TIGA orang tokoh dari parti Amanah baru-baru ini telah membuat kenyataan kritis di Parlimen terhadap Perdana Menteri DS Najib kerana Najib dikatakan mengeluarkan kata-kata yang bermaksud ‘jika BN tidak menang dalam PR nanti, tidak ada parti yang menang.’

Ketiga-ketiga mereka itu merumuskan kata-kata Najib itu sebagai satu ancaman: andainya BN tidak menang, berlakulah beberapa kemungkinan.

Satu, huru-hara akan dibangkitkan untuk mewajarkan tindakan yang mengunjur kepada tindakan meletakkan negara dalam keadaan darurat. Ertinya PM mungkin mentadbir tanpa Parlimen.

Kedua, PM dengan kuasa perisytiharan darurat yang sedia ada di tangannya mungkin menggunakannya untuk mengelakkan huru-hara rakyat menurut maklumat pasukan-pasukan keselamatan, jika benar.

Andaian ini amat berat. Ia menggerunkan. Benar atau tidak kemungkinan itu ada dalam kepala PM ialah sesuatu yang terlintas dalam kepala tiga tokoh itu, malah lebih luas lagi, memandangkan PRU14 ini dianggap sangat sengit.

Melaungkan amaran bahawa PM akan ditangkap jika beliau dan BN kalah PRU nanti adalah sesuatu yang menakutkan sesiapa saja di jawatan itu.

Namun begitu keadaan politik di Malaysia kini dan sejak dulu tidak pun hampir dengan keadaan yang dihadapi Iran yang kini terus menghadapi tekanan dari AS dan pemihaknya di Barat.

Beberapa hari dulu Presiden Macron dari Perancis, dalam meminta Presiden Trump menghormati perjanjian nuklear yang disetujui oleh masyarakat antarabangsa termasuk AS, menegaskan bahawa Iran tidak sama dengan Israel yang memiliki bom nuklear. AS juga jangan berundur diri dari pentas Arab dan dunia kerana jika berlaku begitu, kuasa lain akan masuk memenuhi kekosongan.

Justeru ‘nilai-nilai’ Barat akan hancur. Apakah yang dimaksudkan dengan ‘nilai-nilai’ Barat itu? Tentunya tradisi penjajahan yang mengutamakan kepentingan Barat: minyak dan yang berkaitan dengan minyak.

Untuk mengimbau keadaan politik semasa Malaysia kita perlu meneropong sekurang-kurangnya bagaimana British dan AS berkomplot memperlekeh demokrasi PRU Iran untuk meneguhkan Raja boneka yang diletakkan di bawah telunjuknya.

Mosaddegh menjadi PM Iran setelah memenangi tujuh kali PRU sejak awal 1900 hingga 1951, tetapi segala tangga demokrasi itu diperlekehkan oleh British dan AS.

Melalui tindakan-tindakan hodoh badan perisik British dan CIA AS untuk memastikan sumber minyak berada dalam tangan mereka, Mosaddegh ditangkap dan dipenjarakan. Maka bermaharajalelalah Shah Pahlevi di bawah siku kedua kuasa besar itu.

Pengajaran untuk kita ialah meneliti taktik yang dipakai oleh CIA untuk memecahkan perpaduan rakyat di bawah Mosaddegh. Pertama, menggunakan wang. ‘Cash is King’ bermula dalam politik Barat.

Wang berjuta dolar digunakan oleh CIA untuk membeli jeneral-jeneral Iran dan membayar beberapa pihak yang pernah bersatu di bawah Mosaddegh menentang masing-masing di jalanan.

Pecahlah keadaan darurat yang genting; maka jeneral-jeneral yang dibeli CIA bertindak melumpuhkan demonstrasi di jalanan; menangkap Mosaddegh dan, atas kemahuan British dan AS, mencurahkan kuasa ke dalam tangan Shah.

Untuk sekian lama golongan agama adalah penyokong kuat Mosaddegh, tetapi CIA mengupah pihak media mengeluarkan amaran keras kononnya PM Mosaddegh akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka jika mereka menentang dasar sosialis Mosaddegh. Ini mengakibatkan kemarahan golongan agama tidak terhingga terhadap PM Mosaddegh yang selama ini dianggap  rakan setia.

Dalam keadaan tidak menentu, kemarahan terus dikipas CIA. Segalanya sudah menjadi sejarah. Jadilah Shah Iran boneka British dan AS sehingga Ayatullah Khomeini pulang dari buangan dan Shah menyerah kalah lalu melarikan diri ke luar negeri pada tahun 1979. Segalanya berlaku melalui ilham dan pengajaran daripada pejuang sejati Mossaddegh.

"Itulah satu kesalahan maha besar!" Laung Bernie Sanders, orang Yahudi AS yang menjadi calon Presiden AS untuk parti Demokrat 2016. Maksudnya: dosa besar menjatuhkan Mosaddegh begitu rupa sehingga demokrasi Iran hancur.

Segala penyifatan negatif terhadap British dan AS itu adalah pengakuan kedua-dua negara itu sendiri dalam laporan rasmi masing-masing, bertahun-tahun kemudian.

Nasi sudah menjadi bubur, sedangkan kesilapan yang sama terus diulang-ulang British dan AS di mana-mana. Untuk mengelakkan Iran 1953, maka ‘kata-kata awas’ PM Najib di Pekan itu diharapkan hanya ‘acah-acah’ dan tidak akan menjadi kenyataan. 

Kemarahan golongan agama Iran kepada ‘kenyataan’ Mosaaddegh yang dipalsukan CIA 1953 itu menjadi satu pengajaran.

* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet