MAYAT mendiang Presiden Marcos yang dipelalikan terlentang dalam peti kaca di suatu tempat di Filipina. Beliau seperti tidur nyenyak, genap berpakaian seragam. Rambutnya lebih lebat dan lebih hitam daripada ketika beliau hidup. Ahli-ahli keluarganya mengunjungi mayatnya itu pada hari-hari tertentu.

Andainya saya membuat sebuah filem tentang Marcos, saya akan membuat sorotan dekat kepada mukanya beberapa saat, lantas saya akan membuat sorotan kembali atau ‘flashback’ kepada kejadian-kejadian kritis yang dilaluinya sejak menjadi presiden Filipina pada tahun 1965 sehingga beliau tumpas pada tahun 1986.

Di situlah terletak buruk baik beliau yang menjadi pengajaran bagi semua pihak yang mengejar dan mencatur kuasa.

Amerika Syarikat (AS), yang pernah menjajah Filipina, telah mengajar Filipina bagaimana mengamalkan demokrasi, antaranya memilih presiden melalui pilihan raya empat tahun sekali seperti yang dilakukan di AS.

Sejak merdeka selepas Perang Dunia Kedua, Filipina telah melahirkan seorang presiden besar, Magsaysay, yang dikagumi meluas. Beliau setelah meninggal digantikan oleh Macapagal. Selepas itu bermulalah era Marcos sejak 1965.

Keangkuhan Marcos terbayang pada awal beliau berkuasa apabila Allahyarham Tunku Abdul Rahman bercerita bagaimana Marcos tidak bangun dari kerusinya apabila Tunku berkunjung Marcos, apalagi mahu melangkah ke depan mengalu-alukan ketibaan seorang tetamu yang juga ketua kerajaan negara jiran.

Ini, tambah Tunku, berbeza sekali ketika beliau berkunjung ke Manila semasa Macapagal menjadi presiden. Marcos ternanti-nanti dengan wajah berharap-harap hendak bertemu Tunku.

Tidaklah Tunku sedar bahawa Marcos berupa seorang berpaling tadah, pura-pura menyokong Macapagal walhal kemudian menubuhkan parti baharu melawan Macapagal merebut jawatan presiden, dan menang. Marcos menang kali kedua pilihan raya presiden pada tahun 1969.

Ini bererti penggalnya berakhir pada tahun 1973. Bagaimanapun, setahun sebelum berakhir, dalam September 1972, beliau mengisytiharkan pemerintahan darurat. Justeru perlembagaan digantung, dan kuasa pemerintahan hanya bersumber daripada watikah presiden.

Darurat yang diisytiharkan itu mendapat anggukan Presiden Nixon yang berkuasa di AS pada waktu itu. Nixon bersetuju hujah-hujah Marcos bahawa ancaman komunis di Filipina, Hukbalahap, sangat menggugat, mampu menjatuhkan kerajaan dan melumpuhkan demokrasi. Ini menjadi bertambah berat sebab pihak komunis sudah menggila-gila di Vietnam.

Jika terdapat kemungkinan Vietnam Selatan yang disokongi AS jatuh ke tangan komunis Vietnam Utara, ia tidak patut menjadi lebih teruk dengan Filipina sama-sama jatuh ke tangan komunis. Itulah perhitungan AS.

Sebaliknya, pihak penentang Marcos sedar segalanya itu ialah kepura-puraan Marcos untuk terus berkuasa. Beliau amat gentar jika beliau tidak lagi jadi presiden, beliau akan ditangkap, dibicara dan dipenjarakan kerana rasuah besar dan salah guna kuasa.

Ini membuatkan beliau memburu Benigno Aquino, musuh politiknya, sehingga Aquino melarikan diri di AS. Hukuman penjara dikenakan ke atas Aquino. Kegigihan Aquino balik ke Filipina berakhir dengan beliau ditembak mati ketika turun dari kapal terbang di Manila pada tahun 1983.

Rakyat beranggapan, mencuri wang rakyat boleh dikatakan kerana kelicikan pencuri, tetapi melakukan pembunuhan adalah kes tersangat berat. Selain daripada pembunuhan Aquino, Marcos pernah dibicarakan kerana membunuh musuh politik bapanya. Marcos bernasib baik terlepas.

Tertekan kerana dicap diktator, Marcos mengadakan pilihan raya presiden pada awal Februari 1986. Cory Aquino, balu Benigno, diiktiraf pemenang tetapi Marcos merampas kemenangan itu. Akibatnya, ramai menteri, jeneral dan penyokong rapat bangun menentang.

Angkatan Udara Filipina ialah yang pertama berbuat begitu. Kebangkitan Kuasa Rakyat meletus di jalan-jalan raya Manila.

Oleh itu Presiden Reagan AS tidak ada jalan lain melainkan menyuruh Marcos terbang ke Hawaii, demi kebaikan negara dan rakyat Filipina. Janji Reagan bahawa Marcos akan dibawa pulang ke Manila selepas keadaan menjadi aman hanya tinggal janji. Beliau mati pada tahun 1989. Kuburnya ialah tempat pelalian itu.

Nasib Marcos itu sama dengan Shah Iran yang diterbangkan oleh AS pada 1979 dan meninggal beberapa tahun kemudian. Kedua-duanya diktator belaian AS. Mereka tidak peduli kemungkinan negara dan rakyat mereka berdarah begitu teruk.

Jika mereka peduli, mereka sewajarnya melepaskan kuasa secara sukarela dan terhormat sebelum terpaksa meninggalkan nusa tercinta.   

* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet