KINI heboh sekali orang mencemuh perbuatan rasuah apabila dua orang staf Jabatan Air di Sabah ditangkap SPRM. Bukan kecil jumlah yang terlibat: lebih seratus juta ringgit nilainya apabila dicampurkan wang tunai, kereta-kereta mewah dan barang-barang kemas.

Dalam pada itu menteri relevan JPM dilaporkan akan membawa rang undang-undang ke Parlimen untuk mengemaskan lagi undang-undang rasuah. Ada pihak yang ragu-ragu tentang langkah begini. Mereka kata, undang-undang dan institusi yang ada, jika pelaksanaan undang-undang rasuah dikuatkuasakan secara efisien, sudah mencukupi.

Pada tahun-tahun terakhir Pak Lah sebagai Perdana Menteri, beliau telah melancarkan SPRM yang menggantikan BPR atau Badan Pencegah Rasuah. Dengan tegas, beliau melaungkan bahawa SPRM akan bertindak tanpa pilih bulu atau termangu (without fear or favour).

Laungan Pak Lah untuk suatu jangka yang singkat memberikan gambaran bahawa tidak kira siapa termasuk para menteri dan PM sendiri akan dijaringkan jika bersalah. Hebat bunyinya.

Namun apa yang berlaku membuktikan wujudnya ‘pilih bulu dan termangu’. Sumber-sumber SPRM mengatakan Pak Lah bersikap seperti tidak mengotakan kata-katanya. Menteri Paul Low, menurut berita, juga menegaskan bahawa undang-undang baharu ini akan mencakup tanggungjawab pemimpin korporat.

Menteri-menteri yang memayungi tokoh-tokoh korporat harus bertanggungjawab. Kalau begitulah keadaannya, beliau mesti pastikan perbuatan salah dan serong dalam kalangan pemimpin-pemimpin korporat yang melibatkan kehilangan wang yang banyak hendaklah menerima hukuman setimpal.

Memang tindakan mahkamah amat rumit, tetapi kita sama-sama tahu banyak kejadian tokoh-tokoh dikeluarkan dari jawatan masing-masing melalui tindakan pentadbiran dan politik.

Pastinya jika dikaji dan disiasat secara betul-betul dan mendalam, akan terpacul pelbagai najis rasuah. Jika ahli-ahli politik yang dipilih rakyat tidak mempunyai kuasa yang luas walaupun berada dalam Kabinet, ramai pemimpin korporat menjadikan badan-badan di bawah mereka, dengan pekerja berpuluh ribu orang, sebagai dunia peribadi mereka.

Jika kerajaan boleh menggunakan off budget untuk berbelanja tanpa kelulusan Parlimen, begitu juga ada tokoh-tokoh korporat yang berbelanja begitu atas off balance sheet tanpa diketahui orang ramai.

Di sinilah terletaknya banyak tindakan yang bukan saja ala rasuah malah tepat sekali dengan definisi rasuah. Betapa tidak. Projek-projek biasa dan JV yang mengalami kerugian besar dipercayai memberikan wang lumayan kepada pihak-pihak tertentu. Apa guna mereka heboh-heboh jika mereka merupakan pihak yang mendapat keuntungan besar.  

Soal rasuah tidak harus dijadikan bola sepak politik. Main-main untuk sedap didengar dan sedap mata memandang. Masih saya ingat DR Seenivasagam, ketua People’s Progressive Party (PPP, kini komponen kecil BN) membawa kes rasuah RM2,000 terhadap seorang menteri pada 1964.

Setelah diulangkan di luar Parlimen, menteri itu pun menyaman beliau. Selepas sekian lama dalam perbicaraan, menteri itu didapati bersalah dan hilang jawatan. Sekiranya isteri menteri itu tidak menerima cek sebanyak itu dari seorang yang marah kerana terjejasnya peluang kewangannya, nescaya tidak ada bukti yang nyata untuk hakim menjatuhkan hukuman begitu.

Itulah apa yang dipanggil lunas undang. Cek itu menjadi bukti tersendiri atau self-evident. Perlu disebut, hakim yang mengadili kes itu ialah seorang Inggeris, tinggalan zaman pra-merdeka. Sungguhpun nyata sekali Tunku Abdul Rahman, PM waktu itu, amat sayang kepada menteri itu, beliau tidak campur tangan langsung.

Saya kurang pasti kenapa rang undang-undang rasuah yang baharu ini dibuat sekarang. Adakah ia bermaksud sebagai satu cuitan di lengan PM? Ataupun ia satu tamparan. PM DS Najib masih baru lagi dikenalpastikan oleh Peguam Negara AS sebagai salah seorang yang terlibat dalam salah-laku pergerakan wang yang menjejaskan sistem kewangan AS.

Bunyinya tidak baik. Saya yang pernah menjadi rakan rapat Najib terasa tidak patut dan janggal. Namun itu ialah soal undang-undang yang kalis pada soal peribadi. Jika kes klasik Presiden Nixon yang ternyah keluar dari White House kerana pekerjanya mengintip pejabat parti lawan, Demokrat, menjadi sejarah, maka tidak ada kes yang terlalu kecil untuk AS bertindak. Itulah iktibarnya.

* Tan Sri Adam A. Kadir, mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet