WHATSAPP, Facebook, Instagram dan Twitter adalah antara media sosial yang paling popular. Ciri-cirinya yang utama ialah ramai orang boleh berkomunikasi dan ramai pula yang boleh menjawab pada satu masa. Ia berbeza dari ‘media industrial’, iaitu akhbar dan majalah berkertas; radio dan TV.

Di media ini, audiens yang ramai tidak berpeluang memberikan respons dan maklum balas serta-merta.

Perbezaan itu boleh menimbulkan soal kualiti. Media industrial mempunyai masa  menyemak dan menyunting bahasa dan fakta untuk kekal diyakini. Media sosial lebih kepada sikap agak-agak dan tangkap muat. Kebaikannya pula, apa yang dianggap silap boleh dibetulkan serta-merta. Media sosial menggalakkan pihak-pihak tertentu membuat silap. Sering individu dicemarkan dengan kepalsuan dan gambar-gambar suntingan.

Itu sebabnya ada pihak yang mengambil tindakan undang-undang. Pada umumnya mereka yang terjejas ketepikan saja apa-apa yang negatif kerana yakin bahawa audiens adalah wajar: tahu mana intan mana kaca. Bagaimanapun, kemajuan media sosial telah mencabar media industrial dengan teruknya.

Begitu banyak akhbar dan majalah telah mengalami kemerosotan pembaca ataupun tutup sama sekali. Pasaran media yang terbesar ialah di AS. Semua akhbar terkemuka seperti New York Times, Washington Post, Wall Street Journal dan Los Angeles Times mengalami kemerosotan pembaca. Kemerosotan ini menjejaskan pula pendapatan dari pengiklanan.

Dua majalah mingguan antarabangsa terkemuka, Newsweek dan Times, juga tidak terlepas daripada nasib yang sama. Akhirnya Newsweek dijual dengan harga satu dolar kepada media sosial bernama Daily Beast dengan semua hutang-piutang ditanggung oleh pembeli. Majalah Newsweek ini pernah dicetak kira-kira lima juta naskhah setiap edisi mingguannya dalam beberapa bahasa.

Intelek, pemikir dan tokoh politik dunia pernah menulis dengannya dalam bentuk ‘kolum’ atau esei khusus. Antaranya ialah pemenang Hadiah Nobel dalam ekonomi: Paul Samuelson, Milton Friedman dan Henry Kissinger, mantan Setiausaha Negara AS.  

Disebabkan ketenatan, Newsweek dijual semula, sedangkan Daily Beast menempa kemajuan. Kini, ia mempunyai pembaca online berbayar lebih sejuta sehari. (Terjemahan betul untuk ‘online’ ialah ‘di talian’ dan bukan ‘atas talian’). Daily Beast merupakan media sosial yang berjaya sekali, sekurang-kurangnya dalam dunia bahasa Inggeris.

Berlainan dengan media sosial yang berada dalam tangan individu seperti yang disebutkan di atas, Daily Beast ini bersikap seperti media industrial dalam menjaga kesahihan fakta dan penggunaan bahasa yang baik. Ini untuk memastikan audiens menghormatinya dari segi kualiti.

Berbanding dengan Daily Beast, media sosial di Malaysia yang paling mencabar ialah The Sarawak Reports yang diketuai oleh seorang wanita Inggeris bernama Clare Brown. Beliau kelahiran Sarawak ketika ibu bapanya bertugas di sana dalam zaman kolonial British.

Berkelulusan sarjana dari London School of Economics, Universiti London (dalam kalangan lima universiti terbaik di UK), beliau pernah menjadi jurnalis dengan British Broadcasting Corporation (BBC) dan berkahwin dengan adik Perdana Menteri UK, Gordon Brown.

Disebabkan Sarawak Reports ini melaporkan Pas menerima RM90 juta dari Umno/kepimpinan Umno, maka Pas/Datuk Seri Haji Hadi Awang mengambil tindakan mahkamah di London. Proses perbicaraan sudah bermula.

Pastinya selut dan sampah akan terdedah. Tiap-tiap pihak mengakui ia benar. Disebabkan tradisi mencari kebenaran di UK adalah sengit, maka banyak kes berakhir dengan kerajaan didapati bersalah sehingga PM melepas jawatan dan kerajaan terbubar.

Ada menteri dan MP terpaksa meletak jawatan kerana silap kecil membuat tuntutan perjalanan dan keraian. Perdana Menteri Harold Macmillan dan Menteri Perang John Profumo terkorban kerana skandal seks Christine Keeler walaupun kes itu belum dibicarakan di mahkamah.

Dengan kata-kata lain, masyarakat, media dan mahkamah di UK tidak memilih bulu: benar tetap benar; salah tetap salah.

Suka tidak suka, begitu ramai pengguna WhatsApp mendapat tahu bahawa transaksi wang berjuta-juta dolar AS dari Jho Low kepada seorang Arab dan orang Arab itu pula menghantar sebahagian besar wang itu kepada satu akaun di Malaysia.

Selebihnya dipegangnya. Di WhatsApp juga terdapat berita bahawa Jabatan Keadilan AS akan bentangkan liku-liku jenayah 1MDB di AS dalam mahkamah pada tahun hadapan, 2018.

Dari Singapura, berita panas ialah hukuman terhadap mereka yang salah mengendalikan transaksi wang 1MDB.

Selain media sosial, terdapat juga media ‘mulut ke mulut’: dipercayai sebuah bank besar dikenakan hukuman RM400 juta oleh Bank Negara kerana kesalahan transaksi wang berbilion ringgit.

Nampaknya PRU nanti adalah ‘temasya benar-salah’ segalanya itu. Jari-jari media sosial terdapat di mana-mana!