ORANG yang berminat tentang sejarah Tanah Melayu tentu tahu atau sekurang-kurangnya maklum bahawa Perjanjian Pangkor merupakan satu-satunya peristiwa besar yang membawa British secara besar-besaran ke negeri-negeri Melayu.

Perjanjian itu, dipanggil Engagement dalam bahasa Inggeris, berlaku pada Januari 1874 di atas Kapal Pluto di perairan Pangkor, dekat dengan Lumut, Perak. Walaupun ia hanya mengambil selama tiga hari, namun gejalanya tercetus begitu lama sebelum itu.

Seperti di kebanyakan tempat lain, keadaan sengketa antara pemimpin-pemimpin lokal membuka peluang untuk British menyorong kepala. Sorongan itu digalakkan oleh pihak-pihak yang bersengketa.

Salah satu tokoh kolonialis British terbesar dalam sejarah ialah Frank Swettenham. Berdasarkan tulisan-tulisannya, beliau dianggap sebagai salah seorang pegawai kolonial yang intelek.

Beliau bersama seorang pemimpin tempatan, Haji Mohamad Said, bertanggungjawab menulis draf perjanjian. Tentu sekali Swettenham, ketika itu berusia 23 tahun, menulis dalam bahasa Inggeris sebagai bahasa asal dan Said menolong menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu.

Terjemahan dalam tulisan jawi itu tidak begitu persis seperti dalam bahasa asal Inggeris. Gabenor Andrew Clarke datang dari Singapura. Pihak-pihak yang bersengketa - kebanyakannya tinggal di sepanjang Sungai Perak - menandatangani perjanjian itu di atas Pluto pada Selasa, selepas drafnya dibuat pada Isnin sebelumnya.

Raja Abdullah dan Raja Ismail adalah antara mereka yang menurunkan tandatangan masing-masing, sedangkan Raja Idris, yang beberapa tahun kemudian menjadi Sultan Perak, turut serta tetapi tidak menjadi pihak yang berhak menurunkan tanda tangan. Ini kerana baginda masih belum bertaraf tinggi yang layak.

Relevan disebutkan bahawa pemimpin-pemimpin Cina yang menjadi pelombong bijih di Larut dianggap layak menjadi pihak berkepentingan dalam perjanjian itu. Maka mereka menurunkan tanda tangan lebih awal, iaitu di sebelah pagi Selasa itu.

Menurut Swettenham dalam bukunya Malaya, pada tahun 1875, setahun selepas perjanjian itu, terdapat kira-kira 80,000 penduduk Perak, termasuk sebahagian besar penduduk Cina yang bertumpu kepada bisnes perlombongan bijih timah dan perkedaian. Jelaslah, kehadiran orang Cina diperlui demi kutipan hasil negeri dari pelbagai jenis cukai.

"Ramai sekali orang yang bergelar raja di Perak,"  kata Swettenham. Kebanyakan mereka mempunyai keistimewaan mempunyai ramai pembantu ternaung dari ikatan hutang. Hutang yang bertambah banyak bererti bertambah sukar untuk dilangsaikan, justeru taraf mereka begitu terus berlanjutan.

Antara sebab yang berkemuncak JWW Birch, selaku Residen Perak pertama selepas perjanjian itu, dibunuh ialah perihal beliau mahu menghapuskan ‘pengabdian’ begitu.

Pembunuhan Birch itu menjadi alasan kuat bagi British mengukuhkan cengkaman kolonialisme di bumi Melayu, terutama selepas Sultan Abdullah dan beberapa pembesar negeri dibuang negeri ke Pulau Sychelles dekat Afrika, akibat kekalutan pembunuhan Birch itu.

Keadaan normal kembali ke Perak apabila Sultan Idris menaiki takhta. Baginda dipuji oleh Swettenham dalam pelbagai tulisannya sebagai Sultan misali (contoh). Antara kehormatan yang diberikan kepada baginda ialah penamaan institut pendidikan tertinggi bagi orang Melayu zaman itu, iaitu Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim.

Apa yang berlaku menunjukkan British sanggup berbuat sesuatu demi kepentingan empayarnya, di satu pihak, dan membuat apa saja kepada orang Melayu dari peringkat istana ke gobok kecil, atas pelbagai alasan.

Menurut HS Barlow, 23 tahun kemudian, Swettenham apabila menjadi Resident-General sengaja tidak menjemput Sultan Abdul Samad apabila rumah rasminya, Carcosa, dirasmikan pembukaannya pada 1898.

Hanya tiga orang bukan kulit putih yang dijemput: Kapitan Cina, Yap Kwan Seng; tauke Loke Yew dan kontraktor besar Thambusamy Pillai. Yang dikesali, Carcosa itu yang ada hingga sekarang di sebelah Tasik Perdana, Kuala Lumpur, terletak dalam negeri Selangor.

Begitulah ‘ketanpaan adab’ yang dilakukan tokoh besar kolonial British memperlekehkan kedaulatan Raja Melayu tanpa ditegur oleh mana-mana pihak. Tiada tindakan dikenakan. 

Sebuah negeri Melayu lagi yang dikatakan masuk empayar British dari akibat seorang tauke Cina warga British dibunuh oleh entah siapa untuk seorang kerabat  mengambil balunya sebagai isteri, walaupun tiada bukti yang nyata.

Antara taktiknya ialah mengancam mengguna kapal perang menyerang negeri itu. Syukur Raja-raja Melayu terus berdaulat selepas merdeka 1957, meskipun kedaulatan itu terancam oleh Malayan Union 10 tahun sebelumnya. Ia terselamat berkat ketulusan rakyat Melayu.

*Tan Sri Adam A. Kadir mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet