TIDAK berapa lama dulu seorang diplomat Thai memberitahu bahawa saya tidak perlu menunjukkan pembesar dan pemimpin Thai berinsut di lantai ketika menghadap Raja Thai.

Beliau menjawab pertanyaan saya sama ada saya perlu menunjukkan ketertiban begitu dalam satu adegan filem saya, The Raj of the East, yang melibatkan dialog antara Raja Chulalongkong dengan pembesar baginda.

Sebelum memberikan jawapan itu, beliau terlebih dulu merujukkan kepada bosnya, Pak Duta Thai. Sikap berhati-hati saya itu dicetuskan oleh apa yang saya pernah lihat di TV: pembesar berpakaian istiadat berinsut di lantai dan Raja Thai duduk di kerusi.

Sensitif saya begitu diperkuatkan oleh berita-berita tentang orang itu dan orang ini yang didakwa dan dihukum kerana tidak hormat kepada kedaulatan takhta Thai.

Ini bererti terdapat orang Thai sendiri yang alpa dalam pertuturan dan tindakan mereka, di samping orang asing yang tidak tahu atau peka dengan adab diraja Thai. Pastinya segala itu termaktub dalam Perlembagaan Thai.

Kebetulan pula, Sultan Ibrahim Johor telah bertitah tentang erti, semangat dan batas sempadan Perlembagaan Malaysia ketika merasmikan mahkamah Muar. Nyata sekali baginda hendakkan Perlembagaan kita dihormati, tidak siapa yang boleh bertindak mengatasinya.

Dalam perspektif ini, baginda menekankan betapa pentingnya badan kehakiman bertindak secara bebas, tanpa dijejaskan oleh sebarang kawalan daripada mana-mana pihak lain. Jelas sekali fahaman baginda terhadap pemisahan kuasa antara badan-badan perundangan, eksekutif dan kehakiman.

Selain itu, perlembagaan juga memperuntukkan kedaulatan dan kekebalan raja. Negara paling gah di dunia, AS, pernah membuat keputusan rasmi bahawa seorang rakyatnya yang rupawan tidak boleh membuat sebarang tuntutan kepada takhta Brunei, secara langsung atau tidak, kerana takhta itu dilindungi kekebalan (imuniti). 

Namun, kekebalan juga ada batasannya menurut perlembagaan, baik yang tidak bertulis, seperti di England, atau yang bertulis, seperti di banyak negara lain.

 Raja Jepun yang mempunyai rakyat paling ramai di dunia tidak kebal untuk turun takhta secara sukarela. Dengan menggunakan peruntukan perlembagaan, dewan bawah dan dewan atas Parlimen Jepun terlebih dulu mengundi untuk membenarkan rajanya berbuat begitu, dan bila.

Di Eropah, raja-raja Belanda, UK, Belgium, Sepanyol, Sweden dan Norway amat prihatin dengan tanggungjawab keperlembagaan masing-masing, terutama dalam ehwal kewangan.

Amat sukar untuk rakyat mendengar bahawa raja mereka berbelanja wang pembayar cukai (‘taxpayers’ money’: maksudnya cukai dan hasil dari harta rakyat) selain daripada yang sah diperuntukkan.

Suatu ketika seorang kerabat rapat dengan salah sebuah takhta yang disebutkan di atas telah menjadi aib dan dikenakan sejenis hukuman kerana timbulnya perbuatan salah laku wang kerajaan (atau wang rakyat).

Malang tidak berbau. Queen Elizabeth UK mula membayar cukai pendapatan seperti rakyat baginda pada tahun 1993, setahun selepas Istana Windsor terbakar. Awal-awal lagi selepas malapetaka itu, media telah meluahkan sentimen rakyat bahawa pihak istana sendiri harus mengeluarkan belanja membaikinya.

Maka jalan tengah dipersetujui: 70 peratus kos ditanggung oleh pengunjung yang mula dikenakan bayaran tiket ke istana itu dan istana Buckingham. Dari kos pembaikan sebanyak 36.5 juta paun, Queen membayar dua juta paun.

Persis dan tegasnya tanggungjawab yang dikenakan oleh perlembagaan dan tugas, maka Quen Beatrix Belanda sukarela turun takhta pada tahun 2013 selepas bertakhta selama 33 tahun sejak 1980.

Begitu juga King Juan Carlos Sepanyol yang turun takhta pada 2014, sejak naik takhta pada 1975, selama 39 tahun. Baginda berdua dikatakan yakin, atas hakikat usia, putera-putera mahkota masing-masing mampu menanggung tugas lebih efisien menurut tuntutan zaman, demi rakyat.

Jika pelbagai bentuk media dikuti di negara-negara monarki Eropah itu, umumnya terdapat semacam penghayatan dalam kalangan rakyat bahawa takhta yang mereka kasihi adalah takhta yang cermat dalam perbelanjaan.

Harta rakyat dalam bentuk tanah dan kandungan dalam tanah dipedulikan dengan baik, agar hasilnya akan tercermin dalam kebajikan hidup rakyat.

Lihat Norway, kini berupa negara yang pendapatan per kapitanya paling tinggi dalam dunia. Pendidikan, perubatan dan prasarana adalah mantap dan memuaskan hati rakyat.

Jika hasil minyak di negara-negara Arab, Amerika Selatan dan Afrika membawa petaka, di Norway ia membawa kemakmuran dan kecapan hidup yang selesa. Ia tidak lain daripada manfaat peruntukan perlembagaan yang diakur tulus oleh rakyat, di satu pihak, dan takhta, di pihak lain.