SAYA berkunjung ke Mesir 12 tahun dulu. Presiden Mubarak masih tegak berkuasa. Tanda keadaan tegang terasa meluas. Jalan di sebelah istananya menampakkan kehadiran tentera seolah-olah garuda akan menyerang.

Di Luxor (Al-Luksor), ruin atau tinggalan tugu-tugu maha hebat yang berusia 4,000 tahun masih ada. Tugu-tugu itu adalah pusaka dari kota Thebes pada zaman itu yang pernah menjadi kota terbesar di dunia.

Tugu-tugu agama dan kekuasaan pra-Nabi Musa AS, pra-Nabi Isa AS dan pra-Nabi Muhammad SAW tegak besar dan gah.

Ia mengingatkan saya kepada tugu-tugu yang sama di Iran yang kini menjadi ruin setelah diserang Iskandar Zulkarnain dari Macedonia (dekat Yunani atau Greece) kira-kira 2,400 dulu sebagai balas dendam terhadap Maharaja Farsi (kini Iran) Darius yang telah menghancurkan mahligai maha-moyangnya.

Tindakan ini membuka jalan untuk Iskandar menawan sebahagian besar dunia.

Bila disebut depangan 4,000 ribu tahun, Iskandar dan Nabi-Nabi agung jelas menjelang dalam minda kita begitu banyak kejadian yang berlaku kepada manusia dan kemanusiaan.

Beberapa ratus tahun dulu, England sendiri mengalami kematian hitam, Black Death. Lebih separuh daripada orangnya yang berjumlah lebih kurang 5 juta, mati. Namun, tragedi itu membuka peluang kepada Inggeris menemui ubat-ubat baharu, mencari jalan untuk mendapat makanan dan sumber ekonomi di seberang laut.

Dengan pengalaman dan pengajaran yang dikutip, akhirnya Inggeris berjaya menakluki sebahagian besar dunia, termasuk kita. Segala-galanya itu tentunya pemerian kasar. Tidaklah diketahui jutaan orang yang teraniaya.

Kini, melalui komputer, telefon pintar dan media lain, kita insaf bahawa dunia adalah mengulangi sejarah itu dengan segala kehodohannya, malah ulangan apa yang berlaku sejak beribu-ribu tahun dulu itu dikepalkan dalam satu jangka waktu yang singkat.

Di utara kita, Muslim Rohingya menjadi mangsa pemerintahan Buddhist di Myanmar. Bangsa-Bangsa Bersatu sendiri yang mengesahkannya.

Aung Sang Suu Kyi kononnya seorang pejuang hati nurani di sana tidak terlepas dari bersikap buruk, diskriminasi ras di sana.

Beliau hanya sibuk nak jadi presiden, tetapi enggan mengikut jejak langkah Mandela di Afrika Selatan.

Segala itu membawa saya kepada situasi yang berlaku kepada Muslim kini yang berupa satu perlima penduduk dunia. Satu WhatsApp yang sudah menjadi viral menjijikkan Muslim.

Kononnya Muslim bermasalah dengan Kristian, Yahudi, Hindu, Buddha dan mereka tanpa agama (MTA) sedangkan mereka, tanpa Muslim, boleh hidup bergandingan.

Meskipun ini jauh dari benar, ia mencerminkan satu sikap umum (stereotaip) terhadap Muslim. Jumlah Muslim dunia kini dikatakan 1.6 bilion, tetapi yang sebenar sudah 2 bilion (1.6 bilion ialah 30 tahun dulu).

Sejumlah kecil Muslim yang melawan Barat – Isis, Taliban dan lain-lain – adalah ibarat nyamuk dalam kelambu. Maka sebab nyamuk seekor, kelambu dibakar, tidak kira kalau rumah sekali hangus.

Malangnya bakal Presiden AS, Trump nampaknya bersikap begitu. Jelas sekali beliau anti-Muslim ketika berkempen.

Dikatakan terdapat dua juta Muslimin di AS, tetapi jumlah sebenar jauh lebih dari itu. Ini kerana terdapat rata-rata 10 masjid di tiap-tiap kota di kalangan 100 kota terbesar di AS.

Mengenal pasti Muslim di AS bukan senang. Dalam ID atau kad pengenalan di sana tidak terdapat butiran agama.

Pentadbiran Trump mungkin menjadikan masjid sebagai lambang nyata Muslim, sebagai sasaran pengintipan Muslim hodoh. Ini amat menakutkan semua, termasuk kita yang sesekali berkunjung ke AS.

Mudah-mudahan Trump akan terbalik hati selepas menerima taklimat daripada pegawai-pegawai yang tahu.

Apakah yang patut orang Muslim buat? Ketika berkapal dalam Sungai Nil di Mesir, kami beramah mesra dengan seorang doktor pakar Iraq dan isterinya, seorang doktor GP yang lari dari Iraq dan bermastautin di Toronto, Kanada. Saya rasa, mereka adalah Syiah. Hasil dari bualan hati ke hati, kesimpulannya ialah Syiah dan Sunni jangan bermusuh.

Katanya, ada satu yang maha penting yang dikongsi oleh Syiah dan Sunni, bak sudah terang lagi bersuluh. Lailahaillallah Muhammadarrasulullah (Tiada Tuhan yang aku sembah melainkan ALLAH, Nabi Muhammad SAW ialah pesuruh ALLAH).