JUARA kampung! Hoi, juara kampung!” Itulah pekikan penyokong Indonesia terhadap Rashid Sidek di Stadium Negara sekitar tahun 1990-an. Ketika itu, Rashid ialah pemain badminton terkemuka dunia.

Pekikan itu menjadi lebih kasar pada 1992 apabila Malaysia mengalahkan Indonesia di Jakarta, bukan di ‘kampung’ sendiri, namun beliau terpaksa menghadapi celaan ‘juara kampung’ yang lebih teruk.

Itulah imej negatif yang dikaitkan dengan kampung. Sebut apa saja yang tidak maju, maka itulah kampung. Apakah benar begitu? Ada benarnya dan ada tidak benarnya.

Sebagai seorang yang membesar dan berkembang dari kampung, saya bersikap bahawa ciri-ciri negatif kampung adalah diimbangi dengan ciri-ciri positif.

Kini, ungkapan ‘balik kampung’ bermain di bibir penghuni kota baik Melayu, baik bukan Melayu. Ia ungkapan mesra yang bertatahkan segala yang baik-baik dalam hubungan antara individu. Spontan dan tidak formal.

Sebaliknya, kota ialah tempat mencari rezeki, waktu lapang hanya pada hujung minggu. Justeru, jalinan persahabatan dengan jiran tetangga agak terbatas. Hilanglah Pak Long, Mak Ngah, Pak Cik dan Mak Cik.

Dalam pada itu, kota di mana-mana saja di dunia mempunyai lebih kemudahan dalam segala hal, termasuk ilmu, meskipun tidak semestinya genap dan betul.

Ketika merdeka 60 tahun dulu, 90 peratus orang Melayu tinggal di kampung. Kini, 75 peratus masih lagi berada di kampung.

Sebuah akhbar harian bertulisan jawi mendominasi pemikiran Melayu. Kebanyakan orang Melayu hanya berpendidikan sekolah rendah, selaras dengan majoriti wartawan yang berpendidikan setakat itu juga.

Untuk itu, mereka sendiri mengaku mereka berkelulusan sekolah atap di kampung. Dengan berbekalkan pendidikan formal di tahap itu, bukanlah mengejutkan jika mereka kurang membaca apa yang berlaku di dunia dalam bahasa Inggeris, bahasa kolonial yang dominan sejak Francis Light mengambil Pulau Pinang pada 1786.

Bertitik tolak dari situ, akhbar itu mencanangkan agar berita tempatan diutamakan daripada berita luar negara, sesuai dengan mental kampung. Maka, semakin menjuruslah apa-apa saja yang kekampungan menjadi lebih kekampungannya. Hal-hal kewangan dan ekonomi boleh dikatakan tidak mendapat tempat, sedangkan hal-hal perparitan dan denai-denai kampung mendapat liputan luas.

Kota-kota kecil di birai kampung menjadi berita jika nama kedai dalam bahasa Melayu berbunyi tidak betul atau ada nama jalan yang tidak ditukarkan kepada nama yang lebih berbunyi setempat.

Contoh berita kekampungan akhbar itu ialah begini; Seorang kiai tua di sebuah kampung di Johor dijodohkan dengan gadis 16 tahun oleh ibu bapanya kerana kagum dengan kiai itu.

 Selepas itu, seorang Tok Guru dinikahkan dengan gadis 16 tahun juga oleh ibu bapanya di sebuah kampung di Pahang atas asas yang sama. Berhentilah beliau mengajar. Dengar tidak dengar, beliau telah pulang ke Kelantan, tetapi ada yang kata, tempat asalnya ialah Patani.

Kini, salah seorang pembentuk pendapat agama ialah Mufti Perlis, Dr Asri. Beliau melintasi mental kampung dan memeluk mental dunia.

Katanya, Islam patut bersudutkan pada lunas yang membolehkan (enable) dan bukan ‘tidak membolehkan’.

Agama ialah hak individu, kata Dr Asri, bukan hak orang tengah seperti ‘ustaz’. Logiknya, individu berhak pula memilih sesiapa, cara dan institusi yang diyakininya untuk mendalami ilmu yang ada.

Sejak mesin cetak dicipta oleh Gutenberg di Jerman pada 1439, unsur ‘pembolehan’ memungkinkan al-Quran dan buku keislaman diterbitkan berjuta-juta naskhah, meluaskan ufuk ilmu dan pemahaman Islam seluruh dunia, dan membolehkan ummah menimba ilmu Islam secara langsung. Hanya mental dunia yang boleh menampung segala-galanya itu.

Baru-baru ini saya menyertai pengurusan satu jenazah. Seorang wanita enggan mendekati jenazah sepupunya itu kerana menurut suaminya, isterinya pengikut Wahabbi, tidak perlu melawat jenazah, cukup dengan hanya niat saja. Jika benar begitu, maka bagaimana pula bila orang tidak datang melawat, dan penggali kubur tidak menggali kubur apabila isterinya meninggal? Sedihlah akibatnya.

Apa yang diketahui, Wahabbi berpadu usaha dengan Saudi memulakan Saudi Arabia 85 tahun dulu selepas berlalunya pemerintah Turki atas anggukan British dan AS. Wahabbi memegang ehwal keagamaan sedangkan Saudi memegang pemerintahan.

Ibnu Khaldun, bapa sosiologis dunia dalam abad ke-14 berkata, bahawa dalam kehidupan manusia terdapat tiga tangga terpenting. Pertama kelahiran. Kedua, perkahwinan. Ketiga, kematian.

 Ketiga-tiganya ialah aktiviti kemasyarakatan dalam Islam. Jika mana satu tidak dipenuhi, ia bukan Islamik.

* Tan Sri Adam Kadir, mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet