DUA orang adik-beradik Thaksin di Thailand mengalami nasib yang amat teruk setelah menjadi Perdana Menteri (PM). Si abang sedang dikejar pemerintah negara itu; dan beliau terpaksa lari dari sebuah negara ke negara lain.

Terdapat pula negara-negara tertentu tidak membenarkannya memijak kaki di situ, maka beliau terpaksa pergi.

Di England, di mana beliau pernah membeli dan memiliki pasukan bola sepak terkenal, Manchester City, beliau terpaksa berpindah kerana United Kingdom (UK) akur pada kerajaan Thailand yang memburunya.

Apabila Kemboja menerimanya, satu keadaan telah timbul dalam hubungan Thai-Kemboja memandangkan Kemboja enggan menerima keputusan Thailand mencekup Thaksin.

PM Hun Sen menempelak PM Thailand atas alasan bahawa hal Thaksin adalah masalah dalaman Thailand yang tidak ada kaitan dengan Kemboja. Baginya, Thaksin ialah seorang rakan yang suka menolong beliau dan negaranya. Adik Thaksin, Yingluck, dipilih juga menjadi PM.

Beliau menggantikan PM tentera yang merampas kuasa dan menyingkirkan abangnya. 

Nasib malang adik-beradik itu dihantui tuduhan rasuah dan salah guna kuasa untuk menimbunkan wang. Thaksin menjadi bilionair selepas menjual firma telefonnya, iaitu firma yang mendapat konsesi kerajaan.

Sudahlah keistimewaan konsesi itu dibungkam, cukai keuntungan besar yang didapatinya tidak dibayar langsung.

Ini dianggap sebagai satu penipuan besar pada hasil mahsul negara. Yingluck juga tidak terlepas daripada mengalami nasib serupa.

Tuduhan rasuah dan salah guna kuasa juga dikenakan. Beliau dikatakan mengayakan diri dari keputusan yang dibuat sendiri, malah melalui rakan-rakan yang mendapat kontrak kerajaan. 

Beliau kini bagai dibelenggu. Pergerakannya terbatas, banyak sekatan yang dihadapi. Semua pihak yang mempunyai kuasa untuk bertindak, termasuk ketua polis dan ketua hakim, juga peguam negara dan ketua pencegah rasuah, bebas melakukan tindakan menurut undang-undang.

Semuanya itu bukan saja berlaku semasa Yingluck tidak lagi menjadi PM, malah ketika beliau masih duduk di jawatan PM. Walaupun Thailand mempunyai Raja Berperlembagaan, Rajanya enggan menggunakan apa-apa peruntukan perlembagaan yang relevan. Baginda lebih suka membiarkan mahkamah perlembagaan membuat keputusan sendiri. 

Di Israel pula, Perdana Menteri Olmert mengalami nasib malang yang sama. Sebelum perdana menteri sekarang, Benjamin Natanyahu dilantik kali kedua, Olmert ketika di kerusi PM  dituduh dan disiasat habis-habisan, juga atas alasan salah guna kuasa dan rasuah.

Kes beliau ketika menjadi menteri dan kemudiannya PM menjadi sasaran penyiasatan sengit. 

Bukan itu saja, kes lama beliau ketika menjadi Datuk Bandar Jerusalem juga dikorek. Berbanding dengan sesetengah negara lain, agak aneh didapati orang-orang yang bekerja di bawahnya, baik berjawatan ketua pendakwa, ketua mahkamah perlembagaan, ketua polis dan ketua anti-perbuatan kotor (mungkin dipanggil panggilan lain), boleh bebas bertindak dengan berani, tidak boleh ditahan oleh beliau sendiri selaku PM. 

Maka akhirnya beliau didapati bersalah oleh mahkamah, ditangkap, dibuang jawatan dan dipenjarakan. Dalam prosesnya, Olmert tidak tergamak menggunakan alasan bahawa dalam keadaan Israel menghadapi suasana perang dengan banyak pihak, beliau sepatutnya dibebaskan saja agar reputasi dan integriti negara tidak tercemar.

Sebaliknya jika beliau menggunakan alasan itu, beliau pasti diperlekeh saja oleh rakyat dengan sikap ‘salah tetap salah, tidak kira siapa’. 

Jelas sekali, soal wang menjadi punca kejatuhan ketua kerajaan. Di Korea Selatan, Presiden Park dengan wajah begitu menarik tidak terlepas dari gugatan begitu. Walaupun beliau menafikan mengambil kesempatan menghimpun wang secara langsung atau melalui kawan-kawannya, namun terus diburu tidak kira di pejabat atau di kediaman.

Partinya sendiri tidak berjaya menahan Parlimen dari bertindak terhadap beliau. 

Akhirnya, seperti yang diketahui dunia, beliau ditangkap, digari dan dimasukkan ke dalam lokap sebesar tandas, menunggu tuduhan rasmi untuk beliau dibicarakan. Mendiang bapanya, Presiden Park Chung-Hee, yang menjadi presiden sehingga akhir 1970an, dan banyak berjasa, tidak menjadi faktor belas kasihan untuknya. 

Di bumi cemerlang bola, Brazil, seorang lagi presiden wanita, Dilma Rousseff, tergugat dengan nasib yang sama. Walaupun tidak dipenjarakan, beliau sudah hilang jawatan dalam menunggu hari perbicaraan, sedangkan penggantinya akan dipilih tidak berapa lama lagi. 

Semuanya itu membuktikan bahawa demokrasi bukan hanya sebutan. Ia adalah satu tuntutan – baik pada yang terendah mahupun tertinggi.