RAKYAT hanya berpeluang menjadi raja dalam pilihan raya. Undinya menjadi kuasa penentu. Baik suka atau tidak, pilihan raya akan datang harus berlaku sebelum Ogos 2018. Untuk menggunakan kuasa sebaik-baiknya, rakyat perlu mempunyai maklumat atau informasi atau info yang tepat. Kini ialah era segala keputusan dibuat berdasarkan info. Ini adalah amalan manusia dan mesin. Telefon pintar kita hanya berfungsi menurut info yang diterima. Panggillah dia Facebook, Twitter, Flipboard dan sebagainya.

Jika dulu info datangnya dalam bentuk lurus atau propaganda, kini info bukan saja dipanggil 'disinfo' atau 'a-info' malah dilabelkan dengan panggilan 'fake' atau palsu, ataupun 'diversion' yang bererti 'loklak' menurut pelat daerah. Justeru adalah menjadi tugas rakyat yang mahu menjadi raja memastikan adanya info yang tepat dan betul. Memang untuk mendapatkannya memerlukan usaha, seperti kita berusaha memastikan bukan kaca menjadi intan, atau sebaliknya.

Kini kalau kita mengikuti media biasa (akhbar, majalah, TV, radio dan lain-lain) serta media sosial, kita tidak boleh lari dari info yang pelbagai. Dalam senario rakyat hendak menjadi raja ini, konteksnya ialah politik. Istilah politik mencakupi satu bidang yang luas, dari ekonomi, geografi dan seluruh saujana tamadun.

Maka apabila politik yang menjadi inti dalam pilihan raya, maka yang tercungkil ialah apa yang menjadi isu antara kerajaan dan pembangkang. Bila disebut kerajaan, kita tidak salah menyebut YAB DS Najib Razak, selaku Perdana Menteri Malaysia, dan pemimpin-pemimpin lain di bawahnya, di satu pihak, dan tokoh-tokoh di luar kerajaan, seperti Tun Dr Mahathir Mohamed, Lim Kit Siang, Rafizi Ramli, Dr Azizah, DR Azmin, TS Mahyuddin Yassin dan lain-lain lagi, di pihak lain, sebagai wadah percaturan dalam menghadapi pilihan raya. Sewajarnya kerajaan mahu mengekalkan pemerintahannya; sewajarnya pula pembangkang mahu merampas tampuk kerajaan sebagai pengganti pemerintah yang ada.

Dalam pertentangan itu, rakyat akan menentukan keputusan, tegasnya menjadi hakim. Jika di mahkamah, seorang hakim atau satu grup mereka, selepas meneliti semua sudut maklumat, pro dan kontra, akan membuat keputusan, sama ada yang didakwa bersalah, tidak bersalah - atau dibuang kes saja, kerana kekurangan maklumat. Namun rakyat lebih gagah daripada itu. Rakyat mahu tidak mahu tidak boleh mengundi untuk 'buang kes'. Ini adalah fungsi angka: A yang mendapat 99 undi adalah pemenang apabila B mendapat 98 undi.

Kita bebas menyokong mana-mana pihak. Malah itulah normanya. Penyokong kerajaan, yang tentunya terdiri daripada ahli-ahli parti komponen kerajaan, juga rakyat umum yang berkenan dengan amalan kerajaan, akan memberi undi kepada kerajaan. Pembangkang, melalui ahli-ahli partinya, juga mereka yang tidak berkenan dengan kerajaan, akan menyokong pembangkang, logiknya. Belah-baginya senang sekali.

Bagaimana pun rakyat harus sedar dari awal lagi bahawa apa yang diputus dan dilakukan oleh kerajaan, baik yang mendatang dan yang sudah berlalu, harus ditanggung oleh rakyat sendiri, sebagai sumber hasil mahsul negara. Rakyat yang membayar cukai langsung (cukai pendapatan) cukai tidak langsung (dalam harga barangan dan perkhidmatan, GST sebagai contoh) serta bayaran tertentu adalah penanggung kerajaan. Tanggungan rakyat kepada kerajaan adalah erat sekali.

Tidak perlu diungkitkan 1MDB. Ia sudah bertahun penularannya. Ikutilah apa yang diluahkan oleh Peguam Negara AS kepada dunia dan bacalah New York Times, Wall Street Journal, dua akhbar terkemuka dunia, dan sumber-sumber dari Switzerland dan Singapura, dua buah negara yang dianggap oleh dunia sebagai berintegriti paling tinggi. Korek pula sedalam-dalamnya info daripada parti-parti pembangkang. Jika palsu, palsulah penilaiannya. Jika benar, benarlah dentingannya. jika perlu, mintalah segalanya itu diterjemahkan. Imbang dan timbanglah info sebaik-baiknya agar kuasa persis berada di tangan rakyat.

Dalam harian Malaysian Reserve keluaran 5 Mei yang baru lalu, iaitu terbitan bersama dengan harian New York Times, terdapat satu info yang mengejutkan. Kenapa pihak China tiba-tiba menarik diri dari melabur RM7.6 bilion di Bandar Malaysia (Pusat Kewangan Tun Razak) di Kuala Lumpur? Ia menjejaskan pasaran saham dan beberapa buah firma besar Malaysia, khususnya, dan kepercayaan kepada prestasi ekonomi kita, umumnya. Letusan ini menambahkan beban Putrajaya untuk memberikan info yang tepat dan benar kepada rakyat sebelum mereka pergi ke peti undi nanti.

 

* Tan Sri Adam Kadir, mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet