BALU berusia 60 tahun ini berasal dari Kuala Lumpur, tetapi sejak 30 tahun dulu telah menetap di Pekan, Pahang. Ini adalah panggilan tugas arwah suaminya yang bekerja dengan Risda.

Dalam keadaan semua anak-anaknya sudah ‘merdeka’, lulus universiti dan maktab serta sudah berumah tangga, beliau membuat keputusan untuk terus bermastautin di situ. Rumahnya rumah banglo setingkat, diperbesarkan dari saiz asal yang pernah diistilahkan sebagai kos rendah. Pinjaman perumahannya sudah langsai ketika suaminya masih hidup.

Secara sukarela, beliau mengatakan apabila ‘boring’, dia cenderung pergi dengan bas ke Kuantan, berjumpa kenalan-kenalan lama, selain daripada berkunjung ke sana, terutama kompleks beli-belah yang banyak di ibu kota Pahang itu.

Pencen yang diwarisinya agak sederhana, tetapi sudah cukup untuk beliau melalui kehidupan yang sederhana juga. Beliau mungkin bukan tipikal pengundi di kawasan Pekan memandangkan kebanyakan pengundi di situ terdiri daripada orang bukan makan gaji. Kebanyakan adalah nelayan dan pekerja asas pertanian milik sendiri.

Jika diukur pada sikapnya, beliau lebih suka menyerah kepada rezeki dan ragam kehidupan yang ada. Soal sama ada hendak menukar wakil rakyat dari Datuk Seri Najib Razak kepada individu lain bukan menjadi soal besar.

"Kita dah biasa dengan orang yang kenal biasa. Jika orang baru, kita tak tahu siapa dan apa nak jadi." Seperti yang dikatakan di atas, sikap begitu datangnya daripada seorang isteri pensiunan kerajaan. Dari kategori lain, sikap dan pendapat mereka tidak semestinya sama.

Dalam hal ini saya merujuk kepada kata-kata Rafizi Ramli, seorang MP dan Pengarah Strategi PKR, yang lantang melaung bahawa beliau telah menubuhkan sebuah pasukan lebih 100 petugas sepenuh masa yang bertumpu kepada usaha untuk memastikan Najib kalah dalam PRU akan datang. Ia bermaksud hendak mengalahkan Najib sekali gus mengalahkan BN.

Untuk memastikan PM Najib kalah, pasukan Rafizi itu difahami berkhemah di Pekan. Segala kempen dan maklumat yang disuntingkan untuk melemahkan Perdana Menteri disebarkan secara mendalam dan berleluasa, secara peribadi dan melalui internet.

Rafizi mempunyai kekuatan berbahas dan berpidato di pentas, di Parlimen dan di telefon pintar. Bagaimanapun, beliau kini berada dalam keadaan terancam sebab keputusan mahkamah boleh memungkinkan beliau ditahan beberapa lama dalam penjara atau mana-mana pusat tahanan. Jika ini berlaku sebelum PRU hingga ke suatu masa selepas PRU, ia boleh dianggap sebagai satu risiko politik yang kuat kuasanya hanya berada di tangan kerajaan.

Jika beliau terus berada dalam keadaan bebas, maka satu prestasi kempen dan penyebaran maklumat akan menjadi amat menarik untuk amalan demokrasi kita. Fakta dan bukti menjadi sendal kepada sebarang kesimpulan, baik positif mahupun negatif. Bayangan-bayangannya akan melorek jauh ke hari muka.  

Setakat ini hanya seorang individu yang telah mengumumkan secara terbuka bahawa beliau akan bertanding melawan Najib di kawasan Parlimen Pekan. Beliau ialah kelahiran Pekan, mantan diplomat yang pernah bertugas di banyak tempat di dunia.

Jawatan terakhirnya sebelum bersara ialah timbalan ketua setiausaha sebuah kementerian. Antara kata-katanya ialah beliau meragukan kemampuan Najib dalam keadaan sekarang di mana soal 1MDB dan kleptokrasi (sistem pemimpin yang mencuri wang rakyat) menjadi sesuatu yang menjejaskan maruah peribadi PM dan negara.

Bersamanya terseret masalah negara yang menanggung kemelesetan hasil, sedangkan nilai Ringgit merudum, yang menjejas teruk kelegaan hidup (well being) rakyat, tambahnya.  

Bukan itu saja, beliau juga mengatakan Najib tidak pernah lulus dari Universiti Nottingham di England. Berdasarkan tugasnya menjaga hal ehwal pelajar Malaysia di England suatu masa dulu, beliau membuat kesimpulan bahawa Najib tidak pernah mengambil peperiksaan akhir di UN.

Justeru, beliau tidak mendapat ijazah. Itu adalah satu tuduhan yang amat serius. Oleh itu Najib sewajarnya membuktikan yang kesimpulan itu bohong dan tidak berasas dengan hanya menunjukkan ijazah tulen yang didapati dari UN.

Rakyat berhak berasa lega apabila PM mereka sanggup berbuat begitu. Dalam hal ini, elok diambil contoh Presiden Obama. Beliau tidak ragu-ragu menunjukkan surat beranaknya yang tulen bahawa beliau lahir di AS, sebagai jawapannya kepada tuduhan Donald Trump.

Bagaimana pula PKR dan Bersatu sebagai komponen Pakatan Harapan? Siapa yang akan menjadi calon menentang Najib di Pekan? Najib bukan calang-calang orang di Pekan selepas diwakilinya sejak 1976. Faktor majoriti 200 undi yang dimenanginya pada PRU 1999 tidak boleh dipakai lagi memandangkan tebaran pengundi sudah jauh lebih besar dan pelbagai. Bakal calon penentang Najib hendaklah benar-benar gagah.