AKHBAR memainkan peranan penting dalam perjuangan kemerdekaan negara ini. Berita-berita dan rencana-rencana menjurus ke arah membakar semangat kemerdekaan. Indonesia dan Sukarno bagaikan pengilham. Banyak rumah yang mengeratkan gambar keluarga Sukarno dan dibingkaikan di ruang kerusi meja atau sekurang-kurangnya ditampalkan di dinding.

Jika ada tukang gunting rambut yang berasal dari Indonesia, baik orang Jawa, Minang mahupun Aceh, ucapan yang diguraukan ialah ‘tetap’, maka Pak Tukang lantas menjawab ‘merdeka’. Jika dilaungkan ‘merdeka’, maka Pak Tukang menjawab ‘tetap’. Akhbar yang semuanya bertulis jawi tidak lekang mengingatkan nasib Tanah Melayu berbanding dengan nasib Palestin. Mereka tahu negara Palestin sudah lama wujud sehinggalah Yahudi merampas negara itu dan dijadikan Israel.

Orang-orang Yahudi diberikan tempat di Palestin kerana mereka mengalami diskriminasi teruk di Eropah. Di kota-kota besar Eropah, mereka tinggal secara gelandangan, dipanggil ghettoes dalam bahasa Inggeris. Seperti Tanah Melayu, Palestin berada di bawah penjajahan British. Jika British membawa orang Yahudi masuk Palestin, British pula membawa orang China dan India ke Tanah Melayu. Tujuannya agak bersahaja; orang Cina sebagai pekerja lombong bijih timah dan ladang kopi, dan orang India kemudiannya sebagai pekerja ladang getah.

Orang Yahudi menghadapi pintu terbuka di Palestin dimungkinkan oleh tokoh-tokoh Yahudi di London. Mereka telah menempah nama dalam dunia kewangan. Yang paling gah ialah Rothschild dan keluarganya. Beliau seorang maha kaya, rapat dengan golongan kepimpinan politik dan mesra dengan keluarga diraja. Titisan darahnya, Baron Walter Rothschild, diutuskan sepucuk surat oleh Mr Balfour, Menteri Luar Britain, pada tahun 1917 menjanjikan wujudnya sebuah negara Israel.  Surat itu ditarafkan sebagai satu perisytiharan.

Sejak itu Yahudi tidak henti-henti melakukan usaha dan taktik untuk mengambil alih Palestin dengan galakan dari Britain dan AS. Sehingga menjelang Perang Dunia II, keadaan tidak berpihak kepada Yahudi memandangkan Jerman yang kalah perang telah tegak semula di bawah Hitler, sedangkan Turki masih berkuku di bumi Arab. Justeru Britain banyak bersikap berjaga diri sendiri.

Yahudi yang masih ramai di Eropah, menghadapi layanan buruk di sana sini, terutama di Jerman. Dasar Hitler ialah hendak melemahkan peranan Yahudi dalam hal ehwal kewangan, baik di peringkat tinggi mahupun di peringkat rendah. Dasar ini menjadi lebih keras apabila reaksi Yahudi terang-terang menempelak kuasa Nazi. Ini mengakibatkan wujudnya kem tahanan Yahudi di sana sini. Sikap melampau dalam melaksanakan dasar itu oleh pegawai dan askar menyaksikan beribu-ribu Yahudi terkorban. Pada akhirnya berjuta-juta orang dikatakan menemui maut.

Britain dan AS didatangi rasa bersalah kerana mereka rasa mereka boleh membuat sesuatu dengan tegas menyelamatkan Yahudi daripada nasib yang amat malang itu. Justeru, mereka mempercepatkan penubuhan Israel dan berpihak kepada Yahudi melawan Arab di Palestin. Sumbangan wang dan senjata daripada mereka tidak terbatas. Yahudi yang bermastautin di Eropah dan AS dilatihkan secara sulit dan dihantarkan ke Palestin bagi menentang Arab.

Akhirnya, dengan pertolongan Britain dan AS, Yahudi mengambil masa hanya sembilan bulan untuk mencapai kemenangan. Tewaslah angkatan campuran negara-negara Arab: Mesir, Syria, Jordan, Iraq, Saudi, Yemen dan Lebanon, dengan bala tentera hampir 70,000. Malangnya, Libya, Tunisia, Algeria dan Maghribi yang di bawah penjajahan Perancis tidak menolong Palestin.

Berbalik kepada apa yang berlaku di Tanah Melayu sebelum merdeka. Rasa terancam daripada orang Yahudi oleh orang Palestin di buminya sendiri membuatkan banyak pihak ternampak keselariannya di sini. Sebutan ‘orang asing’ sebagai rujukan ‘bukan Melayu’ kerap kedengaran dalam percakapan dan tulisan. Namun kini, komponen rakyat Malaysia menganggapkan segala itu hanya berupa sejarah lama. Nasib yang dilalui Palestin walaupun pernah menjadi igauan buruk untuk Tanah Melayu, sudah tidak relevan lagi. Insya-ALLAH.