KITA di sini menggunakan imej untuk memberikan makna kepada dua patah perkataan pentng: integrasi dan perpaduan. Pertama, kita bayangkan lidi-lidi kelapa diikat erat dengan tali guni di satu hujung untuk dijadikan penyapu demi maksud penyapuan dan pembersihan. Itulah integrasi lidi-lidi untuk mencapai satu tujuan.

Kedua, ABC atau air batu campur terjadi hasil daripada kehadiran bersama cendol, kacang merah, susu, ais parut, cincau, gula kabung, santan dan satu dua lagi. Itulah perpaduan rencah-rencah yang budaya Malaysia panggil ABC.

Tujuannya ialah untuk dibuat santapan berselera secara tersendiri atau sebagai manis-manisan selepas makan. Justeru, integrasi dan perpaduan adalah faktor yang positif apabila dirujukkan kepada pembentukan kerakyatan dan kenegaraan.

Sahabat saya, Prof Firdaus Abdullah, mantan Senator dan Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya, nyata sekali menunjukkan sikap yang serius terhadap dua istilah itu yang sekali gus merupakan konsep penting dalam situasi semasa yang amat mencabar ini.

Buat pertama kali kerajaan yang sedia ada (mula-mula Perikatan; sejak 1974, Barisan Nasional) yang wujud sejak Malaya berkerajaan sendiri pada tahun 1955 hingga 9 Mei yang lalu, 63 tahun lamanya, terpaksa turun atas kemahuan rakyat dan digantikan dengan yang baharu, Pakatan Harapan.(PH).

Biar apa pun, sebarang kebimbangan terhadap kemungkinan wujudnya rasa pro dan anti yang boleh menjejaskan harmoni rakyat negara ini tidaklah berasas. Pertentangan tidak boleh dinafikan wujud terus menerus tetapi ia adalah anasir yang baik. Dalam banyak hal, persaingan – yang rapat pengertiannya dengan ‘pertentangan’ – adalah positif.

Pertentangan sengit antara pasukan-pasukan bola dalam Liga Piala Malaysia memaksa semua pasukan dan pemain memberikan yang terbaik. Jika yang terbaik dipamerkan, lihat saja sambutan peminat, pembelian tiket dan liputan media yang luas yang menarik curahan wang yang banyak. Sistem guaman kita juga dipanggil ‘adversarial’ atau ‘pertentangan’.  Peguam di sebelah pembela berada dalam posisi menentang peguam pendakwa.

Disebabkan proses pertentangan, sebanyak mungkin maklumat dan bukti didedahkan untuk meyakinkan hakim atau para juri siapa yang benar dan siapa yang bersalah. Dari pertentangan itulah hakim atau juri membuat keputusan. Pertentangan yang paling terbuka dan lantang ialah apa yang berlaku dalam politik yang menampung pelbagai parti, lebih-lebih lagi antara pihak kerajaan dengan pembangkang. 

Kepanasan dalam politik boleh disejukkan oleh kematangan pengamal politik (panggillah ‘ahli politik’, ‘politikus’ atau ‘politician’). Begitu mesra dihati saya apabila Mat Sabu (juga nama mesra) di depan Tun Mahathir melaung bergema:

‘Dulu, apa yang saya tak kata kepada Tun Mahathir. Saya panggil dia Maha Firaun, Diktator dan macam-macam lagi kata-kata hodoh. Tun pun mengata saya macam-macam; simpan saya dalam ISA. Itu dulu, Tun dalam kerajaan, dan saya dalam pembangkang. Sekarang pertentangan dah tak ada. Kita sudah bersama dan bersatu untuk tujuan yang sama, iaitu…’

Integrasi dan perpaduan tidak mungkin wujud hanya dengan seruan dan ucapan yang sedap didengar. Rakyat yang rasa terancam oleh kelaparan dan kekurangan keperluan-keperluan asas seperti rumah, pakaian, makan-minum, perubatan dan pendidikan serta lain-lain lagi harus diatasi oleh keputusan dan tindakan kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

Tidaklah dapat diduga dengan mendalam apa yang akan dilakukan oleh Tun Mahathir dengan barisan Kabinetnya tetapi jelas sekali beliau telah belajar dari kesilapan-kesilapan beliau ketika menjadi Perdana Menteri  selama 22 tahun dulu.

Dari kesilapan itu, beliau jelas mahu meniadakan pelbagai itu dan ini dan mengadakan itu, ini untuk membetulkan kelemahan-kelemahan kerajaan di bawah DS Najib dulu. Andaian pertentangan akan terus berlaku dalam hubungan empat parti komponen dalam PH adalah andaian yang wajar.

Bagaimanapun, segala masalah boleh diatasi selagi ia boleh ditangani. Hanya apabila ia terkeluar daripada kemampuan yang boleh ditangani, maka bolehlah diramalkan pertentangan yang timbul adalah satu masalah besar, seperti yang tebukti apabila Pas membuat keputuan keluar dari Pakatan Rakyat selepas PRU13.

Oleh kerana sejarah kolonial mendekatkan kita dengan UK, dan UK pula amat rapat dengan AS, maka tidak dapat tidak politik kita juga berpola-pola seperti kedua-duanya juga. Jika parti Demokrat silih berganti dengan parti Republikan menubuhkan kerajaan di AS, dan  parti Buruh dan Konservatif juga begitu di UK, maka dari sekarang Malaysia besar kemungkinan akan menurut jejak langkah UK dan AS itu         dalam amalan kerajaan dari dua buah parti. Pertentangan sihat dalam amalan itu akan mencerminkan pertentangan sihat dalami kalangan rakyat yang matang seperti terbukti di pasca PRU 14 ini.    

* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet