CERITA berikut tidak pernah disahkan ketulenannya tetapi ia sangat menarik dan mungkin benar-benar berlaku. Kediaman menteri besar ini mengalami kekeringan air. Jadi pembaiki  bekalan air datang  membuat pembetulan. Akhirnya mereka dapati tangki air tersumbat.

Sebab kesumbatan itu ialah banyaknya beg plastik yang mengandungi wang tunai berdenominasi besar: RM50, RM100 dan RM1,000. Logiknya, wang tunai berjuta ringgit itu sudah lama terkepuk di situ sehingga ia dilupai.

Penyorokan begitu lazimnya ialah wang rasuah atau wang kotor yang tidak boleh dimasukkan secara langsung ke dalam bank. Jika dimasukkan, usulan daripada mana wang itu datang, siapa pemberi  dan untuk apa diberi akan berupa satu masalah besar.

Lebih teruk lagi, apakah wang itu sudah diisytiharkan kepada Jabatan Hasil Dalam Negeri. Ia pasti jadi satu rentetan jenayah yang hodoh, boleh berakhir dengan penjenayah dikurung lama di dalam penjara, di samping mengalami satu penghinaan yang tidak terhingga.

Sungguhpun cerita itu habis di situ saja, namun rata-rata orang percaya kemungkinannya amat besar sekali. Ini dikaitkan dengan kayanya kroni-kroni beliau yang dikenali ramai.

Ia dikenal pasti daripada jenama kereta mewah, rumah tersergam di ibu kota KL, kekerapan kunjugan ke luar negara di kelas satu atau kelas bisnes, seolah-olah ‘balik kampung’.  Mempunyai banyak wang yang tidak sepatutnya dimiliki, membuatkan seseorang itu tidak hati-hati dalam tutur kata.

Terkeluarlah dari mulut bahawa mereka mempunyai rumah atau apartmen di kota-kota besar seperti London, Sydney, Melbourne dan lain-lain lagi. Apabila anak-anak berkahwin, majlisnya tidak ragu-ragu lagi amat mahal: hotel lima bintang dan alatan perhiasan memakan belanja jutaan ringgit.

Justeru, orang senang mengolah: kalau kroni-kroni sudah begitu kaya dan mewah, tentunya beliau sendiri berganda-ganda lagi kekayaan dan kemewahannya.

Tidak perlu diulangkan, MB dan KM sebagai pemerintah tertinggi sesebuah negeri dalam Malaysia mempunyai kuasa dalam hal ehwal tanah, baik di atas, di muka, malah di bawah tanah. Dengan itu tanah komersil, bangunan dan pertanian adalah dalam urususan kuasanya.

Begitu juga hutan rimba yang penuh dengan pokok balak, serta mana-mana tanah yang mengandungi galian bijih timah, emas dan lain-lain lagi.

Allahyarham Datuk Harun Idris, MB Selangor, adalah seorang pemimpin berkaliber besar tetapi dek permusuhan politik beliau menghadapi tuduhan-tuduhan rasuah ketika PM Datuk Hussein Onn berkuasa.

Hanya dengan satu tuduhan (sebelum semua tuduhan dibicarakan), iaitu beliau meluluskan pembikinan jejantas (di atas muka tanah) di Ibu Pejabat HSBC KL, sudah cukup untuk mahkamah menjatuhkan hukuman bersalah ke atasnya, lalu dipenjarakan beberapa tahun. Kaliber besarnya terkulai.

Sejarah menyaksikan jarang sekali MB atau KM dibawa ke mahkamah kerana salah laku pelaksanaan kuasa ke atas tanah.  Oleh itu, MB yang dikononkan dengan kisah beg plastik berisi wang berjuta dalam tangki air itu berlalu begitu saja, malah dinaikkan pangkat.

Namun wang yang banyak dalam tangannya menjenguk keluar juga. Rumah ibarat istana dirobohkan dan digantikan dengan mahligai (jauh lebih besar daripada yang terdulu). Itu kisah pemimpin politik.

Bagaimana pula pemimpin pentadbiran kerajaan? Jawabnya, seperti ahli politik, tidak semua pegawai kerajaan yang rasuah. Selain berlakunya rasuah ketika mereka masih bekerja, rasuah juga berlaku selepas mereka bersara dan menjadi pengerusi atau ahli lembaga pengarah sesebuah badan atau firma kerajaan. Apa yang saya sebut berikut ialah seperti puncak pulau ais: 10 peratus timbul, 90 peratus tenggelam. 

Sebagai contoh, ambil mantan pegawai amat tinggi ini. Beliau dijadikan pengerusi sebuah firma besar kerajaan. Apabila renovasi ibu pejabat firma itu hendak dibuat, syarikat yang ada kepentingan pengerusi itu berjaya mendapat kontraknya.

Caranya senang saja. Beliau mengisytiharkan ada kepentingan itu. Lalu tender terhad dibuka untuk disebut harga oleh tiga syarikat, termasuk syarikat berkepentingannya.

Tidak sukar untuk diseluk bagaimana sebut harganya paling murah, lalu berjaya. Inilah yang dipanggil politik kamar lembaga pengarah. Takkan dengan perisytiharan kepentingan maka pengerusi itu menjadi pihak kontraktor seperti orang lain.

Takkan pula pihak pengurusan tidak bertindak licik untuk menjayakan sebut harga syarikat yang ada kepentingan pengerusinya.  Sikap tidak dIpeduli  oleh pihak pemimpin politik teratas membuatkan gejala buruk begitu berterusan.  Bila kerajaan PH kini mendedahkan projek gah keretapi cernaan kerajaan BN dulu terlalu mahal, kebanyakan orang terseyum sinis.

Mereka tahu di mana lebihan kos itu akan diagihkan. Ia tidak rumit difahami. Ia senang bak ABC. Yang pasti seperti malam mengikuti siang, rakyatlah yang menanggungnya.

*Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet