SAYA ingat-ingat lupa, tetapi klip video yang ditunjukkan beberapa kali di TV jelas menunjukkan Hassan Sani dan James Wong mempamerkan persefahaman cemerlang sebelum menyumbat gol Korea Selatan.

Itulah kemuncak Harimau Malaya sempena perayaan Hari Malaysia yang ke-53. Itulah pasukan bola sepak Malaysia yang layak menyertai Sukan Olimpik Moscow 1980.

Itu ialah ulangan tahun 1972, apabila Malaysia mengalahkan Korea Selatan, Jepun dan Taiwan di Seoul dalam grup akhir Asia Timur untuk ke Sukan Olimpik Munich.

Pada tahun itu, Korea Selatan menduduki tempat nombor dua. Dalam tahun 1980, Korea Selatan perlu mengalahkan Malaysia untuk melangkah ke Moscow.

Namun ia ternafi sekali lagi. Setahun kemudian, pada tahun 1981, saya berbual tentang bola dengan Choi Gak-Yu, mantan Menteri Perdagangan Antarabangsa Korea Selatan, di Harvard University, Boston, AS.

Nyata sekali beliau seorang peminat bola, pernah bermain bola di peringkat tinggi pada usia muda. Secara kebetulan dia menonton perlawanan Malaysia-Korea Selatan pada tahun 1972, begitu juga perlawanan tahun 1980 di Kuala Lumpur.

Katanya, entah macam mana, Korea Selatan macam kena badi apabila bertemu dengan Malaysia. Rekod Korea Selatan amat buruk apabila menentang Malaysia.

Katanya, permainan memihak kepada Korea pada tahun 1972, tetapi Malaysia mendapat satu gol dari peluang yang jarang-jarang datang, apabila Syed Ahmad menanduk masuk ke dalam gol Korea. Saya kagum nama Syed Ahmad diingatinya.

Di Stadium Merdeka pada tahun 1980, keadaan pun hampir serupa. Korea menyerang kerap kali; banyak pemainnya ‘berkhemah’ dekat kotak penalti Malaysia. Tiba-tiba bola terpacul kepada Hassan Sani.

Beliau melarikan bola itu pantas ke arah gol Korea, dikuti rapat oleh James Wong. Menghampiri pemain ‘fullback’ Korea, Hassan menguakkan bola kepada James sebelum James memperdaya penjaga gol Korea lalu melorotkan bola ke dalam gol Korea.

Saya dan kawan-kawan duduk di kerusi berbumbung. Drama penyumbatan gol itu amat jelas di hadapan kami. Jika dikatakan kami terlompat-lompat bersorak macam beruk kena belacan, mungkin ramai tidak percaya.

Tetapi sebenarnya, itulah yang berlaku. Stadium Merdeka bagaikan hendak runtuh. Stadium yang sudah dibuat renovasi memuatkan penonton dari 30,000 kepada 45,000 pada tahun 1974 bagaikan ada 200,000 di dalamnya, bak saiz Stadium Maracana di Rio de Janeiro pada Piala Dunia tahun 1950.

Bagaimanapun segala riang dan ceria itu hilang begitu saja apabila Malaysia ikut AS memulaukan Olimpik Moscow itu.

Tentunya AS sendiri memboikot. Begitu juga banyak lagi negara yang berpihak kepadanya.

Menoleh kembali, Malaysia patut berhujah dengan baik dengan AS, bahawa Malaysia adalah negara kecil dalam banyak hal: ketenteraan, ekonomi dan kesukanan. Kita boleh menyertai olahraga 100 meter, 200 meter, 400 meter dan pelbagai lagi, tetapi sejarah menjadi saksi bahawa penyertaan kita adalah asas ambil nama saja.

Olahragawan terbaik kita, Tan Sri Dr Jegathesan, hanya layak ke separuh akhir dalam 200 meter pada Olimpik Mexico 1968. Yang lain-lain, maaf-maaf cakap, hanya untuk merampaikan orang saja.

Sebaliknya, melayakkan diri dalam sukan nombor satu yang paling glamor, bola, bukanlah calang-calang. Dari jumlah beratus negara peserta, hanya 16 negara saja yang layak.

Walaupun AS tidak setuju, dan jika Malaysia berkeras juga hendak pergi, umum yakin bahawa AS tentu bersikap memahami. Lihat saja Kuwait, rakan baik AS di bumi Arab. Minyak Kuwait banyak dibeli oleh AS. Apa pun, Kuwait tutup mata dan sambil tersenyum pergi ke Moscow.

Begitu juga Algeria, Iraq dan Syria. Semuanya pergi ke Moscow walaupun AS membuat tekanan hebat.

Ketiga-tiga negara Arab itu ketika itu adalah sahabat baik AS. Iraq dipilih ke Moscow bagi mengambil alih tempat Malaysia.

Sepatutnya Korea Selatan jadi pengganti Malaysia, tetapi Iraq bernasib baik. Jadi untuk Olimpik 1980, tiga negara Asia Barat (atau Timur Tengah) mewakili Asia, sedangkan Malaysia yang sepatutnya menjadi wakil Asia Timur hanya berputih mata apabila ia, dengan panggilan Harimau Malaya, mengalami gigi dan taringnya dirongakkan. Saya berani mengatakan politik Malaysia takut tidak bertempat.

Apa yang terbukti ialah Kuwait, Iraq, Syria dan Aljeria tidak mengalami apa-apa kesan buruk selepas penyertaan mereka di Moscow.

Andainya Harimau Malaya masuk Olimpik Moscow 1980, pasti ngaumannya kini jauh lebih bererti dan membanggakan.