"DIA Inggeris nak jadi Melayu; dia juga Melayu nak jadi Inggeris.” Itulah kata-kata sindiran di kalangan Inggeris yang ditujukan kepada Hugh Clifford sebelum beliau ditukarkan dari Tanah Melayu pada 1904. Frank Swettenham pula mengatakan bahawa orang Melayu boleh diyakini; amanah menjalankan tugas; tertib dan berbudi bahasa; melainkan mereka boleh mengamuk jika maruah mereka tercemar. Katanya, hanya Melayu yang boleh mengamuk, dipanggil ‘run amok’ dalam bahasa Inggeris.

Pada umumnya ciri-ciri Melayu diketengahkan pegawai-pegawai kolonial Inggeris seperti Swettenham dan Clifford, dan lebih awal lagi, Stamford Raffles, pengasas kota Singapura.

Sebelum Zaaba, bahasa Melayu diajar pegawai-pegawai Inggeris. Paling tinggi ketokohannya ialah R.O. Winstedt, lulusan PhD dari Universiti Oxford. Kemampuan mereka dalam bahasa Melayu didapati melalui amalan biasa dalam pembelajaran sesuatu bahasa: memerhati, mengamalkannya dan memberikan nahu yang bermirip nahu Inggeris. Dengan itu, pegawai-pegawai British yang dihantar berkhidmat di Tanah Melayu diwajibkan lulus bahasa Melayu sebelum disahkan dalam jawatan. Dari itu, bahasa Melayu sudah terletak di satu asas yang kuat, sebelum Zaaba membentuk terus bahasa Melayu.  

Mungkin pengajian bahasa Melayu di Universiti London dimulakan Winstedt setelah bersara dari Malaya dan menjadi profesor di situ. Ia membuka pintu untuk Zaaba dan Kassim Ahmad bertugas di situ kemudiannya. Saya hanya boleh membayangkan bagaimana hebatnya Inggeris, Scot, Irish dan dan Welsh (dipanggil British) menggunakan bahasa Melayu walaupun tidak berbunyi lidah Melayu. Kagum juga saya bagaimana mereka selaku pegawai kolonial boleh menghasilkan buku begitu banyak.

Mereka tidak banyak membukukan tulisan mereka dalam bahasa Melayu kerana pembacanya sangat terbatas. Dalam hal ini, British boleh disalahkan. Sudahlah sekolah menengah tidak ada, sekolah-sekolah rendah Melayu pun kurang sangat – tidak semua kampung yang mempunyainya.  

Saya kini kerap menjadi tetamu majlis-majlis perkahwinan di sekitar Kuala Lumpur. Walaupun dihadiri hampir 100 peratus oleh orang Melayu, namun juruacara dan tuan rumah tidak lekang menggunakan bahasa Inggeris. Selalunya bahasa itu digunakan amat terkawal. Apabila sudah tidak terkawal, bunyinya bukan Inggeris yang betul; nahunya pula tidak menentu. Apabila dicelah dengan bahasa Melayu, bunyinya macam meraba-raba, dibuat-buat; ingin memberikan gambaran bahawa kepintarannya dalam bahasa Inggeris mengatasi kemampuan bahasa Melayu. Namun begitu, beberapa patah perkataan Melayu itu terbukti berbunyi lebih bermaya dan spontan. Tentunya begitu. Ia lidah kita, bahasa ibunda kita!

Tidak salah kalau kita fasih dan efisien menggunakan bahasa Inggeris. Ia rata-rata diiktiraf sebagai bahasa dunia, tetapi jika kita pada umumnya sama-sama fasih dan efisien dalam bahasa Melayu, tentulah ia sesuatu yang membanggakan. Hakikat ini telah begitu lama saya perhatikan di Eropah, Amerika Selatan dan Asia. Penutur bahasa Inggeris yang baik didapati dalam kalangan orang Belanda, Jerman, Sweden, Switzerland, Itali malah hampir semua, tidak terkecuali orang Rusia. Lain daripada kita di sini, mereka tetap berbahasa mereka sendiri dalam majlis-majlis di negara mereka dan ketika bercakap-cakap sesama sendiri.

 Selepas memperkatakan itu semua, kita dapati ramai Melayu tiba-tiba mendapat PhD. Jika kelulusan ini palsu atau tidak memenuhi kriteria, ia boleh mengaibkan. Di universiti-universiti wajar di dunia, tidak kurang tiga tahun sepenuh masa, selepas sarjana diperlukan untuk mendapatkan PhD. Apabila ada yang mendapat sambil bekerja sepenuh masa, ia menghairankan. Dua puluh tahun dulu ada dua pegawai kanan kehilangan PhD mereka kerana kepalsuan. Seorang MB menamakan universiti palsu di AS yang memberikan PhD kepadanya. Seorang lagi MB memperlekehkan PhD bagaikan beliau boleh membuat dua tiga PhD setahun. Ada pula yang mengupah orang lain membuat tesis PhD. Jadinya, ramailah orang yang seperti itu terdapat di sana-sini dalam kehidupan Melayu kini.

Adakah Melayu abad ke-21 yang hampir memasuki Dunia Pertama memerlukan lambakan PhD begitu? Tentunya tidak. PhD jati adalah wajar; tetapi yang lebih penting ialah PhD dalam subjek yang relevan dengan tuntutan Melayu dan Malaysia kini.