TIDAK berapa lama lagi pilihan raya akan diadakan. Itulah rata-rata diperkatakan orang. Ia adalah satu ramalan yang realistik. Menurut undang-undang, pilihan raya mesti diadakan paling lewat pada Ogos 2018, lima tahun tiga bulan selepas pilihan raya 2013.

Tentunya soalan utama ialah; siapakah yang akan menang? Barisan Nasional (BN) atau campuran beberapa buah parti alternatif sekarang? Walaupun berada di kerusi pembangkang di Parlimen sekarang, Pakatan Rakyat (PR) duduk di kerusi kerajaan di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.

Di Selangor, kerajaan didominasi PKR, sedangkan di Kelantan, Pas berkedudukan begitu. Melihat kepada yang berlaku sekarang, formula baharu harus dibuat oleh parti-parti politik itu kerana sudah wujud ketidaksamaan sikap dan pendirian.

Bagaimanapun, jika kita ketepikan saja soal-soal hubungan inter-parti, kita akan mengetahui bagaimana luasnya jurang antara BN dengan bukan BN, kecuali secara spesifik antara Umno dan Pas.

Demonstrasi ungu baru-baru ini untuk mengukuhkan kedudukan Datuk Seri Haji Hadi menyuarakan hukum hudud di Parlimen amat senang dibaca semua bahawa terdapat persefahaman antara beliau dengan kepimpinan Umno.

Dikatakan, ia dirancang begitu rupa sehingga tidak berlaku sebarang insiden, baik dicetuskan peserta atau polis. Aman tenteram.

Namun begitu, terdapat keluhan yang agak meluas, bagaimana ibu-ibu dan anak-anak dari kampung diangkut ramai-ramai dan berkampung di Padang Merbok yang terletak tidak jauh dari Parlimen, Bank Negara, Tugu Negara dan Ibu Pejabat Polis, demi mendengar ucapan pemimpin yang mengagumkan.

Selepas memperkatakan itu semua, kita berpaling kepada andaian isu dalam kempen pilihan raya nanti. Dianggarkan BN akan banyak menyanggah Tun Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin serta kepimpinan kerajaan Selangor dan Pulau Pinang.

Hubungan intim kepimpinan Umno dan Pas terbukti dalam demonstrasi itu, justeru kerajaan Kelantan kurang menjadi sasaran, kalaupun ada.

Pastinya BN akan mencungkil dan mengutip kelemahan dan kesilapan PR dalam mengendalikan negeri Selangor. Bekalan air? Prasarana? Rakyat terpinggir? Semuanya akan menjadi isu.

Begitu juga di Pulau Pinang. Kaum-kaum terpinggir? Kaum-kaum mendapat layanan istimewa? Amalan perkauman? Segalanya itu akan timbul. Kalau tidak, ia bukan kempen pilihan raya.

Dalam politik, orang yang paling banyak menerima penangan ialah yang paling berpengaruh dan berkesan. Jika ia berhasil diperlekehkan, maka kredibiliti dan keyakinan terhadap apa yang diperjuangkan akan menjadi goyah dan tidak berkesan.

Dalam hal ini, saya amat tertarik dengan langkah yang diambil untuk mengkaji dan menghalusi segala aspek berkaitan 'penyangakan' mata wang di Bank Negara dalam tahun-tahun 1990-an.

Jumlah kerugian yang saya diberitahu secara berwibawa ialah RM22 bilion. Pegawai yang bertindak secara langsung dalam 'penyangakan' itu ialah Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, kini Timbalan Pengerusi kepada Datuk Seri Najib di Khazanah Nasional Berhad, badan pelaburan Kerajaan Pusat yang paling besar.

Tidak berapa lama selepas 'penyangakan' itu berlaku, Gabenor Bank Negara, Tan Sri Jaafar Hussein dan Nor Mohamed (belum Tan Sri) telah meletak jawatan atas pengakuan bertanggungjawab (accountable).

Selepas setahun dua, Jaafar meninggal dunia. Mungkin, sukar untuk mencari contoh seperti Nor Mohamed di negara-negara lain di dunia. Beliau diberikan kemaafan, pemulihan dan ganjaran yang begitu tinggi selepas peristiwa hebat itu.

Sebaliknya, Nick Lesson yang 'menyangak' dan melumpuhkan sebuah bank British di Singapura dihukum penjara, tersingkir dalam kerjaya dan dengar-dengarnya telah meninggal. Di Paris pula, Jerome Kerviel setelah 'menyangak' wang, telah dipecat dari jawatan di Societe Generale, salah sebuah bank terbesar Perancis. Beliau jadi terhina dan tersingkir.

Sekiranya pengorekan semula skandal itu bertujuan untuk menjejaskan Dr Mahathir yang menjadi PM pada waktu itu, maka saya rasa Nor Mohamed, orang kanan PM Najib kini tidak dapat tidak akan sama-sama terpalit, kalaupun tidak satu-satunya yang menanggung nasib begitu. Sebaliknya, Dr Mahathir dan semua yang di belakangnya pasti terus menyemarakkan isu 1MDB dan MO1 yang luas cerita dan implikasinya.

Apakah implikasi kepergian Gabenor Bank Negara, Peguam Negara dan Ketua SPRM di tengah-tengah kepanasan itu? Segalanya ini menjamin satu kempen yang paling membakar. Rentunglah akibatnya.