TAJUK di atas bukan menjajarkan soal keagaman dengan gelagat goblok seorang pemain bola utama  dunia dari Brazil. Ia semata-mata menunjukkan bahawa ruangan ini kali ini memperkatakan dua tajuk menarik. 

Tidak berapa lama dulu seorang ibu memberitahu saya di kampung bahawa beliau menghantar anak lelakinya ke sekolah tahfiz kerana dia tidak terkawal kenakalan anaknya. ‘Nyata sekali dia sudah terkawal apabila berada dalam tahfiz,’ katanya.

Bukan menjadi tugas saya untuk berdialog dengannya tentang baik buruk tahfiz. Malahan tidak ada ilmu yang tidak baik jika ia diikuti sebaik-baiknya. Cuma saya sentiasa berpegang bahawa sebarang ilmu harus terarah untuk memenuhi tujuan utama anugerah ALLAH SWT, iaitu hayat kita, yang bererti kehidupan kita.

Keperluan asas dalam hayat kita ialah menyuburkan hayat itu sehingga akhir hayat melalui pemakanan, pemakaian, perumahan, pendidikan, penyihatan diri dan segala tuntutan lain bagi menggenapkan keperluan-keperluan asas itu.

Pengalaman hidup saya menyaksikan hafiz selalu melengkapkan majlis, baik berbentuk agama atau istiadat, mengalunkan ayat-ayat suci yang persis tajwid dan lain-lain lagi, tentunya menerima penghayatan para hadirin yang tidak terhingga.

Bagi hafiz, apa yang beliau lakukan ialah satu usaha mendapat rezeki yang halal dari huluran tuan rumah atau sesiapa yang berkenaan.  Dengan tidak mempertidakkan luhurnya tindakan memberi dan menerima, namun ada kata-kata hikmat keagamaan yang berbunyi ‘tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima.’

Si ibu itu seolah-olah memberikan gambaran bahawa memasukkan anaknya ke tahfiz ialah untuk menyelessaikan masalah semasanya, antaranya beliau harus bertugas di pejabat dari pagi hingga ke petang, menjaga anak-anak lain serta pelbagai lagi tuntutan diri, sanak saudara, tetangga dan keikhwanan masyarakat. Namun dengan terselesainya masalah semasa anaknya itu, apakah sudah beliau fikirkan sedalam-dalamnya masa depan anaknya itu?

Hayat dan kehidupan kita ini terletak pada faktor memilih dari pelbagai pilihan. Usia pemisah untuk hidup bebas di atas kaki sendiri ialah 18 tahun, yang kebetulan sama dengan usia kelayakan mengundi dalam pilihan raya. Dunia kini dan akan datang ialah dunia global, seantero, bukan lagi terhad kepada kampung atau kota kelahiran yang terbatas.

Ya, global village atau desa global. Dulu kelasi sesat dari Terengganu boleh terjumpa di New York dan London yang berkeluarga dengan isteri kulit putih, dan Terengganu hanya tinggal kenangan manis yang sayup. Kini di dua kota yang sama itu masih terdapat mereka dari sana, tetapi pekerjaan mereka ialah eksekutif korporat dan menjalankan perniagaan sendiri hasil pendidikan mereka di sana.

Orang kita cenderung ikut cara yang bermusim. Dalam tahun 1950-an, sana-sini heboh penubuhan sekolah agama rakyat. Ramai anak diberhentikan dari Sekolah Melayu (SK kini) dan dimasukkan ke sekolah agama begitu. Seorang adik saudara saya menemui jalan buntu kerana kemarau guru dan kurikulum, lalu mengambil SRP walaupun amat terlambat. Selepas lulus tipis, mujur beliau mendapat kerja dengan Risda. Saya ulangi, mujur. Ini bererti amat ramai orang sepertinya langsung tidak mendapat pekerjaan.

Tidak salah tahfiz dan hafiz disuburkan. Kedua-duanya banyak terdapat di bumi Arab. Namun mereka wajar berada pada kedudukan yang boleh memilih daripada pilihan yang luas untuk mencari rezeki demi hari muka mereka, keluarga dan titisan darah mereka. Jika hafiz pilihannya, itulah keputusan wajarnya.

PIALA DUNIA. Amat luar biasa sekali seorang pemain yang dianggap salah seorang daripada tiga pemain bola terbaik dunia kini menjatuhkan reputasinya  dengan melakukan kepura-puraan Bollywood  yang jelik di pentas terbesar sukan dunia. Sesiapa saja pemain cemerlang bola dibandingkan dengan Pele, apalagi jika pemain itu dari negara yang sama dengan Pele, Brazil.

Pemain yang terlalu pura-pura terjejas kerana kononnya dikasari adalah bukan pemain besar. Di sini, pemain begitu dipanggil pemain estet. Tiada mutu dan tiada kelas. Namun itulah yang dipilih oleh Neymar. Diberikan penalti kerana dipercayai ditarik oleh lawan, terbukti akhirnya beliau pura-pura. Teknologi kamera terkini mendedahkan kepalsuan itu lalu pengadil membatalkan penalti. Peminat dan penonton naik meluat.

Bola ialah permainan kontak atau berlaga badan, maka berlaga badan adalah lumrah asalkan jangan main kasar; tetapi Neymar apabila bola diambil dari kakinya lantas jatuh menggelupur bagaikan lutut dan kakinya sudah hancur. Beberapa detik kemudian lantas dia berlari, merebut bola dan terus menggentel  dua tiga orang. Pemain termahal ini jika meneruskan aksi palsunya pasti dibenci dan akan di’boo’ habis-habisan hingga dia tiada hati untuk bermain lagi. 

Sebaliknya pendahlunya Pele telah menjuarai tiga kali Piala Dunia, 1958, 1962 dan 1970 – pertama kali ketika beliau baru berusia 17 tahun di Sweden – dan menjadi pemain agung begitu lama, tanpa perlu berpura-pura. Justeru Neymar goblok ini jika terus dengan kegoblokannya pasti hampa menjunjung Piala Dunia langsung!   

* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet