ia bergelumang dengan rasuah dan korupsi kuasa, skandal seks dan pelbagai episod negatif. Itulah yang dihadapi oleh Mr Smith di tengah-tengah kehidupan budaya Washington.

Hingga sekarang, 78 tahun setelah Mr Smith hidup di Washington, ibu kota terulung di dunia itu terus tidak sunyi dengan politik kotor kata mengata, kecam mengecam dan tuduh menuduh.

Ikuti saja mana-mana TV relevan yang bebas dan kita akan dapati bahawa Presiden Trump dikecam dan diperlekehkan setiap hari. Begitu juga beliau tidak kering gusi menghentam dan mengecam mereka yang menjadi sasarannya. TV-TV besar antarabangsa yang mencemarkan dirinya juga kena hentak dengan panggilan ‘fake’ atau palsu.

Perbezaan dulu dengan sekarang hanya terdapat pada jenis media. Sebelum Perang Dunia Kedua, TV belum berleluasa, begitu juga media sosial. Yang ada ialah akhbar dan radio untuk tatapan dan pendengaran orang ramai.

Justeru berita kunjungan PM Najib ke Washington untuk bertemu Presiden Trump lusa, 12 September, diperkatakan secara meluas di AS, termasuk akhbar-akhbar utama Wall Street Journal (WSJ), New York Times (NYT) dan Washington Post (WP), serta siratan TV CBS, NBC dan ABC.

Sambutan media terhadap lawatan itu amat hangat tetapi kehangatannya, menurut bekas Duta AS ke Malaysia, John R. Mallot, ialah atas sebab-sebab yang negatif.

Kata Mallot, tajuk berdenting WSJ berbunyi ‘Perdana Menteri Malaysia Yang Penuh Skandal Akan Melawat Trump di Washington’. NYT pula: ‘Pemimpin Malaysia Berskandal Bilion Dolar Diundang Ke White House. Video di website WP pula melantang: ‘Perdana Menteri Najib adalah seorang pemimpin Asia yang paling kontroversial yang terbenam dalam skandal korupsi’. Mantan Duta Mallot ini tidak asing lagi di sisi rakyat Malaysia memandangkan bekas Naib Presiden AS Al Gore ketika datang ke Malaysia setelah Timbalan PM Anwar Ibrahim tersingkir dari jawatan TPM pada tahun 1998 telah mengecam keras kepimpinan PM Dr Mahatahir secara terang-terang atas maklumat yang diberikan oleh Mallot.  

Setelah tamat terma jawatannya di Kuala Lumpur beliau terus menerus memberikan perhatian terhadap Malaysia, terutama aktiviti politik, dan sering menulis serta berucap di sana sini tentang perihal Malaysia.

Melalui tulisan terbuka, beliau secara langsung mengatakan salahnya PM Najib jika beranggapan lawatannya itu akan menolong kesusahan politiknya di Malaysia. Pertama, kata Mallot, semua orang tahu tentang skandal-skandal di Malaysia dan pembabitan DS Najib di dalamnya.

Media AS sedang memerhati Trump dan amat ghairah untuk mengetuk Trump apabila berlaku tersilap cakap semasa lawatan DS Najib, tambah Mallot. Jangan harap kepada Trump jika mahu kes 1MDB diketepikan saja oleh Jabatan Keadilan AS (DoJ).

Sebabnya, Trump sendiri tidak boleh membuat apa-apa apabila DoJ menyiasat kesnya sendiri. Soal utama bagi Trump ialah masalah bom nuklear Korea Utara dan pertahanan AS dari bom nuklearnya ke atas Korea Selatan, Jepun dan AS sendiri. Sebaliknya, Trump akan melahirkan rasa terbuku kenapa Malaysia membiarkan Korea Utara berdagang senjata dan sesetengah barang, sedangkan AS dan PBB melarangnya.

Setelah memperkatakan segalanya itu, kita jangan lupa bahawa Trump bukan berdarah daging politik. Beliau ialah seorang tokoh bisnes dalam hartanah (hotel, apartmen mewah, padang golf), bisnes Ratu Cantik Dunia serta program-program TV.

Maka tidak mengejutkan beliau berkata manis ketika berdepan muka, tetapi kata-kata itu bertukar pedas kemudiannya. Ini terbukti berlakunya apabila beliau bercakap manis ketika berdepan muka dengan Presiden Putin dan Presiden Xi dari China.

Bila direnggangi Lautan Atlantik dan Pasifik, Trump bukan saja terbalikkan kata-katanya, beliau malah bertindak bengkeng terhadap Rusia dan China; antaranya mahu menghukum China dan Rusia dalam perdagangan. Maka ‘jangan bergantung dan berharap-harap kepada AS’ adalah satu kalimat nasihat yang baik.