KEPALA arwah ayah saya nyaris-nyaris dipancung akibat memandu dalam hujan lebat musim tengkujuh pada tahun 1942 pada zaman Jepun. Beliau yang memandu di jalan berlopak-lopak telah memercik kuyup askar Jepun di tepi jalan.

"Potong kepara!" pekik askar itu. ‘Kepara’ ialah lidah Jepun untuk ‘kepala’. Ayah saya meminta maaf, lantas cepat-cepat pergi sebelum ditempeleng. Dengan pertolongan saudaranya yang juga bekerja dengan Jepun, ayah saya dimaafkan. Tiga tahun kemudian, hujung 1945, askar Jepun itu dan ayah saya bercakap mesra di halaman Rumah Rehat Beserah, 8 km dari Kuantan. Pekikan potong ‘kepara’ terngiang-ngiang di kepalanya. Askar itu ialah dalam kalangan kumpulan Jepun kalah yang dibawa ke situ.

Perihal ‘potong kepara’ ini membawa saya kepada kisah King Charles l yang dipenggal kepala pada 1649 setelah 50 ahli Parlimen membicarakannya dan menjatuhkan hukuman itu. Kini, hampir 370 tahun kemudian, Putera Charles, Tengku Mahkota England, sedang mengharung hidup bertamadun tinggi, bertentangan dengan iklim zalim zaman moyangnya yang sama nama, King Charles itu. Baginda amat zalim dan hukuman yang baginda alami sama-sama zalim.

Kira-kira lebih 100 tahun sebelum itu, King Henry Vlll, demi mengambil isteri-isteri baharu, telah memancung dua isterinya, Anne Bolyn dan Catherine Howard, atas tuduhan yang diada-adakan: bermukah. Seratus lima puluh tahun selepas King Charles l pertama hilang kepala, raja Perancis King Louis XV1 mengalami nasib yang serupa pada tahun 1793 akibat Revolusi Perancis. Pengajaran baik daripada kejadian-kejadian itu dan selepas itu telah menyumbang kepada perkembangan yang lebih adil dan setimpal, berprinsipkan undang-undang dan perlembagaan, seperti yang terbukti kepada ketakhtaan yang masih kekal di Eropah: antaranya Belanda, Sweden, Norway, Belgium, Denmark dan tentunya England. Takhta yang sudah ditiadakan sejak Perang Dunia l dan ll jauh melebihi jumlah itu.

Di Asia, dua monarki utama ialah Jepun dan Thailand. Selepas kalah Perang Dunia ll, Jepun berubah 360 darjah dari takhta jelmaan tuhan kepada takhta duniawi yang lebih baik dari England. Ia tidak langsung ‘berketik’ dalam hal pemerintahan negara. Emperor Hirohito yang merestui pembabitan Jepun dalam perang besar itu berterima kasih sedalam-dalamnya kepada AS kerana kepalanya terus kekal di leher! Jika lehernya pergi, pasti sekali takhta ribuan tahunnya pergi sama.

Dalam pada itu, Perang Dunia ll dan Revolusi Rakyat Indonesia selepasnya telah menyaksikan berpuluh malah beratus orang raja dan shah, kecil dan besar, ternyah dari bumi Nusantara itu. Mereka dianggap tidak bersama rakyat dalam revolusi. Selepas memperkatakan segala itu, apa yang berlaku ialah sejarah mengulangi sejarah, memperlekehkan saja kalimat hikmat seorang pujangga: "Sesiapa yang lupa sejarah dikutuki mengulangi sejarah".  

Di Mesir, King Farouk membiarkan dirinya digunakan British, terus hidup mewah berlimpah ruah meskipun rakyat menderita. Apabila Mesir mengetuai perang menentang penubuhan Israel, Farouk tidak bersemangat Arab malah diam-diam bersekongkol dengan British, iaitu kuasa yang menaja penubuhan Israel bersama AS. Lalu Farouk disingkirkan, Mesir menjadi Republik atas kepimpinan Jeneral Naguib dan Kolonel Gamal Nasser. Farouk meninggal dalam buangan di Rome, Itali, pada tahun 1965 dalam usia 45 tahun.

Di pihak lain, British dan AS cuba mengawal Iran dan minyaknya dengan menjadikan  seorang pegawai rendah askar, Reza, seorang raja selepas Perang Dunia l. Bila menghadapi masalah, beliau digantikan dengan anaknya, yang kezalimannya ditutupi oleh dua kuasa besar itu. Maka tidaklah mengejutkan apabila Shah yang kedua itu disingkirkan oleh rakyatnya pada tahun 1979, membetulkan kekandasan tindakan yang sama pada tahun 1953 oleh Musaddiq, PM yang dipilih secara demokrasi. Monarki Iran atau Farsi yang berusia lebih 2,000 tahun, silih berganti, telah menemui garis penamatnya seperti di Mesir. Rusia, Jerman, Itali dan lain-lain.  

Namun King Farouk, sebelum meninggalkan Mesir, ada berkata: "Akhirnya yang tinggal ialah King England dan empat King pakau." Tiga kata-kata akhir itu ialah humor. Ini bererti untuk terus disayangi rakyat, King atau Queen England, sejak kepala King Charles l dipancung, telah menunjuk teladan yang baik kepada semua raja di dunia: tidak bercanggah dengan perlembagaan negara dan harmoni dengan keutamaan dan kepentingan rakyat.