TUN RAZAK sentiasa berada di luaran kota untuk membangunkan desa sejajar dengan kota. Tun Dr Mahathir bertumpu kepada teknologi tinggi, sesuai dengan suku terakhir abad ke-20. Datuk Sri Najib cuba menuruti dunia pertama mengemaskinikan pengangkutan.

Hitungan wang tidak menjadi sesuatu yang diperkatakan oleh Tun Razak. Membuka kawasan baharu dengan kemudahan sosial dan pendidikan seperti di Jengka, Pahang, menjadi lambang keutamaan beliau.

Beberapa tahun selepas beliau meninggal, saya sebagai Pengerusi Syarikat Jengka (bukan Lembaga Jengka) dapati pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan ialah RM29 juta untuk dilangsaikan (write-off). Itulah yang saya maksudkan wang tidak menjadi pokok persoalan.  Asetnya ialah beratus ribu ekar hutan Pahang yang penuh dengan balak dan hasil lain.

Istilah bilion adalah sayup letaknya dari bibir semua orang. Hanya dalam tahun-tahun 1980-an firma terbesar Malaysia, Sime Darby, mencecah angka RM1 bilion dalam jumlah jualan tahunannya. Oleh itu tidak mungkin Tun Razak diharukan oleh mana-mana pihak atau sesiapa untuk melalukan rasuah atau menggelapkan wang.

Jarang pegawai kerajaan tertinggi bergaji lebih RM3,000 sebulan. Gaji Tun Razak RM4,000 sahaja. Mereka bekerja penuh dedikasi semata-mata kerana kehalalan rezeki dan prospek kenaikan pangkat hasil daripada mutu perkhidmatan mereka.

Tidak ada firma kerajaan kecil atau besar untuk mereka menjadi pengerusi atau lembaga pengarah demi tambahan pencen dalam bentuk elaun mesyuarat atau elaun bulanan. Tidak ada juga projek-projek yang boleh diagihkan kepada kroni.

Jika adapun, bukan seorang seperti Tun Razak yang cenderung membuat agihan begitu. Maka Radio Malaya, belum ada TV Malaysia, kerap membuat siaran dari kampung-kampung dan pinggir hutan tentang Tun Razak melihat dengan mata kepalanya sendiri tahap pembangunan yang sudah tercapai.

Felda adalah inisiatif Tun Razak. Bagaimana Felda menghadapi keadaan genting 40 tahun kemudian di bawah anak sulung Tun Razak, DS Najib, di samping rohok-rohok besar 1MDB, menjadi masalah besar yang ditangani Tun Dr Mahathir, yang kini mengganti Najib sebagai Perdana Menteri kali kedua.

Beliau besar kemungkinan tidak dirahmati begitu jika Najib tidak melakukan kesilapan besar yang dibenci oleh rakyat. Oleh itu antara Tun Razak dan anaknya Najib, Tun Mahathir dalam penggal pertamanya selama 22 tahun, bertumpu pada realiti semasa: teknologi dan teknologi tinggi.

Salah sebuah lapangan terbaik di dunia; pencakar langit tertinggi dan terindah di dunia abad ke-20; kota pintar Putrajaya dan Cyberjaya; siratan lebuh raya yang memudahkan perjalanan ke barat, selatan, timur dan barat untuk 10 juta kenderaan, dibeina.

Jika Nigeria dan Venezuela, sebagai contoh, menjadi miskin walhal hasil minyak sangat lumayan, maka Malaysia hampir-hampir menyertai kelab ‘kaya tapi miskin’ itu jika dibiarkan berterusan kekayaannya disedut. Ia bermula dengan minyak Terengganu. Usaha hendak memawahkan hasil minyak masa depan dari negeri itu (dan mendapat wang serta-merta), seperti memawah kebun durian sebelum musim, terkandas.

Cara lain ialah meminjam wang berbilion-bilion ringgit dengan kerajaan dijadikan penjamin. Samalah seperti kerajaan sendiri yang meminjam dan rakyat akan membayarnya jika hutang tidak dibayar. Tidak ada bezanya seperti anda menjamin kawan berhutang dengan bank. Jika dia tidak bayar, anda bertanggungjawab membayarnya. Jika tidak, anda akan dijadikan bankrap.

Jika wang pinjaman itu masuk ke dalam perbendaharaan negara, tidak mengapa; yang menjadi masalah ialah wang pinjaman berbilion-bilion itu masuk ke poket individu, melalui liku-liku gelap.

Bagaimanapun, dalam dunia terkini yang telus, semuanya boleh dikesan.

Justeru, liku-liku gelap itu sudah pun dikesan dan dikenal pasti. Ada tauke-tauke bank besar Malaysia yang relevan mengakui mereka tidak tahu bagaimana berbilion dan beratus juta ringgit masuk ke dalam akaun individu tertentu dalam bank mereka. Namun kata-kata mereka sedang dicerakinkan.

Lidah yang tidak bertulang dan bibir berair-liur basi tidak boleh dipakai. Nyata sekali, Tun Dr Mahathir sedang melakukan sesuatu yang sebaik mungkin melalui proses undang-undang dan mahkamah untuk memastikan perbuatan-perbuatan salah yang merugikan rakyat dan negara tidak ditanggung oleh cucu-cicit kita.

Mereka yang bersalah harus dihukum sebagai teladan. Tun Mahathir menjunjung Tun Razak. Malangnya, Tun Mahathir hanya nampak mendung tebal tengkujuh meliputi pundak DS Najib.

* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet