“PELAJAR menengah yang lemah pun lebih tahu," kata Presiden Donald Trump ketika membuat reaksi kepada keputusan hakim yang mengetepikan arahannya: menahan kemasukan Muslim dari beberapa buah negara Islam ke AS. Kononnya arahan itu dibuat demi keamanan negara. Kata-kata begitu jika diperpanjang kepada maksud-maksud lain akan mencakup pelbagai hal, termasuk hal-hal yang berlaku dalam negara kita, Malaysia.

Salah satu soalan yang timbul dalam minda ialah, apakah rakyat kita tahu hal-hal besar dan runcing di sekeliling kita? Dari detikan naluri saya, hal-hal penting yang disukai rakyat ialah berkaitan wang. Yang memenuhi keperluan asas makan minum, pakaian, tempat tinggal, pengangkutan, kesihatan dan lain-lain lagi ialah wang. Rukun penting naik haji pun ditunaikan atas kemampuan wang. Maka tajuk-tajuk berita dan tulisan yang menarik minat pembaca akhbar, baik atas talian atau di halaman, ialah hal-hal wang. Al-fulus, kata Arab.

Akhir-akhir ini akhbar ini 'menggendangkan' muka hadapannya dengan berita-berita skandal wang, mencakup BMF, anak syarikat Bank Bumiputra; 'Penyangakan' Wang di Bank Negara dan 1MDB. Saya juga terpanggil untuk menyertai sama pada Jumaat lepas, dengan mencungkil skandal lebih setengah bilion ringgit wang rakyat hangus 10 tahun lampau. Sebenarnya, skandal-skandal yang disebutkan itu, kecuali 1MDB, berlaku lebih 10 tahun dahulu.

Seorang peguam memberitahu Sinar Harian, jenayah wang tidak terbatas jangka waktunya, biarpun lebih 30 tahun. Oleh itu tidak ada cara lebih baik bagi mendapat penyelesaiannya melainkan melalui RCI (Royal Commission of Inquiry) atau Suruhanjaya Penyiasat Diraja. Contohnya, pada tahun lepas Peguam Negara AS, Janet Lynch (kini mantan) memberitahu dunia tentang ‘negatif’ 1MDB. Beliau jelas mengatakan entiti itu membuka jalan bagi orang-orang tertentu ‘mengotorkan’ sistem kewangan AS dengan berlakunya pemindahan wang yang bertentangan peruntukan undang-undang AS.

Katanya, ratusan juta dolar wang kotor digunakan untuk membeli apartmen dan 'mansion' mewah, lukisan-lukisan berharga serta membuat filem yang amat mahal.

Seperti seluruh rakyat maklum, satu kekecohan besar sudah berlaku sejak itu yang akhirnya menyaksikan Peguam Negara, Gabenor Bank Negara dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia hilang jawatan masing-masing.

Ketiga-tiga mereka adalah nombor 1 dalam lapangan masing-masing: Peguam Negara ialah penguat kuasa undang-undang negara No 1, Gabenor Bank Negara No 1 dalam sistem kewangan negara, dan Ketua SPRM No 1 dalam urusan pencegahan rasuah negara. Gabenor Tan Sri Zeti pernah dikenali salah seorang gabenor bank pusat terbaik di dunia. Justeru, bolehlah dikatakan beliau pasti prihatin terhadap wang sejumlah RM2.6 bilion yang masuk ke dalam Arab-Malaysian Bank (Ambank).

Berdasarkan undang-undang, Ambank, Azman dan pemilik akaun yang dikreditkan RM2.6 bilion sama-sama bertanggungjawab tentang buruk-baiknya. Kemasukan dan pemindahan wang yang banyak ke dalam bank secara sulit tanpa terus terang ialah satu perbuatan jenayah. Melalui jentera kuat kuasanya, Gabenor BNM mendapat tahu apa yang berlaku pada Ambank itu. Mungkin beliau dapat menangani kes-kes begitu pada masa lepas, tetapi apabila ia kena batang hidung PM, ia menjadi sesuatu yang ‘salah-habah’. Berdasarkan fakta dan undang-undang, ia adalah satu cabaran yang maha besar, yang sukar diatasi kepada semua pihak terlibat.

Di Singapura dan Switzerland terdapat berita bahawa mereka yang terpalit dengan 1MDB dikenakan tindakan dan hukuman. Kedua-dua negara itu dianggap dunia sebagai mempunyai integriti kewangan paling tinggi. Oleh itu kedua-duanya amat dipercayai. Jika itu boleh dianggap ribut puting beliung yang bakal melanggar kita, maka sikap berjaga-jaga adalah sangat wajar. Jangan terhantuk baru tengadah.

Pekan ialah kawasan parlimen PM DS Najib bersebelahan Kuantan,  kawasan Parlimen saya suatu ketika dulu. Orang Pekan beruntung kerana adanya jalan Kuantan-Pekan sejauh hampir 50 kilometer macam lebuh raya dua jalur. Di tengahnya terdapat tiang lampu berbentuk indah. Tidak terdapat di tempat lain jalan dedikasi sebegitu baik. Tentunya banyak lagi faedah didapati pengundi di situ yang tidak nampak di mata.

Adakah faedah-faedah itu menjamin pemilihan semula PM DS Najib dalam PRU nanti? Atau mungkinkah skandal luas di atas boleh membetung alur? Tok Najib dapat pengajaran berharga apabila beliau mengalahkan calon Pas dengan majoriti hanya 200 undi dalam PRU 1999.