RAKYAT Malaysia rata-rata berada dalam keadaan tegang apabila pelantikan Tun Dr Mahathir tertangguh begitu lama. Sesudah semua ahli Parlimen Pakatan Harapan (Harapan) dan penyokong-penyokong lain mengangkat sumpah bertauliah bersetuju sebulat suara beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia, masih lagi timbul kebimbangan pelantikan itu tidak berlaku.

Lama selepas semua keputusan PRU14 diketahui, dari larut malam 9 Mei hingga berlarutan keesokannya, tanda pelantikan masih belum positif.

Dalam pada itu, terdapat isyarat berbaur apabila Tun Dr Mahathir kelihatan dalam media sosial sedang menunggu lama selepas tiba di Istana Negara pada jam 4.40 petang.

Di tempat lain, Datuk Seri Najib bersama beberapa pemimpin Umno meluahkan kenyataan mengitar semula apa yang selalu kedengaran di TV Malaysia dan TV3 bahawa pihaknya terus menerus difitnah.

Pada hari PRU itu pun, katanya, fitnah bahawa beliau akan menggagalkan PRU terus berlaku. Untuk itu, perumpamaan tradisi Melayu yang berbunyi ‘Rumah siap, pahat berbunyi’ datang ke kepala saya. Pengertiannya terlalu nyata untuk diuraikan, tetapi cukup disendalkan dengan ‘sudah terang lagi bersuluh’.

Namun dalam keadaan bimbang dan ragu itu, alih-alih bergemerlap ucapan maha ringkas daripada Sultan Johor. Dengan berpakaian ringkas dalam keadaan relaks, baginda menekankan pentingnya suara rakyat, di satu pihak, dan tidak relevannya kepentingan peribadi mana-mana individu.

Baginda lalu menyeru ‘bangsa Johor’ dan rakyat Malaysia umumnya agar menyokong pelantikan perdana menteri baharu secepat mungkin demi kepentingan rakyat dan negara tercinta. Reaksi di telefon saya semuanya kata titah baginda itu ‘short and sweet’ (pendek dan manis).

Rakyat Malaysia menjunjung sistem monarki berperlembagaan yang diperkemas oleh kolonialis British sejak ia menjejak kaki di Tanah Melayu pada abad ke-18 apabila Pulau Pinang diserahkan oleh Sultan Kedah kepada British, sebelum diikuti oleh Singapura dan Melaka.

Apabila Sultan Johor menyebut ‘bangsa Johor’ ia memberikan cetusan bahawa ia satu bangsa tersendiri di tengah-tengah rakyat Melayu di sini. Bagaimanapun, rakyat Melayu pada umumnya berandaian bahawa sebutan itu adalah ‘benign’ atau bermaksud baik yang tidak lebih daripada rujukan kepada orang Minang, Aceh, Jawa, Bugis, Mandiling  dan lain-lain lagi yang terangkum sebagai Melayu.

Johor adalah negeri yang sangat menarik sebab pernah terangkum dalam konsep kerajaan Melayu Riau-Johor. Sehingga sekarang Riau di Sumatra dengan Pekan Baru sebagai ibu kotanya dirujukkan sebagai wilayah Melayu. Bahasa sebutannya menyamai sebutan Johor.

Bagaimanapun setelah Sultan Hussin menyerahkan pulau Singapura kepada Stamford Raffles pada tahun 1819 sebagai tempat persinggahan – dipenuhi belukar dan hutan belantara – penyerahan itu kekal hingga sekarang.

Mungkin beliau hanya bersetuju perahu dan kapal layar berlabuh di situ, tetapi bahasa Inggeris yang digunakan bermaksud penyerahan selama-lamanya; samalah halnya seperti penyerahan Manhattan New York oleh Orang Asli di situ kepada penjarah Eropah. Harganya hanya dalam bentuk gelang, loket, dan bahan-bahan dandanan diri yang lain.

Selepas penyerahan Singapura itu tidak tercatat dalam sejarah secara nyata bahawa Sultan Hussin mempunyai anak dan cucu yang bertakhta di Johor. Mungkin Baginda lebih bertumpu di Riau di Sumatra dan membiarkan British menangani Johor yang bersebelahan Melaka.

Ini kerana pada awal abad ke-19, British menyerahkan Bengkalis di Sumatra kepada Belanda sebagai balasan Belanda menyerahkan Melaka kepada British. Persefahaman British-Belanda ini memungkinkan Johor yang bersempadan dengan Melaka berada di bawah bayangan British.

Di pertengahan abad ke-19, British sangat mesra dengan Temenggung Abu Bakar yang kemudiannya menjadi Sultan dengan gelaran Maharaja. Hubungan baik antara baginda dan British menggalakkan baginda tinggal lama di England. Begitu juga anakanda baginda, Sultan Ibrahim. Mungkin rujukan Bangsa Johor bermula pada zaman baginda berdua.

Titah yang ‘pendek dan manis’ oleh Sultan Ibrahim pada 10 Mei 2018 itu sewajarnya sangat berkesan dalam ketegangan pelantikan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri. Titah Baginda itu adalah amat bersejarah.

Ia  mampu mengukuh dan mengemaskinikan sistem monarki berperlembagaan Malaysia selaras dengan monarki UK, Belanda, Belgium, Sweden, Jepun dan Thailand, antaranya.

Rakyat UK yang pernah menjajah kita sentiasa ingat bahawa 360 tahun dulu King Charles l telah dihukum pancung kepala kerana menentang keputusan ahli-ahli Parlimen. Hukuman itu berupa faktor penting terhadap penerusan Monarki Berperlembagaan di England dan di mana-mana yang berkenaan di seluruh dunia. Di atas asas itu jugalah tegaknya monarki kita.                                        

* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet