MEMANGLAH, tajuk di atas dipadankan daripada rima Tiada Kata Secantik Bahasa, lagu ciptaan dan nyanyian P Ramlee dengan lirik gubahan Jamil Sulong.

Ia merampaikan filem Anakku Sazali terbitan tahun merdeka 1957, kira-kia 60 tahun dulu, satu-satunya lagu cinta yang cemerlang pada melodi dan seni katanya.

Kecemerlangan maksud tajuk di atas dipadankan di sini untuk memperkatakan betapa daifnya dunia Muslimin dalam menghadapi kehidupan sejagat yang penuh dengan kepelbagaian manusia yang lebih kuat ekonominya.

Dua tiga hari lepas, kita tiba-tiba mendapat tahu AS menghina Palestin. Disebabkan Palestin tidak bersetuju Baitulmaqdis dijadikan ibu kota Israel, AS terus melaung menggantung sumbangan wang beratus juta dolar kepada negara malang itu.

Bacaannya senang sahaja: Palestin papa kedana. Jangan diberikan wang sampai mereka kebulur. Setelah menderita kebuluran, mereka akan merangkak dan mulut mereka akan menelan semua syarat. Itulah dasar kejam AS.

Sebenarnya ini bukan perkara baru. Ia adalah lanjutan tipu helah Barat sejak beratus malah beribu tahun dulu. Selepas kendurnya perang crusade atau perang sabil 800 tahun dulu, mulalah Barat menggeledah wang ke timur.

Rempah-ratus dan galian jirim menjadi sumber wang yang dikejar, sekali gus dengan pengejaran itu, mereka menyebarkan agama Kristian.

Disebabkan Sepanyol dan Portugis berupa kuasa laut, dengan teknologi pembikinan kapal dan bot yang tinggi, mereka dengan mendapat lampu hijau dari Pope di Rome terus menjarah ke sebelah timur, dari India ke negara China.

Dipendekkan cerita, tinggalan tanah-tanah jajahan Portugis seperti Macau di China dan Goa di India, Melaka di Tanah Melayu dan Timor di Indonesia, di satu pihak, dan Sepanyol dengan Filipina serta beberapa tempat lagi, di pihak lain, menjadi bukti nawaitu dan dasar politik mereka.

Rasa iri hati terhadap pencapaian Portugis dan Sepanyol itu menggerakkan Inggeris dan Belanda untuk memasuki perlumbaan pembesaran sumber wang dan kuasa. India sedikit demi sedikit jatuh ke tangan Inggeris, sedangkan Belanda, bagaikan ular lidi menelan buaya, mencekup Hindia Timur, kini sejak tamat Perang Dunia Kedua dipanggil Indonesia.

Kedatangan Inggeris dan Belanda menjadikan Portugis lemah dan berlutut. Ia dibiarkan menjajah tempat-tempat kecil: Goa, Timor dan Macau. Melaka masuk genggaman Belanda.

Sambil duduk relaks sambil minum beer di London dan Den Hague, Inggeris dan Belanda bersetuju Semenanjung Tanah Melayu masuk dalam kocek Inggeris sedangkan Hindia Timur (Jawa, Sumatra, Sulawesi, Kalimantan, Irian dan lain-lain) masuk saku Belanda. Senang saja tindakan mereka. Macam berbahagi buah kelapa di tebing sungai.

Bumi yang kaya dengan rempah-ratus dan hasil mahsul itu menjanjikan penggemblengan wang yang mengayakan perbendaharaan mereka. Revolusi Industri di England yang bermula pada abad ke-18 adalah dicetuskan oleh wujudnya pasaran yang luas: India, Hindia Timur, Tanah Melayu, China dan lain-lain lagi.

Di mana Inggeris dan Belanda tidak pergi, Perancis pula menyorong kaki. Maka Vietnam, Kemboja dan Laos dirangkuminya.

Wang jadi bertimbun apabila bijih timah dilombongkan dan getah ditanam di semua bumi itu untuk menampung industri perkapalan, keretapi dan kekeretaan sebelum digenapkan dengan pembikinan kapal terbang.

Hasilnya semua negara Barat itu menjadi kaya dan bergelar negara maju. Wang banyak bererti ekonomi kuat. Kekuatan ini membuka pintu bagi mereka membuat senjata kecil dan besar, kapal perang dan peralatan perang di bumi.

Pada keseluruhannya, perasaan lemah dan rendah diri terus menghantui Muslimin. Kebanyakan negara Arab sebagai tunggak dunia Islam nyata sekali bergantung pada ihsan Barat, terutama AS.

Apabila tidak mendapat sumbangan fulus dari AS, mereka bergantung pula pada perdagangan dengan Barat. Jika Barat tidak membeli minyak dan eksport, alamatnya akan melesetlah ekonomi mereka. Soalnya, apakah OIC (Persidangan Negara-Negara Islam) hanya berpuas hati dengan hanya bersidang?

Sudah sampai masanya negara-negara Islam melepaskan diri daripada ikatan Barat dan memilih satu pusat kuasa yang ekonominya diperkukuhkan berlonjak-lonjak. Dari pusat itu, satu ode baru dalam perdagangan dan penggunaan ‘wang dan fulus’ sendiri boleh dilaksanakan.

Lebih 90 peratus Muslimin terus menetap di negara masing-masing. Hanya 10 peratus saja Muslimin yang menumpang di negara-negara bukan Islam. Itu satu data yang meyakinkan untuk membuat langkah pertama.