DEMAM pilihan raya umum (PRU) bertambah panas. Paling lewat PRU14 mesti diadakan pada 24 Ogos 2018 menurut hakikat yang termaklum. Hakikatnya ialah PRU13 diadakan pada 5 Mei 2013. Sidang Parlimen pertama selepas itu ialah 24 Jun 2013.

Lima tahun selepas sidang itu, Parlimen wajib dibubarkan selewat-lewatnya pada 24 Jun 2018. Dalam masa 60 hari seterusnya, tidak lewat daripada 22 Ogos 2018, PRU14 perlu diadakan.

Kiranya darurat atau keadaan luar biasa berlaku, tarikh-tarikh itu menjadi tidak relevan lagi asalkan perdana menteri mahu dan Yang di-Pertuan Agong akur: tangguhkan PRU dan diwujudkan satu pemerintahan alternatif. Inilah garis kasar perlembagaan yang diragamkan oleh pindaan undang-undang.

Sebagai satu maklumat biasa, PRU14 nanti sebenarnya ialah PRU15 jika diambil kira PRU pertama pada 27 Julai 1955, dua tahun sebelum merdeka. PRU itu diadakan untuk maksud penubuhan kerajaan sendiri.

Jelaslah, dengan memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan, parti Perikatan yang dianggotai Umno, MIC dan MCA telah mendapat kira-kira 80 peratus jumlah undi. Tunku Abdul Rahman pun menjadi ketua menteri.

Dengan mandat begitu besar, tidak sukar untuk beliau memerdekakan Tanah Melayu dari genggaman British pada 31 Ogos 1957. Bagi saya, PRU 1955 itu ialah yang julung-julung kali diadakan. Justeru PRU yang akan menjelang tidak berapa lama lagi ialah yang ke-15, dan bukan 14.

Rakyat Tanah Melayu, yang belum dirakankan oleh Sabah, Sarawak dan Singapura dalam Malaysia pada tahun 1963, bagai-kan berpesta menyediakan diri menghadapi PRU itu. Raptai PRU diadakan di kota dan di desa.

Lagu kempen PRU itu berentak lagu boria, nyanyian Zainal Alam, seorang penyiar Radio Malaya. Ia kerap kedengaran di Radio Malaya (TV hanya diperkenalkan pada hujung 1963) dari pagi sampai ke malam. Liriknya dengan sendirinya mengesahkan ia PRU pertama. Begini:

Undilah Tuan dan Puan

Julai dua puluh tujuh hari bulan

Pilihan raya yang pertama

Pergilah, undilah bersama-sama

Itulah stanza pertama di kalangan beberapa stanza. Menghadapi PRU mendatang membawa debaran dan demam yang lebih panas daripada yang 1955 itu. Kali ini merupakan kali pertama seorang bekas perdana menteri (PM) secara lantang dan terbuka mengecam dan menggugat perdana menteri yang ada. Sebab-sebabnya sudah diketahui umum. Jika diulang 1MDB dan rujukan MO1, MO2 dan lain-lain lagi yang dibuat oleh Peguam Negara dan Jabatan Keadilan (DOJ) AS, ia bak kata, berleter-leter. Malah itulah yang tidak kering di mulut Tun Dr Mahathir, bekas PM itu. Itulah juga yang diulang-ulang dan ditegaskan apabila ditemu bual oleh TV dan media dunia.

Dengan kata-kata lain, beliau sanggup dan bersedia dibawa ke mahkamah menghadapi tuduhan fitnah dan pengaiban maruah. Ia mencerminkan keazaman beliau dalam perjuangan politik sejak muda-muda lagi hingga menjadi PM Malaysia. Kini, melewati usia 90, keazaman itu adalah jauh daripada padam. Demi bersikap adil kepada rakyat, PM Najib patut membawa Tun Dr M ke mahkamah untuk mencari kebenaran, dan bukan hanya setakat penafian. Mahkamah adalah forum dan pentas asasi di mana pembohongan dan kejituan diluahkan oleh pihak-pihak tinggi yang bersengketa. Lebih tinggi taraf mereka lebih bererti. Benar tetap benar.

Ia isu kempen yang tidak mahu berlalu. Ini mengingatkan saya kepada PRU getir 1969. Rasa tidak puas hati membuka jurang sentimen perkauman. Debat kebudayaan nasional antara DAP dan Gerakan di auditorium Mara tahun 1968 dimenangi Gerakan tetapi pilihan raya kecil tidak berapa lama kemudian dimenangi DAP.

Demam dan remang isu – ada yang berbentuk ekonomi, pendidikan dan peluang hidup – mempunyai persamaan dengan suasana sekarang ini. Yang ber-denting ialah polarisasi kaum. Jika orang Cina bersikap satu hati pada PRU 1969 dan 2013, begitulah juga dikesani pada tahun ini. Siapa yang mereka mahu antara DS Najib dan Tun M untuk menjadi PM akan meninggalkan kesan pada keputusan PRU nanti.