RAJA Arab Saudi dikenali juga sebagai penjaga Tanah Suci Makkah dan Madinah. Pada tahun 1979, satu kumpulan Muslim Saudi telah merampas Masjid Haram di Makkah kerana tidak bersetuju dengan pemerintahan Raja Arab Saudi. Antara sebab yang dikemukakan ialah kelemahan Arab Saudi tidak melaksanakan pemerintahan dan amalan Islam yang sewajarnya.

Selain itu, terdapat penentangan daripada sesetengah pihak di Iran. Perselisihan antara Arab Saudi dengan Iran menjadi bertambah buruk apabila Shah Iran ditumbangkan dan digantikan dengan Ayatullah Khomeini. Bermulalah Iran sebagai sebuah Republik Islam. Perubahan ini menjadi satu ancaman kepada Arab Saudi yang menganggap Iran memulakan gerakan untuk menghapuskan raja-raja di bumi Arab yang bergelar Al-Malik, King, Emir dan sebagainya.

Keluarga Saud memang disokongi AS sejak keluarga itu merampas semenanjung Arabia itu pada tahun 1932 setelah Turki berundur. Perjanjian minyak yang strategik dan menguntungkan pada tahun 1937 telah merapatkan lagi hubungan antara kedua-dua negara itu.

Ketua keluarga Saud, Abdul Aziz Saud, menjadi raja pertama. Hingga sekarang, semua sembilan orang anak lelakinya menjadi raja, termasuk yang sedang bertakhta kini, Raja Salman. Bakal penggantinya ialah anaknya Muhammad bin Salman yang kini menjadi Tengku Mahkota. Apa yang menarik perhatian dunia terhadap Arab Saudi sejak kebelakangan ini ialah apa yang dilakukan terhadap jirannya, Yaman, yang sudah ranap dan rakyatnya berada dalam kelaparan. Tidak kurang daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sendiri yang mengumumkan bahawa satu tragedi besar sedang berlaku di Yaman, di mana berjuta orang akan mati kelaparan jika bantuan segera tidak dilakukan.

Dari perspektif Islam, ini amat mendukacitakan. Penjaga Tanah Suci yang tegak di atas ketuhanan yang amat penyayang dan maha mengasihani melakukan tindakan yang tidak selari dengan ketuhanan itu. Arab Saudi kini menyekat bahan-bahan makanan dari memasuki Yaman. Presiden Yaman dikatakan ditahan di Arab Saudi, justeru Yaman bagaikan tiada kerajaan.

Di samping itu AS melalui Presiden Trump kerap melaungkan sokongan terhadap tindak-tanduk Arab Saudi. Ini menggalakkan Arab Saudi melakukan apa saja. AS dan Israel mengecam Iran kerana menolong pejuang-pejuang anti-Barat dan anti-AS di bumi Arab yang dipanggil pengganas atau teroris. Iran dituduh Arab Saudi menolong kumpulan Houthis menentang Arab Saudi di Yaman. Demi telinga dan mata AS, Arab Saudi memberitahu dunia bahawa bom missile (besar dan jarak jauh) yang digunakan Yaman terhadap Arab Saudi datangnya dari Houthis, justeru dari Iran.

Sebaliknya jurucakap Iran berkata, missile itu ialah bom lama yang pernah digunakan oleh Iraq ketika berperang dengan Iran dulu. Ini bererti missile itu tidak tahu dari mana datangnya. Dari laporan terkini, Arab Saudi dan Israel sedang bekerjasama dalam hal-hal persenjataan dan ekonomi menurut ragam yang ditentukan oleh AS. Ketakutan kedua-dua Arab Saudi dan Israel terhadap Iran sudah menjadi terlalu nyata. Bagi Israel, hanya Iran satu-satunya negara besar di rantaunya yang terus tidak bersetuju dengan perwujudan Israel di atas darah dan air mata Palestin. Selagi Iran tidak termasuk dalam pengaruh AS seperti berlaku dalam zaman Shah Iran dulu, selagi itulah Iran berazam hendak mentiadakan Israel dari muka bumi, kata orang Yahudi.

Iran tetap memegang teguh pada pendiriannya: menjaga dirinya di rantau sendiri, bukan seperti AS dan Barat yang terletak jauh dari rantau itu. Arab Saudi dilaporkan berbelanja besar mendirikan masjid Sunni di banyak negara. Syiah pula dicap sebagai bukan Islam. Sunni dan Syiah menjadi sesuatu yang sangat-sangat sensitif.

Bagi mereka yang membaca buku-buku dan bacaan lain oleh ilmuwan-ilmuwan besar Islam, soal Sunni dan Syiah bukan senang diberikan keputusan persis: yang ini betul dan yang itu salah. Memang benar Sunni jauh lebih ramai daripada Syiah di dunia. Namun hakikatnya, di mana Sunni majoriti terdapat Syiah minoriti. Begitulah sebaliknya.

Di setiap kota besar di AS, Eropah dan Kanada, purata terdapat 10 buah masjid. Ada Sunni dan ada Syiah. Suatu hari apabila masuk waktu, saya singgah di masjid indah di luar kota Toledo, Ohio, AS. Toledo ialah sempena kota Islam di selatan Madrid semasa pemerintahan Muslim di Sepanyol yang bermula 100 tahun selepas Nabi Muhammad SAW wafat hingga akhir abad ke 15. Hanya selepas solat baru saya tahu ia masjid Syiah. Tiada siapa yang mahu tahu siapa saya.

Dunia Islam mahukan Arab Saudi menjaga Makkah dan Madinah, bumi suci Islam yang paling agung, dengan penuh rasa keislaman. Jika Iran atau Parsi terus wujud sejak 2700 tahun dulu, melalui serangan Raja Iskandar dan Genghis Khan, maka Arab Saudi yang hanya bermula pada 1932 patut bertumpu menjaga maruah Islam dengan tidak menurut telunjuk Barat yang hanya pentingkan politiknya demi minyak.