SAYA pernah menghadapi soal jawab dengan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di sebuah kamar di Parlimen. Seorang MP ahli PAC, tiba-tiba mengemukakan satu soalan. Nyata sekali soalan itu dibuat sesudah beliau membuat kesimpulan. Itu kesalahan pertama. Beliau patut tunggu dulu. Kesalahan kedua, beliau meninggalkan mesyuarat sebelum saya menjawab soalannya.

Kini, beliau menjadi seorang menteri. Banyak kenyataan yang telah beliau buat. Hampir semuanya menimbulkan kontroversi. Beliau seolah-olah tidak mempedulikan sama ada kenyataannya betul atau tidak. Yang penting ia mencetuskan persoalan. Mungkin beliau bersikap mahu melakukan provokasi; maka orang dan media akan memperkatakannya. Beliau akan mendapat publisiti. Soalnya, adakah itu kriteria seorang menteri?

Dalam lapangan komunikasi, publisiti buruk atau baik tetap publisiti. Ia lebih baik daripada tiada publisiti langsung.  Beberapa minggu lepas, saya menyatakan keganjilan beliau yang mengaku bahawa orang yang dimaksudkan MO1 itu ialah Perdana Menteri. Ini memang betul. Namun begitu, beliau sebagai  menteri dikehendaki tidak menyatakan sesuatu yang bertentangan dengan apa yang tuturkan oleh PM. Bukankah itu bertentangan dengan tanggungjawab kolektif? Bukankah kelainan begitu yang mengakibatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin disingkirkan oleh PM dari Kabinet?

Itulah sebabnya saya mengatakan  beliau tentunya menghadapi keadaan yang resah, justeru beliau mungkin bersusah payah mencari jalan keluar ataupun bersilat politik untuk menyelamatkan dirinya. Bagaimanapun, rakyat menghayati beliau kerana berani bercakap benar. 

Seorang lagi seolah-olah bersikap merendahkan hemah dan kecerdikan rakyat. Dalam ilmu komunikasi, terutama yang bertulis dan bertutur, apa yang hendak disampaikan harus difahami oleh seorang yang berusia 12 tahun. Jika di AS, dia ialah seorang murid di tahun 7.  Di sini, dia di tahun 6. Dengan cara begitu, penulisan dan penuturan yang relevan sampai ke audiens seramai mungkin. Oleh itu kita boleh menyimpulkan itulah tahap bahasa yang dipakai oleh akhbar, TV dan radio.

Bayangkan apabila peguam negara AS menyatakan ciri-ciri MO1 persis PM Najib, sedangkan menteri itu menafikannya, tentunya audiens  dewasa terasa geli hati macam dicuit-cuit. Menteri yang kedua ini pula berbeza 360 darjah dengan menteri pertama di atas. Kebijaksanaan diri adalah amat penting. Betul atau tidak tudingan Peguam Negara AS itu adalah soal lain. Jika seorang menteri tidak sensitif dalam perkara begini, ia luar biasa sekali. Ini membawa kita kepada soal kesesuaian penjawat dengan jawatan menteri. 

Tun Dr Mahathir ketika menjadi PM pernah berkata bahawa menteri-menteri dalam Kabinetnya tidak mempunyai kepakaran yang sesuai dalam perkara tertentu. Itu sebabnya terdapat projek-projek penswastaan yang terbukti berat sebelah: membawa kerugian kepada kerajaan. Saya percaya dalam kalangan kementerian yang begitu banyak; kementerian kewangan, perdagangan dan pertanian menuntut kepandaian, kalaupun tidak kepakaran yang relevan. 

 Baru-baru ini saya berbual dengan seorang tokoh korporat. Antara bisnes di bawah pengurusannya ialah perhotelan. Katanya, nilai sesebuah hotel adalah menurut jumlah bilik. Yang enam bintang, nilai biliknya ialah X; lima bintang, Y; empat bintang, Z; 3 bintang, A; dan seterusnya. Nilai-nilai itu diasaskan pula dengan sewanya.  Berdasarkan itu semua, nilai penuh hotel–hotel itu boleh diperhitungkan. Beliau menamakan sebuah hotel enam bintang di Kuala Lumpur di bawah pengurusannya. Segalanya meyakinkan. Malah keyakinanlah yang menjadi inti penerimaan orang. 

Dalam politik, bahasa adalah amat penting. Tetapi penggunaan bahasa berubah-ubah menurut keadaan. Tidak ada kompromi dalam penggunaan bahasa Melayu dalam politik Malaysia. Apabila di luar Malaysia pula, suka tidak suka kita harus akur dengan pentingnya bahasa Inggeris. Selain daripada orang Malaysia dan Indonesia, tidak ada orang lain yang tahu bahasa Melayu. Maka bahasa Inggerislah yang harus digunakan.

Oleh itu mana-mana menteri yang harus berkomunikasi kepada dunia, mereka mesti sekurang-kurangnya pandai berbahasa Inggeris. Tentulah PM tahu siapa yang mampu dan siapa yang tidak mampu. Lantikan menteri yang tidak menurut kemampuan tugas boleh menjejaskan integriti PM sendiri. Kelulusan profesional dalam undang-undang, kedoktoran, kejuruteraan dan sebagainya boleh menjadi asas pelantikan menteri demi kepelbagaian bakat dalam Kabinet. Mungkin ketiadaan kepelbagaian begitulah yang pernah menjadi rintihan Tun Dr Mahathir.