MACBETH ialah drama pentas karya William Shakespeare paling menarik. Justeru, ia salah sebuah drama kerap dipentaskan di seluruh dunia.

Ia amat digemari di Jepun setelah dipindahkan ke bahasanya.

Arwah Hussein Haniff menjadikannya filem untuk studio Cathay Keris bertajuk Istana Berdarah dalam tahun 1965. Ia memenangi hadiah di pesta filem Soviet Union (kini Rusia) di Moscow.

Dalam kalangan artis pentas di England, ‘Macbeth’ adalah satu sebutan majal yang boleh membawa nasib malang.

Maka dalam percakapan biasa ia disebut saja ‘Drama Orang Scot’. Kenapa begitu sekali, boleh dicerakinkan pada cerita Macbeth itu sendiri.

Watak utamanya, Lady Macbeth, melakukan pelbagai tingkah laku yang sangat ngeri dan mencelakakan.

Daripada seorang askar, suaminya Macbeth menjadi jeneral. Beliau ditilik tiga pawang nujum (witch) bahawa dia akan jadi raja pada suatu hari.

Malangnya, kata pawang, raja-raja selepas beliau nanti daripada keturunan kawannya, Banquo.

Sejak itu Lady Macbeth tidak sabar lagi untuk menggantikan raja yang ada, King Duncan, dengan suaminya Macbeth. King Duncan pun terbunuh menurut strategi Lady Macbeth.

Selepas itu Banquo pula dibunuh. Selepas banyak pembunuhan ngeri, Lady Macbeth dirundung igauan, berjalan semasa tidur dan merapu-rapu. Bila cuci tangan, airnya kelihatan macam darah.  

Sanak saudara Raja dan Banquo yang malang itu berpakat menentang Macbeth dan Lady Macbeth. Sekali lagi pawang itu membaca nujum: selagi hutan dekat istana tidak bergerak, selagi itulah mereka tidak akan kalah. Bila tiba masa genting, hutan itu kelihatan bergerak.

Rupa-rupanya askar-askar penentang menyamar dengan memakai daun-daun di badan. Akhirnya, seperti nujum pawang itu, gugurlah Macbeth dan Lady Macbeth. Macbeth dipancung, sedangkan Lady Macbeth membunuh diri.

Kira-kira 60 tahun sebelum kelahiran Nabi Isa AS, Cleopatra memerintah Mesir. Dia seorang yang cantik dan menawan sehingga Maharaja Julius Caesar di Rom begitu cepat jatuh hati kepadanya, lalu mereka berkahwin. Kebencian rakyat Rom kepada Cleopatra terpalit kepada Caesar.

Caesar akhirnya dibunuh. Tidak lengah lagi, Cleopatra cepat-cepat melepaskan diri dan pulang ke Iskandariah, Mesir. Cleopatra bukan saja kandas dalam cita-citanya memerintah Rom di belakang Caesar, malah takhtanya di Mesir ranap apabila tentera Rom menyerang dan mengambil Mesir.

Dalam abad ke-20, ada dua wanita gah yang menjadi isteri kepada dua pemimpin negara. Di Argentina, Eva Peron atau Evita menolong suaminya Juan Peron menjadi Presiden.Kecantikan dan wataknya yang menarik meringankan beban politik suaminya, sedangkan beliau sendiri banyak membuat projek-projek yang memesrakan dirinya dengan sebahagian besar rakyat miskin.

Satu hari sekumpulan pegawai askar hendak merampas kuasa. Ketika sampai di istana Presiden, mereka sekonyong-konyong dapati Evita tercegat di hadapan mereka.

Dengan maki-hamun dan pekikan, Evita mengungkit bagaimana mereka ditolongi Peron dari  nasib malang dan terlepas dari hukuman bunuh.

Evita memecah rahsia bagaimana individu tertentu dalam kalangan pegawai-pegawai itu merancang di hadapan Peron untuk saling membunuh suatu ketika sebelum itu. Ketajaman lidah Evita itu membantutkan percubaan mereka merampas kuasa, dan suaminya Peron kembali berkuasa tanpa ganggu gugat lagi.

Malangnya, Evita tidak hidup lama. Pada usia 33, beliau meninggal dunia akibat kanser. Tiga tahun kemudian, pada 1955, Peron tanpa Evita tidak terkawal menghadapi cabaran politik dan musuh, akhirnya tersingkir dari jawatan dan lari ke Sepanyol.

Ingatan rakyat kepada Evita menguatkan Peron dan parti. Ini terbukti apabila Peron pulang dan menangi jawatan Presiden pada 1973 selepas demokrasi dipulihkan semula di Argentina.

Di China, isteri baharu Mao Tze Tung yang bernama Jiang Ching menjadi penggerak utama selepas komunis mendapat kemenangan pada 1949. Dalam tahun-tahun 1950-an dan 1960-an, China melancarkan projek besar pembangunan ekonomi dipanggil  ‘Langkah Besar Ke Hadapan’.

Apabila projek di bawah telunjuk Jiang itu terbukti kurang berjaya, dilancar pula Revolusi Budaya. Ia jelas digunakan Jiang untuk singkirkan mereka yang dianggap anti Mao.

Ramai terbunuh, tersingkir dan teraniaya. Apabila Mao mati pada 1976, Jiang Ching pun ditangkap pengganti Mao. Jiang terbukti bertanggungjawab melakukan kehodohan merosakkan rakyat dan negara. Beliau bunuh diri dalam penjara pada 1981.

Nipis sekali berbezaan antara wanita yang perubah dengan wanita yang peroboh.

* Tan Sri Adam A. Kadir mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet