"Tiada kata secantik bahasa. Akibat angkara murka, aku tersiksa". Itulah dua baris madah dari lirik lagu "Bahasa Cinta" dan "Dari Masa Hingga Masa", masing-masing daripada filem "Anakku Sazali" dan "Panca Delima", ciptaan dan nyanyian P Ramlee.

Panggillah seni kata, panggillah madah. Ia kata-kata dalam bahasa. Apakah gerangan ‘akibat angkara murka, aku terseksa’?

Bahasa dan perbahasan melodi indah ini dibuat dalam tahun 1956, yang seolah-olah memandang 60 tahun kemudian apabila satu angkara hodoh skandal 1MDB membuatkan kita, rakyat Malaysia, dirundung seksa sedangkan bekas kerajaan kita dihina sebagai sebuah kleptokrasi: satu amalan pemerintahan yang pemimpin-pemimpinnya menyamun harta rakyat besar-besaran.

Sebaliknya bahasa indah yang berestetika ialah antonim kepada bahasa yang hodoh. Untuk itu, saya memperkatakan di sini kali ini olek-olek dan omong-omong bahasa, bukanlah seperti seorang ‘linguist’ memperkatakannya. Ia lebih bersahaja menurut penggunaan biasa.

Selepas merdeka tahun 1957, Dewan Bahasa menubuhkan jawatankuasa (JK) istilah. Kebanyakan istilah dibentuk daripada kata-kata Inggeris. Satu ruangan khas di sebuah harian Melayu diberikan tempat.

Sering istilah-istilah itu berbunyi luar biasa dan lucu menurut lidah Melayu. Istilah ‘hampagas’ untuk istilah Inggeris ‘vacuum’ menjadi bahan ketawa. Justeru jika ada pihak yang berperangai luar biasa, dia lantas dipanggill ‘hampagas’.

Entah macam mana, ramai orang keturunan Minangkabau menganggotai JK istilah itu. Oleh itu terdapatlah istilah seperti ‘lebuh raya’. ‘Lebuh’ ialah sebutan biasa orang kampung di Minang yang merujuk kepada jalan yang membelah kampung.

Oleh kerana rujukan ‘jalan raya’ dalam kehidupan orang Melayu bermaksud jalan yang diturap tar, atau ‘road’ dalam bahasa Inggeris, maka ‘highway’ seperti ‘Plus Highway’ dipanggil ‘lebuh raya’ menurut orang Minang dalam JK istilah di Dewan Bahasa.

Suatu ketika, arwah Tan Sri Samad Idris, seorang berdarah Minang, menjadi Menteri Sukan, Belia dan Kebudayaan. Beliau menukarkan nama dewan serbaguna di seluruh negara kepada tapian gelanggang. Apakah tapian itu tepian? Maka tepian gelanggang tentunya tidak menepati fungsi dewan itu. Sehingga nama tapian gelanggang diubahkan semula, tidak ramai orang tahu apa ertinya tapian gelanggang itu.

Istilah ‘lebuh raya’ itu membuatkan orang Minang yang berkunjung di sini geli hati. Mana tidak, denai kampung di Kayu Jati menjadi jalan paling ‘gadang’ di sini! Masih saya berpegang kepada ejaan Inggeris ‘extreme’ dieja ‘ekstrim’ dan bukan ‘ekstrem’ dalam bahasa Melayu.

Sebabnya, apabila perkataan yang ejaannya berakhir dengan ‘reme’ seperti pada ‘extreme’ itu, bunyinya persis ‘rim’ dan bukan ‘rem’. Mungkin ia diselaraskan dengan istilah Indonesia yang berpandukan kepada ‘e’ selepas ‘r’ yang bunyinya ‘rem’.

Oleh kerana penggunaan bahasa Inggeris di Malaysia lebih meluas dan mendalam berbanding dengan di Indonesia, maka dalam hal-hal tertentu yang relevan, Indonesia patut mengikuti kita.

Sejak beberapa tahun lepas, timbul perkataan ‘sohor’. Ia berkembang pantas. Ertinya ialah ‘terkenal’. Sebutan ‘sohor’ atau ‘soh-hor’ ialah sebutan lidah Pantai Timur, satu keringkasan daripada perkataan ‘masyhur’, seperti dalam ayat ‘tokoh itu amat masyhur di sana sini’.

Sohor juga dipakai secara basahan, begini: ‘Sohor sangat Wan Nawang sebab duriannya menjadi-jadi musim ini’. Jika kita memilih kata-kata basahan begini, teruskanlah saja. Rasa-rasanya, ‘masyhur’ adalah lebih sesuai untuk tahapan kini.

Nama-nama makanan Pantai Timur yang meluas di KL dan Pantai Barat juga mengayakan bahasa. Keropok lekor, satar, paih, otak-otak dan caca (bunyinya ‘cacer’ dan bukan seperti tarian cha-caha) adalah antara makanan yang dimaksudkan. ‘Lekor’ amat ketara kerana nama asalnya tidak diketahui ramai, terutama yang bukan dari Pantai Timur. ‘Lekor’ ialah pelat lidah Pantai Timur untuk ‘lengkar’, seperti dalam ular berlengkar.

Asalnya ialah pada bentuk keropok yang panjang berjela seperti ular. Ia direbus dalam bentuk begitu. Sudah masak, ia dipanggil keropok rebus, dikerat menurut saiz yang dikehendaki sebelum digoreng. Jadilah ia ‘keropok lekor’ walaupun bentuk ‘lekor’ itu berlaku di peringkat ia direbus.

Paih ialah pelatan ‘pais’ sedangkan otak-otak itu tepat, nampak macam otak. Sejak tahun- tahun 1950-an, ‘satar’ itu saya kaitkan dengan bintang filem Aziz Satar, seorang ahli lawak terbaik kita, kini sudah arwah.

Agaknya untuk meluaskan khazanah perkataan Melayu, perkataan-perkataan seperti ‘kohor’ patut menjadi sinonim untuk ‘perlahan’; ‘tubir’ pula sinonim untuk ‘tebing’ ; ‘tohor’ untuk ‘cetek’. Bagaimana pula kalau kita pakai semula ejaan ‘Trengganu’ dan bukan ‘Terengganu, iaitu konsonan ‘t’ ikut konsonan ‘r’ (iaitu Tr) dan ‘Sri’, bukan ‘Seri’ (konsonan ikut konsonan) seperti ejaan Inggeris dan banyak ejaan lain?

Jika bahasa Inggeris itu bahasa dunia, apa ruginya jika kita ikut sikit-sikit tempias ejaan Inggeris begitu. Ia mengayakan bahasa kita! Bahasa hidup ialah bahasa yang bijak berubah.

*Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet