BERITA-BERITA gadang DS Najib dan isterinya DS Rosmah di media, termasuk di akhbar ini, mengingatkan saya kepada perumpamaan-perumpamaan berikut: 1. Orang berak di tepi jalan tak akan mengaku. 2. Masakan pokok bergoyang jika tiada angin 3. Tiada asap jika tiada api. 4. Si Abu dengan wangnya (diletak tanda ‘tiada wang di sini’ selepas ditanam wang curian), dan lain-lain lagi.

Untuk menyendalkan segala itu, terdapat pula pepatah berawas, berbunyi ‘sepandai-pandai tupai melompat, ke tanah juga jatuhnya’.

Sejak skandal 1MDB meletus, angka bilion sentiasa saja meniti di bibir, di kota dan di kampung. Seribu juta banyaknya. Namun masih ramai yang belum cekak banyak mana sejuta itu. Wang dan harta suami isteri itu yang dikatakan oleh pihak polis melebihi nilai satu bilion ringgit adalah paling-amat tidak masuk akal bagi seorang pemakan gaji seperti perdana menteri.

Betapa sukarnya untuk mencapai pemilikan wang sebanyak itu boleh diukur bagaimana firma terbesar Malaysia, Sime Darby, menjadi berita besar apabila jualannya mencecah jumlah RM1 bilion dalam tahun 1970-an. Jika peniaga-peniaga Malaysia mempunyai harta RM1 bilion dan lebih lagi, itu adalah berita sanjungan kejayaan mereka. 

Majalah Fortune yang diterbitkan di AS setahun sekali memuatkan 500 buah firma terbesar di dunia dan manusia paling kaya di dunia dengan kekayaan berbilion-bilion dolar. Jika ada ahli politik dalam kalangan mereka, maka latar belakang mereka dalam bisnes sebelum menyertai politik, seperti Datuk Bandar New York Bloomberg dan Presiden Trump, dicerakinkan sebaik-baiknya, termasuk rekod mereka membayar cukai pendapatan.

Jika terdapat kealpaan, mereka akan diambil tindakan undang-undang sepadannya dan pasti dilucutkan jawatan jika mereka didapati bersalah.

Sesuai di sini dirungkaikan beberapa orang presiden dan perdana menteri yang boleh dijadikan teladan dan sempadan. Presiden Truman AS – yang mengarahkan bom atom digugurkan di Jepun pada tahun 1945, dan menaja penubuhan Israel pada 1948 – menjalani kehidupan yang amat sederhana, semata-mata bergantung pada gajinya.

Beliau pulang ke kota asalnya, Independence, di negeri Missouri, AS, apabila bersara pada 1952. Bila pencennya tidak dapat menampung kos hidup yang asas, beliau meminta presiden yang sedang bertugas, Presiden Johnson, menaikkan pencennya. Dengan kerjasama Kongres dan Senat, Johnson berjaya memenuhi permohonan Truman itu.

“Ini demi Truman,” kata Johnson. Semua orang tahu Johnson ialah pengusaha minyak yang kaya sebelum memasuki politik. Untuk menaikkan pencen, gaji perlu dinaikkan juga, tetapi kenaikan gaji bukan untuk presiden yang sedang berkhidmat, tetapi untuk presiden-presiden yang seterusnya. Itu berlaku pada 1966.

Bayangkan, jika Truman seorang yang korap, beliau boleh mengerok ratusan juta dolar dari projek-projek pemulihan Perang Dunia Kedua di Eropah dan Jepun yang ditaja AS. Sepotong jarinya pun tidak berdetap untuk maksud begitu.

Ini kerana nilai hidup rakyat AS dan keamanan pegawai amat ketat terhadap segala bentuk salah laku. Namun jika beliau betul-betul korup, beliau tentu boleh mencari jalan mengorek sana-sini untuk berlumayan ketika bersara.

Di UK, PM Harold Wilson seorang yang kacak beraura terbaik sebagai PM. Selepas menjadi PM UK dua kali, sejak 1964 hingga 1976, beliau pun bersara. Seperti Truman, Wilson menyara hidup atas wang pencen.

Apabila beliau dijadikan seorang Baron dan ahli Dewan Ketuanan (House of Lords, macam Dewan Negara) dalam Parlimen, beliau menguatkan diri menghadiri sidang Dewan tanpa mungkir walaupun dibawa dengan alat papahan dalam keadan sakit demi mendapat elaun kehadiran harian. Kurangkah peluang beliau untuk mendapat wang korup ketika menjadi PM? Tentu tidak. Namun itulah nilai hidup yang diikuti mereka.

Presiden Clinton AS dikenakan tindakan undang-undang kerana kontroversi pinjaman 300,000 Dolar untuk projek Whitewater di Arkansas sebelum beliau menjadi presiden. Wang itu dianggap wang helahan, maka dua orang dipenjarakan. Seorang daripada mereka semata-mata kerana enggan menjawab soalan dalam mahkamah. Presiden Clinton dan isterinya Hillary nyaris-nyaris dihukum penjara (dan Clinton hilang jawatan presiden) jika tidak kerana kekurangan bukti.

Bandingkan 300,000 Dolar itu (kira-kira sejuta Ringgit) dengan 1 bilion Ringgit (kira-kira 250 juta Dolar) yang disahkan polis berada di tangan Najib dan Rosmah. Untuk itu ikutilah kebestarian P. Ramlee dalam lagunya ‘Budi Dibawa Mati’:

Hidup di dunia kalau bersifat curang

Akhirnya tentu terjerumus ke jurang

Menjadi pencuri akan dihukum

 Pembunuh kelak ke tali gantung.

*Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet