DI negara-negara maju, sukan adalah sesuatu yang penting biarpun di peringkat pemimpin negara dan kerajaan. Sesiapa yang menawarkan diri untuk dipilih dalam pilihan raya, prestasinya dalam mana-mana sukan di sekolah, maktab dan universiti diambil kira.

Jika diketahui dia pernah menjadi bintang di mana-mana peringkat, apalagi kalau keratan akhbar dikorek semula dan mereka yang sezaman dengannya mengakui bakat luar biasanya, maka markahnya untuk dipilih bertambah.

Zaman kolonial dulu, apabila ada pegawai tinggi diketahui sebagai pemain kriket, bola sepak atau olahragawan utama di daerah atau kotanya di England, segalanya disebut.

Dia dihormati, diberi tempat dalam persatuan atau lembaga tertentu berkenaan sukan. Paling kurang dia dijadikan pengadil dalam pertandingan daerah atau negeri. Jika dia terampil di Kuala Lumpur, lambat laun dia akan menjadi pengadil Piala Malaya, hoki atau kriket.

Di AS, ada beberapa presiden pernah menjadi bintang di universiti, bermain American football. Salah seorang ialah Presiden Ford yang pernah bermain untuk University of Michigan.

Gambar beliau dalam akhbar semasa berusia 20 tahun sedang bermain di stadium universiti diulang-ulang siarannya. Presiden Kennedy juga terkenal sebagai pelayar, justeru gambar-gambar beliau berlumba di laut selalu digunakan di sana-sini.

Juara tinju dunia Pacqiao dipilih sebagai seorang senator di Flipina. Arnold Schwarzenegger, walaupun lahir di Austria, telah dipilih sebagai gabenor berasaskan latar belakangnya sebagai juara dunia dalam angkat berat, justeru menjadi pelakon Hollywood ala orang gagah.

Soalnya, mengapa American football dan Australian football menjadi satu kegilaan di AS dan Australia, masing-masing menjadi sukan nombor satu, melahirkan pemain-pemain jutawan, sedangkan sepak takraw jaring terus menjadi sukan amatur di sini, hanya penting untuk berpeluh dan berekreasi.

Salah satu sebab mengapa sepak takraw tidak diminati semua bangsa, hanya terbatas kepada orang Melayu, itu pun jumlahnya amat sedikit, ialah caranya dimainkan. Sentuhan tiga kali saja membuatkan ia tidak menarik. Tap, tap, tum.

Walaupun rumit melakukannya, tetapi ulangan tiga sentuhan itu adalah membosankan. Berbanding dengan bola tampar, yang juga terbatas kepada tiga sentuhan, tetapi bolanya senang diambil oleh pihak lawan, maka bolanya terus hidup lebih lama melintasi dua belah jaring.

Bola tampar mula diperkenalkan dalam Olmpik Tokyo 1964. Disebabkan Jepun sebagai tuan rumah yang mahu memasukkan bola tampar itu, maka Jepun  berlatih keras, baik lelaki mahupun perempuan.

Selepas itu ia terus ditandingkan dalam Olimpik hingga sekarang. Latihan yang amat berat, sering terseliuh dan tercedera, menjadi ciri-ciri persiapan untuk memasuki Olimpik.

Sepak takraw pula mula dimasukkan ke dalam Sukan Seap (Souteast Asia Peninsula Game) pada 1971 yang berlangsung di Kuala Lumpur. Ketika berunding untuk memasukkan sukan ini, soal nama menjadi sesuatu yang rumit.

Di Malaysia, ia dipanggil sepak raga jaring. Justeru cadangan ia dipanggil Sepraja dikemukakan, sesuai sebagai permainan raja-raja.

Di Thailand, ia ada panggilan sendiri. Akhirnya, sepak diterima, sedangkan takraw yang bererti bola rotan dalam bahasa Thai, juga diterima. Jadilah ia sepak takraw. Pun begitu setelah sepak raga jaring ini dimainkan sejak tahun-tahun 1950-an, ia masih amat terbatas daripada jumlah mereka yang bermain dan juga peminatnya.

Sebelum pakai jaring macam main badminton, ia dimainkan secara bulatan. Yang sini sepak ke sana, yang sana sambut dan menghala ke sana, kiri dan kanan, pastikan lebih lama ia tidak jatuh, lebih baik. Kepandaian pemain diukur bagaimana ia menyambut bola yang susah dan senang.

Semasa saya bersekolah, sepak takraw tidak dimainkan, tetapi ketika di universiti, ramai juga yang bermain di gelanggang badminton.

Ketika saya menuntut di sebuah universiti AS, beberapa pelajar dari Malaysia bermain ketika stadium universiti tidak dipakai. Satu hari Akhbar Siswa menyiarkan sepak takraw sedang dimainkan dengan kaki di atas dan kepala di bawah. Kagum sekali! Tajuknya berbunyi International Volley Ball.

Namun segalanya hanya setakat itu. Jika sepak takraw hendak pergi jauh dan diminati di peringkat internasional, ia perlukan perubahan cara bermain yang radikal. Tidak cukup dengan tap, tap, tum.