POLITICIAN, ahli politik, politikus. Jelas sekali istilah yang pertama itu dari bahasa Inggeris; kedua, bahasa Melayu; dan ketiga, Indonesia.

Dalam yang tiga itu, istilah yang pernah dipakai secara meluas di Indonesia itu agak menggelikan dan sinis sekali, bagaikan seseorang ahli politik itu bercirikan ketikusan.

Di mana-mana saja terutama di Barat, politician sering saja menjadi bahan gurau-gurauan dalam kehidupan harian dan program TV.

Menggunakan sindiran dan perli, mereka mengatakan politician itu pembohong, tidak menepati janji, rakus dan lain-lain, walaupun negatif-negatif begitu terdapat juga pada pihak-pihak lain, seperti peguam, doktor, jurutera, pentadbir, ahli-ahli agama, wartawan, guru, pensyarah dan banyak lagi.

Segalanya boleh diikuti di media di mana-mana saja dalam dunia. Bagaimanapun, memandangkan ahli politik dipilih oleh orang ramai, maka berhaklah mereka menggetus dan melepas geram kepada pihak yang mereka pilih itu asalkan tidak terlanjur hingga boleh disaman di mahkamah.

Politician sendiri pun tahu bahawa dalam politik, kawan dan musuh tidak kekal. Yang kekal ialah kepentingan. ‘Tidak ada kawan dalam politik,’ kata seorang yang berpengalaman luas dan lama.

Sebagaimana tidak persisinya di mana persahabatan bermula dan permusuhan berakhir dalam politik, begitu jugalah politician dengan politiknya.

Umpamanya, 30 tahun dulu, dalam tahun 1987, meletuplah perlawanan Tim A dan Tim B dalam usaha merebut kuasa dalam Umno, justeru kuasa pemerintahan negara.

Faktor yang mendorong perpecahan itu ialah Anwar Ibrahim yang dipilih amat ketara  oleh PM Dr Mahathir sejak PRU 1982 dan ditanai untuk jawatan-jawatan penting yang lebih tinggi. Ini tidak disukai oleh pihak-pihak yang sudah lama berada dalam Umno.

Keputusan perlawanan besar itu dimenangi Tim A pimpinan Dr Mahathir dan Ghafar Baba, sedangkan Anwar yang menjadi faktor kontroversi mencapai kemenangan yang mengukuhkan terus kedudukannya dalam parti dan kerajaan.

Kesan dari peristiwa itu menyaksikan ramai tokoh Umno kehilangan tempat, antaranya Tengku Razaleigh dan Musa Hitam dan penyokong-penyokong kanan mereka, seperti Rais Yatim.

Sukar sekali untuk dilupakan ialah kelantangan Rais Yatim yang mengisytiharkan dalam rapat raksasa di Gua Musang, tapak politik Tengku Razaleigh, bahawa beliau telah membakar jambatan daripada kepimpinan Dr Mahathir.

Ini jelas mencerminkan bahawa beliau amat yakin Tim B akan menang untuk menerajui Umno dan negara.

Namun begitu, sejarah menjadi bukti bahawa Rais telah meniti balik jambatan yang dibakarnya, memenangi keyakinan Dr Mahathir, bertanding PRU dan menjadi menteri semula.

Bagaimana beliau melakukannya, hanya beliau dan Dr Mahathir saja yang tahu. Orang lain hanya boleh mengagak dan mengandaikan saja. Yang tidak boleh dinafikan ialah babak kedua politik Rais itu berlaku selepas Anwar sudah terlucut keyakinan daripada Dr Mahathir dan ternyah dari parti dan kerajaan.

Kini, selepas kegigihan beliau berkali-kali bertukar jawatan menteri sejak era Mahathir, Pak Lah dan DS Najib, beliau masih diberikan jawatan Penasihat Budaya Negara. Oleh itu apa-apa saja nasihat beliau pada kedudukan ini harus dipeduli oleh rakyat.

Jelas sekali apa yang diertikan ‘nasihat’ yang implisit dalam istilah ‘penasihat’ itu adalah lebih luas daripada yang biasa difahami, tidak hanya bak ‘nasihat’ seorang ayah kepada anaknya.

Ia lebih hampir kepada istilah ‘advice’ dalam bahasa Inggeris yang mencakup ‘pemberian maklumat yang wajar dan munasabah’. Tambahan pula, apakah ‘nasihat’ itu hanya untuk perdana menteri, di satu pihak, dan untuk rakyat, di pihak lain?

Tidak berapa lama dulu, ketika Tun Dr Mahathir bertegas tentang 1MDB, Rais diberitakan membuat teguran bahawa mantan PM itu sudah melampau dan terlalu. Mengejutkan pula  pada minggu lepas Rais tidak semena-mena mengaku bahawa beliaulah orang yang pertama menyingkap skandal 1MDB itu.

Saya yang begitu lama dan kerap memperkatakan hal 1MDB di ruangan ini menurut fakta berintegriti, dan bukan serangan peribadi, tidak pernah ingat Rais berhujah tentang 1MDB. Kiranya benar terbukti begitu, saya amat berterima kasih diperbetulkan. 

Apa yang kekal ialah amalan ‘politikus’ yang bijak: mahukan musuh menjadi kawan demi  prospek kepentingan bersama.

* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet