DALAM kehidupan kampung, terdapat apa yang dipanggil perang mulut. Serang menyerang dengan kata-kata kasar dan maki-hamun. Ia sering berlaku dalam kalangan jiran tetangga.

Terserlah ‘buah’ atau info yang tidak diketahui ramai daripada pihak-pihak yang berperang.

Suatu ketika terdapat seorang isteri di ceruk sebuah kampung dengan lantang memaki hamun seorang balu anak tiga yang tinggal selang dua buah rumah. Konon balu itu menjadi punca pertelingkahannya dengan suaminya.

 Maka terpacullah info tidak pernah didengari yang mengejut dan menggelikan. Si balu itu banyak menafikan tuduhan yang dilemparkan kepadanya sambil memberi balik apa yang tidak kena dan yang buruk tentang isteri itu. Jiran-jiran lain tidak masuk campur, malah selepas itu hanya terdapat sikap tidak pedulikan saja ‘perang’ itu.

Dalam keadaan kendur dan tenang, timbullah suara wajar. Timbullah fakta yang nyata dan diketahui ramai sebagai benar kerana sangat terbukti, tetapi isteri itu sangka jiran-jiran itu tidak tahu. Dia menganggap si balu itu saja yang tahu tentang info sulit, justeru balu itulah puncanya apabila info itu terdedah dan sampai ke telinganya. Ini menunjukkan pihak yang bersalah akan membuat apa saja untuk menutup kesalahannya, termasuk menimbulkan cerita-cerita buruk yang tidak relevan terhadap pihak yang mengetahui rahsianya.

Ini membawa kita kepada suasana semasa yang kita hadapi. Memandangkan pilihan raya akan menjelang dalam waktu terdekat, maka kita sekarang sedang melalui sebuah pasar yang bernama pasar info. Dalam pasar terdapat 1001 macam info yang sejajar dengan kehebatan mengejar kuasa politik untuk memegang tampuk pemerintahan di peringkat Pusat dan negeri. Kini, Pusat diterajui Barisan Nasional sedangkan negeri-negeri Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang masing-masing diperintah oleh Pas, PKR dan DAP.

Jika di AS, Trump sebagai pemenang mendapat undi popular yang kurang daripada undi Hillary Clinton yang kalah, di sini BN yang menang di peringkat Pusat juga mendapat undi popular yang kurang daripada kombinasi parti-parti pembangkang.

Keputusan begini tentunya tidak selesa, terasa payau di lidah. Ia hanya dimungkinkan oleh sistem pilihan raya yang berkenaan. Di sini, ia ditentukan oleh jumlah kerusi yang mencerminkan jumlah kawasan, sedangkan jumlah pengundi di satu kawasan amat berbeza dengan kawasan lain. Ada yang beratus ribu jumlahnya, ada yang kurang daripada 30,000. Di AS, ia ditentukan oleh electoral  votes atau undi tuntas, menurut jumlah kawasan yang tidak sama jumlah pengundinya.

Keadaan itu memungkinkan kemenangan undi tuntas tidak sama dengan undi popular. Ia berlaku pada kemenangan Presiden George W Bush mengalahkan Al Gore pada tahun 2000 dan kemenangan Presiden Trump mengalahkan Hillary Clinton pada tahun lepas. Justeru, ia menjadi azam kuat bagi kedua-duanya untuk membetulkan ketidakseimbangan undi begitu. Bush telah terbukti berhasil membetulkannya, sedangkan Trump sedang bekerja kuat menghadapi pilihan raya Presiden tahun 2020 untuk membetulkan angka kemenangannya, kalaupun menang lagi.  

Justeru, pasar info di AS dan Malaysia kini amat gigih sekali canaiannya, tetapi kedua-duanya memerlukan media mulut ke mulut di samping media biasa dan media sosial.

Ketiga-tiga media, dalam menjual info dalam pasar info ini, tidak boleh lari dari propaganda. Ini bergantung sejauh mana sesuatu propaganda itu masuk akal atau sebaliknya.

‘Bohong mentah’ sehingga kecerdikan orang diperlekehkan hidup-hidup tentunya kandas. Propaganda juga boleh berbentuk perbuatan salah dipadamkan dan digantikan dengan info rekaan atau yang tiada kaitan dengan perbuatan salah itu.  

Baru-baru ini saya mendengar daripada seorang veteran kampung bahawa X telah membeli tiga orang Tan Sri penting dan media Sarawak Reports. Itu sebabnya empat pihak itu cuba menjatuhkan Y.

Kata-kata itu agak meremang bulu roma. Mungkin ia sukar dipercayai, tetapi berdasarkan kesungguhan veteran itu, ia membayangkan bagaimana propaganda boleh menyusup hati rakyat di kampung.

 Nyata sekali tiga Tan Sri itu pernah bertindak terhadap gara-gara 1MDB. Itu sebabnya kredibiliti mereka hendak dimusnahkan. Tiada pihak lain melainkan Jabatan Keadilan (DOJ) AS yang terus bertindak ke atas gara-gara 1MDB ini, seperti kata Peguam Negara AS Jeff Session dua minggu dulu, DOJ, mahu merampas harta/wang kotor bagi memulangkannya kepada rakyat Malaysia; dan membicarakan mereka yang didakwa bersalah di mahkamah. Bukan jika, tetapi bila.

* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet