RAHIM Kajai ialah tokoh wartawan Melayu yang era kemuncaknya sebelum Perang Dunia Kedua. Saya tidak sempat mengenalinya tetapi saya kenal rapat anaknya, Salim Kajai, yang jawatan terakhirnya ialah Pengarang Berita Harian sejak pertengahan tahun 1970-an. Salah satu rencana pengarang Rahim Kajai yang meletup bertajuk  Apa Salahnya Riadah Perempuan?

Daripada tajuk itu sendiri kita boleh membuat kesimpulan bahawa beriadah bukan semata-mata untuk pria tetapi juga wanita. Sudah pastinya waktu itu wanita (khususnya Melayu) tidak main badminton, bola jaring atau ping pong, juga tidak berlumba lari pecut atau jarak jauh. Namun, memandangkan badminton popular ketika itu dan ramailah gadis Cina dan India di sekolah Inggeris bermainnya, maka terikut-ikut sama sekerat dua murid Melayu bermainnya. Orang di sekeliling nampak, maka gadis Melayu yang melangkah dan melompat menangkis shuttle menjadi buah mulut. Justeru dalam khutbah Jumaat terdengar kata-kata negatif bukan saja tentang perempuan (masa itu penggunaan wanita belum meluas) dengan badminton malah dengan semua bentuk riadah (kini dipakai rekreasi).

Dalam kepanasan begitulah Rahim Kajai berani memperkatakan persoalan perempuan dengan riadah seperti terbayang dalam tajuk rencananya itu. Kini, wanita terlibat dalam sukan pencak dan lawan fizikal, usahlah disebut hoki, badminton, skuasy, boling laman dan boling tenpin, lari pecut dan jauh, segala jenis lompat dan tentunyalah berenang.

Bola pastinya akan jadi sukan diminati ramai wanita, lambat laun. Satu episod yang mencerminkan sikap wanita Melayu tentang sukan ini berlaku pada 1959, dua tahun selepas merdeka.

Terdapat berita sedih dalam akhbar bahawa seorang doktor telah meninggal dunia apabila keretanya terlibat nahas dalam perjalanan balik ke Johor dari Kuala Lumpur selepas menonton pertandingan akhir Piala Malaya di Stadium Merdeka. Seorang ibu tidak menunjukkan rasa terharu selepas membaca berita itu, sebaliknya memberikan komentar kepada suaminya yang mengangguk bersetuju: "alangkah tidak restunya kematian doktor itu kerana berlaku setelah riak…"

Kemudian, si ibu itu pulang ke kampung apabila suaminya, seorang pegawai rendah, bersara awal pada usia 50. Si ibu itu mula menyertai parti politik. Selepas tidak berapa lama, dia menjadi Ketua Kaum Ibu, kini dipanggil Wanita. Kalau lima tahun dahulu, dia mengecam ‘riak’ kerana kematian doktor itu tetapi lima tahun kemudian, dia pula yang pergi lebih jauh dari itu: dia berlakon di pentas. Jelas sekali semasa suaminya bertugas, mentalnya sempit dan terbatas, tidak ada aktiviti kemasyarakatan. Begitulah kehidupan kemasyarakatan dan kebestarian kata-kata Melayu, 'jauh berjalan, luas pandangan’ yang memberikan pengajaran baik kepadanya.  

Sukan bola dunia FIFA tidak lekang dengan rujukan kepada negara Islam:  Arab Saudi, Iran, Maghribi, Mesir, Algeria, Jordan, Turki, Iraq, Syria, Kuwait, Bahrian, UAE, Qatar dan lain-lain. Semuanya bersaing sengit demi ranking FIFA ataupun kejuaraannya. Untuk sekian lama Dubai menganjurkan kejohanan golf penting yang disertai paling kurang 10 pemain terbaik dunia.  

Qatar pula, ibu kotanya Doha, pernah menganjurkan Sukan Asia dan akan menganjurkan Piala Dunia FIFA 2022. Inilah pertama kali sebuah negara Arab menganjurkannya.

Selepas menyebut segalanya itu, Malaysia banyak membazir sumber dan rezeki. Di sekitar Kuala Lumpur (KL) saja, terdapat kira-kira 100 padang golf tetapi kita tidak berjaya menghasilkan seorang pun pemain dalam kalangan 10 terbaik  Asia. KL berjaya mengatasi New York, Miami, Houston, San Francisco, Seoul, Paris, London dan Madrid dalam jumlah padang golf, tetapi dalam jumlah juara, KL ketandusan. Apabila Sukan Komanwel 1998 diadakan di sini, Stadium Nasional Bukit Jalil dilaungkan sebagai terbesar di dunia memuatkan 100,000 orang, tetapi kita hanya menghasilkan olahragawan kampung.   

Kenapa tenis, golf, bola dan olahraga? Jawabnya, rezeki. Wang! Arab Saudi, bumi Makkah dan Madinah, tidak lekang dengan wangnya daripada minyak. Seperti  bumi dirahmati ALLAH itu, orang muda kita patut kejar wang demi kemakmuran diri dan nusa. Tiger Woods dalam golf dan Roger Federer dalam tenis mempunyai kekayaan lebih 500 juta dolar AS dari wang hadiah dan endosement.  

Pemain bola sepak Neymar ditawarkan AS$200 juta untuk berpindah ke Paris. Usain Bolt sudah ada AS200 juta dalam akaunnya. Tidak salah menjadi kaya melalui sukan! Ikutilah teladan mereka. Usahalah bermati-matian. Sebagaimana maksud firman ALLAH: "Aku tidak mengubahkan nasib kamu; melainkan kamu sendiri mengubahkannya."