TAJUK di atas – Makang ikang sambil berjalang – seolah-olah dirujukkan kepada lidah orang Terengganu, tetapi ia bermaksud untuk menunjukkan bahawa lidah orang Bugis di Makasar, Sulawesi, adalah sama dengan lidah orang Terengganu pada sebutan yang berakhir dengan ‘n’.

Ini mengingatkan saya kepada apa yang ditulis oleh Abdullah Munshi apabila beliau singgah di Kuala Terengganu dalam tahun 1836 dalam pelayarannya ke Kelantan.

Ketika berjalan-jalan di sana, beliau terasa luar biasa apabila mendengar ‘ikan’ disebut ‘ikang’, ‘makan’ jadi ‘makang’ dan ‘jalan’ jadi ‘jalang’ dan seterusnya.

Beliau kagum mendengar orang Cina yang tinggal Kampung Cina (masih kekal hingga sekarang) bercakap seperti orang Melayu dengan sebutan begitu. 

Saya dapati sebutan orang Bugis begitu datangnya dari ‘irama’ bahasa daerah yang berpaut kepada bahasa Indonesia, maka di situlah letaknya perbezaan antara pelat Terengganu dengan pelat Makasar – yang juga dipanggil Ujung Pandang. Benar begitu. Namun perkataan ‘Pandang’ pada  nama itu pun sebenarnya ‘pandan’.

Pada suatu masa dulu ‘tanjung’ yang dipanggil ‘ujung’ itu dipenuhi pokok-pokok pandan. Berdasarkan persamaan sebutan itu, bolehlah diandaikan bahawa orang Terengganu dan sebahagian besar orang pantai timur Semenanjung mungkin berasal dari Bugis. 

Selain daripada di Terengganu (kecuali Besut dan utaranya), orang Dungun, Kemaman, mereka di kampung-kampung nelayan di pesisiran pantai Pahang dan Johor, seperti Beserah, Peramu, Kuala Pahang, Rompin, Endau, Mersing dan lain-lain lagi, bercakap dengan pelat dan sebutan begitu. Ini menebalkan andaian bahawa Bugislah moyang mereka.

Andaian ini bertambah kuat lagi apabila keluarga diraja Johor dan Selangor secara terang berbangga dengan hakikat keturunan mereka dari Bugis. Sultan Selangor kini, yang waktu itu selaku Raja Muda, pernah belayar merentas ‘tujuh lautan’ selaras dengan reputasi orang Bugis sebagai pelayar ulung.

Almarhum Sultan Iskandar Johor juga pernah melahirkan kebanggaan baginda daripada keturunan Bugis terutama pada darah kepahlawanan dan bakat pelayaran. 

Pada hari dan ketika yang baik saya berpeluang berkunjung ke sana, Makasar atau Ujung Pandang, pada minggu lepas dengan tujuan menjenguk tempat asal moyang saya, bernama Sakar, yang berdarah campuran Bugis-Arab. Sakar bererti ‘gula’ dalam bahasa Arab.

Beliau  belayar dari Makasar dan tiba di Kuala Terengganu lebih kurang pada masa kunjungan Abdullah Munshi. Anaknya dinamakan Maseh, kependekan untuk Muhammmad Shekh, yang kemudiannya mengasaskan sebuah kampung yang kini terkenal dengan nama Gong Pak Maseh, 5km dari bandar Kuala Terengganu. Menurut pemerian Abdullah itu, nyata sekali orang Bugis sudah lama berhijrah ke Terengganu. 

Memang terdapat satu komuniti besar Bugis-Arab yang bermastautin di tepi kota Makasar. Wajah mereka sudah kurang iras kearabannya. Ini mengingatkan saya kepada DKA (darah keturunan Arab) yang menjadi satu komuniti penting di Singapura, dengan nama keluarga  Al-Junid, Al-Sagoff, Al-Attas, Al-Habsyi dll. Jika di Singapura mereka makmur dalam perniagaan, begitu juga mereka di Makasar. 

Melihat tanjung yang terbuka kepada laut luas di hadapan kota Makasar itu, sedangkan pulau-pulau pula bertompokan di kejauhan, tidaklah menghairankan bagaimana orang Bugis seolah-olah ditarik-tarik untuk mengangkat sauh dan belayar membawa diri membelah laut, menempah kehidupan di mana-mana saja langit dijunjung.

Pelayar yang cekap merentas laut adalah laksana cowboy menunggang kuda merentas padang rumput dan gurun pasir yang luas, berserah di mana saja destinasinya, demi rezeki. 

Sungguhpun macam tidak pernah terdengar orang bercakap mengenai kunjungan ke Makasar, seperti kunjungan ke Bandung, Jakarta, Surabaya, Medan, Padang, Jogjakarta, namun dalam kapal terbang ternyata ramai anak muda Semenanjung yang pergi ke sana untuk berjumpa nenek, datuk dan saudara.

Ini mencerminkan kaitan luas antara Bugis dengan Melayu di sini. Dari kaitan itu, terdapat pula ramai pelajar Malaysia belajar di universiti di sana dalam jurusan perubatan. 

Menoleh kembali, rumpun Melayu patut bersikap seperti Portugis ratusan tahun dahulu. Ratusan tahun dahulu, orang Portugis tidak ramai berbanding dengan orang rumpun Melayu. Sehingga kini pun Portugal hanya mempunyai penduduk 10  juta. Ketika menakluki  Melaka pada 1511, jumlah mereka tidak sampai sejuta. Aset mereka ialah kebijaksanaan sebagai pelayar, tidak lebih daripada kebijaksanaan Bugis.