MAKLUMAT atau info adalah amat penting bagi sesebuah demokrasi. Presiden Obama dalam ucapan selamat tinggalnya sebagai presiden AS baru-baru ini menegaskan bahawa negara yang mempunyai rakyat yang kekurangan maklumat bukanlah sebuah negara yang baik dan utuh.

Pertelingkahan sikap dan pendirian dalam kalangan rakyat yang bermaklumat tidak membahayakan, malah menguntungkan.  

Mendapat ilmu menandakan penambahan maklumat. Itu tidak cukup. Keluasan membaca, mendengar radio dan menonton TV adalah sama-sama penting.

 TV dan radio adalah sumber utama rakyat Malaysia mendapat maklumat. Dengan hanya menonton dan mendengar, pelbagai maklumat dapat ditimba.

Ini dapat dilakukan ketika duduk-duduk di rumah, ketika memandu atau pelbagai suasana lagi.

Bagaimanapun, apa yang dianggap tidak memuaskan di sisi rakyat Malaysia ialah berbezanya pendedahan antara rakyat kota dengan rakyat luar kota atau kampung.

Dari jumlah kira-kira 33 juta rakyat Malaysia, kira-kira 23 juta tinggal di luar bandar dan pinggir kota; 10 juta tinggal di kota.

Terdapat kira-kira empat juta tempat tinggal di kota memiliki TV, sedangkan jumlah TV di tempat-tempat tinggal di luar bandar terdapat kira-kira sebanyak itu juga.

Orang luar bandar - kita panggil saja orang kampung - mendapat maklumat tidak seimbang dengan orang bandar.

Sebahagian besar orang bandar berlanggan dengan Astro yang mempunyai banyak saluran TV: dari Amerika, Britain, bumi Arab dan China. Pelbagai jenis dan sudut berita dapat diikuti dari sumber-sumber luar negara.

Sering berita-berita hangat yang berlaku dalam Malaysia yang disiarkan oleh saluran-saluran itu, tidak disiarkan oleh televisyen-televisyen Malaysia. Ini bererti rakyat kampung yang menonton percuma berada dalam penafian maklumat.

Ketika saya muda-muda dulu, dalam tahun-tahun 1960-an dan awal 1970-an, saya pernah menjadi penyampai berita di radio dan TV Malaysia.

Boleh dikatakan siaran berita tidak dapat tidak bermula dengan ayat begini: "Pemimpin utama berkata…." Atau "Menteri anu menegaskan…." Parti pembangkang boleh dikatakan tidak mendapat tempat, Jika adapun, ia berkenaan sesuatu yang negatif.

Hanya berita-berita luar negeri yang banyak mengandungi cerita-cerita pertikaian politik.

Parti kerajaan amat kuat. Ia mempunyai lebih dua pertiga kerusi di Parlimen.

Selaras dengan hakikat itu, rakyat tidak begitu kritis tentang apa yang disiarkan. Disebabkan TV dan radio kerajaan itu percuma, maka 23 juta rakyat kampung mengikuti kedua-dua seluas-luasnya.

Lain pula dengan penduduk bandar yang bukan hanya bergantung kepada TV dan radio yang disebutkan itu.

Sungguhpun tinggal di Kuala Lumpur, saya sering ulang-alik ke kampung saya di Kuantan.

Tinjauan saya mendapati, biarpun ramai siswazah berada di kampung, tahap celik maklumat adalah rendah. Seolah-olah rakyat kampung yang berpendidikan tidak lebih sekolah rendah puluhan tahun dulu sama kadar celik maklumat mereka dengan generasi kini. Adanya 123 buah universiti di Malaysia pada hari ini seolah-olah tidak tertumpah kepada rakyat kampung.

Dalam satu reunion (atau pertemuan murid tua) sebuah universiti terkemuka di dunia, yang terdiri daripada ketua-ketua eksekutif dan eksekutif-eksekutif kanan, seorang profesor bertanya bagaimanakah mereka mendapat maklumat. Semua yang menjawab berkata: TV, akhbar, majalah dan radio. Ini bererti ilmu dan maklumat yang mereka dapati ketika menjadi siswa sudah tidak relevan.

Maklumat baharu yang terkini harus didapati untuk menjalani hidup dan tugas.

Demi kebaikan, maklumat dari TV dan radio yang ditumpui orang kampung secara percuma itu harus mengandungi maklumat yang mencelikkan dan bukan membutakan. Ia bukan saja memanfaatkan diri mereka, malah negara juga.

Harus diingat, apabila disebut orang kampung, ia bermaksud orang Melayu atau Peribumi.

Mereka menjadi mundur jika hanya disogokkan dengan maklumat-maklumat yang berpihak kepada sesuatu pihak, seperti terbukti dalam negara-negara komunis dan autokrat.

Contohnya, China menjadi maju dan kaya dalam masa 20 tahun selepas keluar dari kepompong begitu.  

Ketika era Soviet, akhbar Pravda dan Izvestia (yang bererti ‘Berita’ dan ‘Benar’) dimomokkan begini: Bila ada berita, ia tidak benar.

Bila ia benar, ia bukan berita. Maka tidak patutlah TV dan radio yang ditonton dan didengar percuma oleh orang kampung itu menjadi seperti Pravda dan Izvestia itu. Rakyat berhak mendapat lebih daripada itu.

*Tan Sri Adam Kadir, mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet