"TAKKAN Melayu hilang di dunia" ialah kata-kata Hang Tuah yang saya dengar sejak di sekolah rendah lagi. Hebat. Jika benar Hang Tuah wujud, kata-kata itu mungkin dilafazkan dalam abad ke-15 atau awal abad ke-16 apabila Melaka tumpas di tangan Postugis.

Dewan Bahasa pernah menerbitkan buku Hikayat Hang Tuah suntingan cendekiawan ulung Melayu Allahyarham Kassim Ahmad, tetapi karya itu meskipun amat tinggi mutu estetiknya namun sebagai satu sejarah ia sukar dipertahankan. Ia tidak seperti sejarah penaklukan Arab Islam ke atas Andalusia (Sepanyol Selatan) 100 tahun selepas Nabi SAW wafat hingga 1492.

Pejuang-pejuang dan pelaku-pelakunya jelas wujud, nama-nama mereka memang benar, begitu juga tapak-tapak dan tempat-tempat kejadian, bangunan, jambatan, jalan-jalan dan lain-lain lagi.

Bumi Jabbar-Tariq yang menjadi pangkalan penaklukan itu kekal hingga sekarang dengan nama Gibraltar (pelat lidah Eropah). Hang Tuah ialah lambang kesetiaan dan keadilan Melayu. Ketaatan kepada raja dipersyaratkan oleh Hang Jebat dengan ‘raja adil raja disembah; raja zalim raja disanggah.’ Segala itu datangnya dari inti dan semangat Melayu.

Jika kalimat ‘Takkan Melayu hilang di dunia’ ditinjau dari segi psikologi, ia memberikan maksud sebaliknya: Melayu akan hilang jikalau tidak bijak menjaga diri.

Cuba kita jenguk dunia Melayu pada tahun 1500. Indonesia hanya wujud 450 tahun kemudian. Filipina belum ada. Manila ditakluki Sepanyol pada 1521 dan dinamakan Philipina sempena rajanya King Philip. Tanah Melayu atau Malaya belum ada.

Memanglah, yang ada ialah Melaka yang juga mewakili semenanjung Tanah Melayu. Maka secara kasarnya dunia Melayu waktu itu terdiri daripada Indonesia, Malaysia dan Filipina yang ada sekarang ini.

Pada tahun 1500 itu dunia Melayu belum terbahagi menurut pembahagian agama Islam, Kristian dan Hindu. Seorang bekas Pak Duta Indonesia ketika pulang ke Jakarta masih terus merujuk orang Jawa, Minang, Aceh, Batak, Bugis dan lain-lain di Indonesia sebagai Melayu.

Tentunya rujukan begitu tidak timbul di Filipina. Paling baik, orang Filipina hanya mengakui bahawa Melayu pernah memerintah di sana. Maksudnya, ketika belum ditakluki Sepanyol dan sebelum mereka menganut agama Kristian. Sesuai disebut bahawa ketika Malaya merdeka tahun 1957, jumlah orang Melayu ialah kira-kira 2.5 juta daripada jumlah penduduk 4.5 juta. Kini jumlah Melayu itu menjadi lebih kurang 20 juta, termasuk Bumiputra di Sarawak dan Sabah.

Kita bataskan perihal Melayu ini di semenanjung saja demi memperkatakan pendapat ketua-ketua kolonialis Inggeris terhadap Melayu. Dua Gabenor Malaya yang paling terkemuka ialah Frank Swettenham dan Hugh Clifford. Swettenham menjadi Gabenor pada awal abad ke-20 dan Clifford pada tahun 1927 hingga 1929.

Mereka bukan saja pentadbir, malah penulis-penulis berkaliber. Menurut Swettenham dalam bukunya The Malay Sketches, orang Melayu ialah setia, menurut perintah dan tertib, tetapi mereka mempunyai ciri-ciri luar biasa apabila maruah mereka tercemar: mereka mengamuk.

Lalu Swettenham menghurai apa dia perlakuan orang mengamuk yang tidak ada dalam budaya Barat. Namun begitu, Swettenham kurang berjaya dalam hubungannya dengan orang Melayu, termasuk raja-raja Melayu.

Tokoh yang lebih berjaya dalam hal ini ialah Hugh Clifford sehingga beliau diperli sebagai ‘orang Inggeris nak jadi Melayu; sekali gus orang Melayu nak jadi Inggeris’. Beliau menambahkan ciri-ciri positif Melayu menurut Swettenham itu dengan menafikan Melayu malas dan menegaskan kerajinan beratus-ratus orang Melayu yang bertugas bersama-samanya di sana-sini.

Suatu ketika di Jawa, Sumatera dan Sulawesi terdapat amat ramai raja, kecil dan besar. Belanda yang memerintah di sana sejak abad ke-17 merakamkan fakta itu. Kini, hanya Sultan Hamaengku Bowono ke-10 yang masih ada di Jogjakarta. Sejak 1998 Baginda juga menjadi Gabenor Jogjakarta.

Ini sebagai balas jasa Allahyarham ayahanda Baginda yang pernah berjuang bersama rakyat menentang Belanda. Selain gaji Gabenor, Baginda hanya bergantung kepada usaha perkebunan padi, penenunan batik dan hasil daripada pelancong yang berkunjung ke istana Baginda. Disebabkan Baginda tidak mengambil hasil mahsul rakyat, maka rakyat membalas dengan memberikan kesayangan mereka kepada Baginda. Seorang Aceh berkata, jika raja-raja lain mengikut jejak langkah Sultan Jogjakarta itu, mungkin ramai lagi raja yang masih ada di Indonesia. "Itu sudah menjadi sejarah", katanya. Jika teladan begitu diikuti, Hang Tuah tidak perlu bimbang Melayu akan hilang.

* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet