DI SINI, lazimnya sebutan ‘bola’ bererti ‘football’ dalam bahasa Inggeris tetapi pemberita sukan menterjemahkannya semula kepada ‘bola sepak’. Baik apa pun, permainan bola merupakan sukan paling popular di dunia.

Di Finland, Norway dan Iceland yang banyak dan lama ditimpa salji setiap tahun, bola diminati nombor satu. Di AS, walaupun bola keranjang, ‘American football’ dan ‘baseball’ menjadi perentang waktu utama begitu lama dan mendalam, namun bola pantas memenangi banyak peminat, tidak lagi terbatas dalam kalangan Hispanic atau mereka yang berketurunan Sepanyol dari Mexico ke Amerika Selatan.

Piala Dunia 1994 berupa pertama kali AS menjadi penganjur. Agak mengejutkan ia mencatat rekod kehadiran penonton yang paling ramai sehingga sekarang. Pada tahun 1972 apabila Malaysia buat pertama kali dan terakhir bertarung dalam pertandingan bola di Olimpik Munich di Jerman, Malaysia mengalahkan AS 3-0.

Saya turut serta sebagai penonton dan penyokong di sebuah stadium kecil di kota Ingolstadt, 50km dari Munich. Dalam kalangan pemain utama Malaysia ialah pemain-pemain adik-beradik Shaharuddin dan Namat Abdullah; Isa dan Ali Bakar; Soh Chin Aun; Chandran dan Wan Zawawi.

Kini perbezaan mutu permainan kita dengan AS adalah seperti jauh panggang dari api. Kita jauh ke belakang dalam ‘ranking’ dunia sedangkan AS jauh di depan. Dengan kemenangan Malaysia begitu baik ke atas AS di Olimpik Munich itu, Maghribi yang juga dalam grup sama agak gentar; tetapi apa yang berlaku amat meleset sekali. Malaysia kalah 6-0. Saya masih ingat, kecederaan kepada penjaga gol Lim Fung Kee dan dua tiga orang pemain pertahanan menyumbang kepada keputusan buruk itu.

Bagi saya, dalam suasana yang begitu ghairah sekarang ini untuk mendapat tempat di pesta Piala Dunia di Moscow pada tahun hadapan, Malaysia ibarat ayam patah kaki sebelum masuk gelanggang.

Jepun dan Korea Selatan yang selalu kalah dengan Malaysia dalam tahun-tahun 1960-an, 1970-an dan 1980-an sentiasa layak ke pesta itu sejak 25 tahun dulu. Dengan kata-kata lain, kedua-duanya adalah pasukan terbaik di Asia.

Selepas Malaysia layak bagi kali kedua menyertai pertandingan bola Olimpik di Moscow pada 1980 setelah mengalahkan Korea Selatan di Stadium Merdeka, saya berbual dengan Menteri Perdagangan Korea Selatan, Choi Gak-Yu, di Boston, AS.

Rintihan beliau ialah, walaupun Korea Selatan bermain cemerlang dengan pasukan lain, ia macam mana pun kalah dengan Malaysia. Beliau mengaku, pengawalan bola oleh pemain-pemain Malaysia adalah sangat baik. Menurut yang beliau tahu, pemain-pemain Malaysia sejak kecil lagi bermain bola di kampung di atas pasir dan tanah selut.  

Kenapa kini kita hanya bagus di peringkat negara-negara Asean saja dan tidak di luar dari itu? Jawabnya senang saja. Bola sudah jadi perusahaan. Ia harus diuruskan seperti sebuah firma besar antarabangsa.

Produknya ialah pemain-pemain. Harga yang tinggi harus dibayarkan kepada produk yang bermutu cemerlang. Ini menggalakkan kecemerlangan dalam kalangan semua pemain. Purata pemain bermutu yang berharga mahal boleh bertahan lima tahun.

Kalau pendapatan dan kontrak serta pengakuan produk (product endorsement) boleh membawa RM20 juta kepadanya, dia akan bermati-matian bermain. Jika dia ponteng, curi tulang dan acuh tidak acuh, yang menyebabkan penonton naik muak, sudah tentu nilai kontraknya akan jatuh, kalaupun tidak hilang sama sekali.

Justeru, tidak hairanlah kebanyakan pemain-pemain Liga Perdana dan Siri A di Eropah dipanggil jutawan. Mendapat gaji RM1 juta seminggu adalah satu perkara biasa.

Pendapatan kelab-kelab bola antaranya datang dari liputan TV dalam dan luar negeri; tetapi pendapatan itu tidak mungkin menjadi kenyataan kalau mutu permainan menjemukan penonton TV.

Kaitan permainan bermutu dengan hasil dari penontonan TV dapat diukur pada faktor ini: Stadium Maracana di Rio de Janeiro boleh memuatkan 200,000 orang pada Piala Dunia 1950. Kini, kapasitinya hanya 70,000. Ini bererti jualan tiket di stadium tidak lagi penting berbanding kutipan hasil siaran TV di seluruh dunia.

Berbalik ke pasukan Malaysia, relevan juga ditanya: di mana silapnya maka kebanyakan pemain terdiri daripada Melayu, sedangkan  Cina, India dan lain-lain bagaikan tiada, tidak seperti dulu?

*Tan Sri Adam A Kadir, mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet