PM Datuk Seri Najib dikejar wartawan di London dan dihujani pelbagai soalan berkenaan 1MDB. Rakyat Malaysia yang wajar tentulah rasa tersinggung melihat adegan begitu. Kenapa PM kita diburui begitu rupa.

Itulah realiti hidup dalam era internet. Meskipun media TV yang berlesen tidak menyiarkannya, pelbagai saluran di internet tidak lekang berbuat begitu.

Ini berlaku setelah seorang menteri mengakui bahawa ‘MO1’ yang sebut oleh Peguam Negara AS ialah Perdana Menteri Malaysia. Penafian siapa MO1 itu hanya melambatkan sesuatu yang sudah pasti berlaku. Menteri itu kini pastinya berada dalam keadaan meremang bulu roma, baik mencari jalan keluar atau ‘bersilat’ politik.

Kata mendiang Presiden Nixon, ‘apabila berada di puncak, kita nampak semua yang di bawah kecil-kecil belaka; kita hanya sedar betapa tingginya puncak gunung apabila kita berada di lembah. Tetapi jangan lupa, di puncaklah angin bertiup amat kencang!’

Dipercayai semua ahli Kabinet sedang dilantuni kekencangan itu. Tanggungjawab kolektif bererti satu bertanggungjawab untuk semua, dan semua bertanggungjawab untuk satu. Ini adalah satu aspek amalan demokrasi yang kita padankan dari Westminster, London, dan Capitol Hill, Washington DC, AS. Ia diamalkan di kebanyakan negara, lebih-lebih lagi negara-negara Komanwel, kecil dan besar, selaku bekas koloni British.

Tidak perlu diambil kira yang lama-lama. Apa berlaku sejak 20 tahun sudah nyata dalam sejarah, bahawa banyak kerajaan dibubarkan apabila ketua kerajaan menghadapi krisis keyakinan. Jika pembubaran tidak berlaku, ketua kerajaan sendiri meletak jawatan secara tersusun.

Ini memungkinkan penggantinya menyambut kuasa dengan baik. Pengganti akan melantik ahli-ahli Kabinet baharu, mungkin juga terdiri sebahagian besarnya daripada mereka yang sudah berada dalam Kabinet.  

Perdana menteri kita mempunyai lengkungan kuasa yang sangat luas. Dulu apabila Allahyarham Tun Suffian Hashim, bekas Ketua Hakim Negara, berkata begitu dalam satu ucapan, PM Tun Mahathir menafikannya.

Tun M berkata bahawa beliau tidak ada kuasa macam Presiden AS yang boleh menyerang dan menakluki negara-negara lain. Sebenarnya, apa yang dimaksudkan oleh Tun Suffian ialah ‘lengkungan kuasa’.

Masalah terbesar Tun Mahathir kini bukan soal kredibiliti, hujah atau keyakinan, tetapi lengkungan kuasa PM Najib. Pemberhentian dan pelantikan Peguam Negara, Gabenor Bank Negara, Ketua Pesuruhjaya SPRM dan pelbagai jawatan yang lebih rendah adalah dalam tangan PM. Jurai-juraian lain seperti pinjaman Bank Rakyat berjumlah beratus juta ringgit tanpa faedah, atau faedah rendah, pun secara tidak langsung berada pada kuasa perdana menteri.

Ada sebuah firma besar kerajaan hilang RM560 juta kerana ditahan dari menjual 40 juta saham firma awam yang tersenarai. Kesalahan besar dalam urus-tadbir dan rasuah sudah berlaku. Saham-saham itu sudah lumpuh, tiada nilai, diletakkan di bawah PN17. Orang yang menahan jualan saham itu patut dihukum lebih teruk daripada yang dikenakan kepada tiga orang Tan Sri!

Dalam sejarah sudah banyak berlaku di mana ahli-ahli Kabinet berhenti satu demi satu atau semua sekali gus sehingga perdana menteri / presiden tidak ada jalan lain melainkan meletak jawatan. Di London, sebagai contoh, perdana menteri akan menghadap Queen dengan maksud meletak jawatan atau meminta izin membentuk kerajaan baharu.

PM Britain Harold Wilson meletak jawatan pada 1976 kerana dilanda krisis ekonomi. Begitu juga PM Cameron baru-baru ini. Di Malaysia sendiri, PM Tunku Abdul Rahman berhenti dengan baik, disambut Tun Razak dengan tertib. Tiada isu besar yang mengundang pelbagai anggapan dan tuduhan.

Saya terdorong apabila mendengar ucapan PM Singapura, Lee Hsien Loong baru-baru ni. Bahasa Melayu yang beliau pakai adalah amat baik, begitu juga penuturannya. Audiensnya terdiri daripada beratus orang Melayu. Antara yang ditegaskan beliau ialah, Singapura tidak boleh mengabaikan kesusahan jiran.

Jika mereka terabai, dan jika mereka lumpuh, kelumpuhan itu akan melumpuhkan Singapura sama. Malaysia menghadapi masalah besar, katanya. Kepimpinan Malaysia menghadapi cabaran sengit. Nilai Ringgit sudah jatuh teruk: 3 Ringgit lawan 1 Dolar Singapura.

Satu untuk semua, dan semua untuk satu. Jika Cameron dan Lee ditanyai, pastinya mereka akan memberikan nasihat yang benar tetapi pahit. Kepergian Cameron yang seorang itu  membuka dunia baru untuk semua.

* Tan Sri Adam A Kadir,

Mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet