SATU trilion berangka begini: 1,000,000,000,000. Angka satu diikuti 12 sifar. Itulah hutang negara yang tercinta ini. Rakyat Malaysia berjumlah 33,000,000 (tiga puluh tiga juta orang). Ini bererti  tiap-tiap seorang menanggung RM33,303 (tiga puluh tiga ribu tiga ratus tiga ringgit).

Amat mengagumkan rakyat Malaysia rata-rata menyambut paling positif seruan agar mereka  dengan segala ikhlas menyumbang secara sukarela untuk melangsaikan hutang yang maha besar itu.

Dalam sejarah negara ini, sejak bernama Malaya lagi, inilah buat pertama kali usaha menderma mendapat sambutan begitu rupa bagaikan rakyat berarak hendak memasukkan wang walaupun beberapa sen setiap bulan ke dalam akaun yang ditangani Kementerian Kewangan.

Lazimnya kita naik culas untuk memberi walaupun kepada pengemis sebab bimbang kalau-kalau ada muslihat, tetapi dalam hal pelangsaian hutang ini, keadaannya sangat-sangat luar biasa. Telefon menelefon bagaikan ada sesuatu yang menggembirakan diri masing-masing sedang berlaku.

Saya teringat pada tahun 1962 Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman menyeru agar rakyat Malaya menghulur derma kepada Tabung Selamatkan Demokrasi yang bermaksud  sebenarnya ialah ‘Selamatkan India’ kerana sempadan India sudah diterobos China Komunis di bawah Mao Tze Tung yang memungkinkan satu peperangan besar.

Rakyat India di sekitar sempadan India-Chinai sudah mengalami penderitaan. Sambutan kepada seruan Tunku itu agak sejuk. Yang ketara ramai sekali orang India menghulur sumbangan antaranya di Bank Negara.

Secara umum orang Melayu bersetuju dengan sinisme orang China bahawa kempen derma itu ialah untuk Tabung Selamatkan India. Justeru seruan itu boleh dikatakan tidak berjaya dan ia senyap-senyap pupus begitu saja.

Sebaliknya seruan PM Tunku yang menambat hati seluruh rakyat Malaysia, tidak kira apa keturunan, ialah ketika Indonesia melancarkan Konfrontasi terhadap Malaysia pada tahun 1963. Kelantangan Presiden Sukarno hendak mengganyang Malaysia sampai lumat amat meremang bulu roma, maka semuanya bersatu hati menghadapi apa yang Sukarno mahu lontarkan.

Serangan askar Indonesia di Johor di bawah kepimpinan Lt. Sutikno tumpas di tangan askar kita dengan bantuan rakyat di sana. Sutikno mengaku di TV Malaysia pada tahun 1965 bahawa beliau dan askar-askarnya terpedaya dengan propaganda bahawa rakyat Malaysia akan mengalu-alukan serangan mereka.

Keteguhan dan perpaduan rakyat Malaysia mempengaruhi banyak pihak penting di Indonesia, bahawa banyak fakta buruk tentang Malaysia adalah omong-omong kosong. Justeru plot menjatuhkan Sukarno dengan konco-konco komunisnya bermula. Ia berakhir apabila Gestapu (kependekan Gerakan Sepuluh September) tahun 1965 meletus.

Itulah titik hujungan era Sukarno dan bermulanya era Suharto. Yang lain-lainnya sudah menjadi sejarah. Mesejnya: jika kita teguh bersatu menghadapi dan menyelesaikan masalah, tiada penentang  yang berani menyanggah, malah mereka akan mengikuti jejak kita pula.

Kini masalah satu trilion jatuh ke riba kita. Emosi kecam dan kondem setinggi Himalaya terhadap siapa yang bersalah tidak dapat dielakkan, namun masalah di riba kita ini diterima dengan penuh tanggungjawab oleh rakyat Malaysia. Kita terbukti berjaya menghadapi bahaya besar suatu ketika dulu seperti disebut di atas. Tidak ada sebabnya kita tidak berjaya menyelesaikan masalah satu trilion ini. Insya-Allah.

Masa depan Umno

Bayangkan seorang jaguh yang tidak pernah kalah dalam satu jangka yang panjang tiba-tiba kalah terduduk, bagaikan KO. Begitulah nasib Umno kini. Begitu lama saya menjadi ahli Umno, mungkin lebih lama daripada mana-mana menteri dalam Kabinet terakhir PM DS Najib.

Di peringkat tertinggi, saya menganggotai Lembaga Disiplin. Di peringkat akar umbi, saya menjadi ketua lebih 30 tahun. Kekandasan Umno berlaku jauh terlewat kerana tanda dan gejalanya sudah lama kelihatan.

Firman ALLAH SWT selalu bermula dengan ‘tidakkah kamu nampak tanda-tanda …’ sebelum pergi kepada maksud yang hendak disampaikan kepada umat. Itulah juga kata-kata di permulaan Surah Yasin. Walaupun tanda-tanda sudah lama kelihatan bahawa Umno akan terjerumus, namun tindakan keluar parti bukanlah pilihan yang senang. Ibarat suami isteri yang bersengketa, tidak bercerai, tetapi terus hidup bersama. Moga-moga suatu hari nanti air keruh menjadi jernih. 

Penungguan bergantinya pemimpin Umno yang ada dengan yang baharu adalah satu sikap yang dikongsi ramai. Yang buruk bukan parti, tetapi orang yang mengendalikannya, kata mereka. Apabila segalanya hancur, sedarlah segala tanda dan gejala bukan saja tidak dipedulikan, malah diburukkan seburuk-buruknya.

Mao Tze Tung pernah berkata, ‘apabila pokok tumbang, semua monyet akan berpindah ke pohon baru yang lebih besar’. Adakah begitu dalam kalangan ahli Umno kini?

* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet