CERITA buruk tentang penyangakan wang di Bank Negara kira-kira 20 tahun dulu timbul semula apabila Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan atas inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyiasatnya.

Ini bererti luka lama berdarah kembali. Jika digunakan ungkapan orang kampung, kita tak habis-habis lagi – seperti dua keluarga berkelahi atas sesuatu sengketa. Lama-lama kemudian, apabila anak kecil sudah dewasa, ia diungkit-ungkitkan lagi untuk memberitahu pihak yang tidak tahu, siapa bersalah.

Ataupun kalau salah satu daripada dua keluarga itu melakukan kesilapan sekarang, pihak lain patut tahu bahawa keluarga yang satu lagi itu juga pernah melakukan kesilapan sama besar, malah lebih besar lagi. Kata-kata bernas Inggeris berbunyi begini: Melakukan kesilapan kedua tidak menjadikan kesilapan yang pertama itu betul.

Menurut kata seorang hakim kanan yang pernah dipinjamkan ke Kementerian Kewangan kerana penyangakan wang itu, jumlah yang terlibat ialah RM22 bilion. Fakta terbuka ialah pegawai yang secara langsung menyangakkan wang itu ialah Mohd Nor Yakcob, kini Tan Sri, ketika itu seorang pegawai kanan Bank Negara. Beliau kemudiannya menjadi menteri. Kini beliau ialah Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional Berhad, badan pelaburan kerajaan yang paling besar.

Mengekalkan dan melantik beliau ke jawatan terkini itu dilakukan oleh Perdana Menteri Najib sendiri. Jika Tun Mahathir diragukan kerana memulih dan menaikkan pangkat Nor Yakcop, PM Najib pula bersikap enteng dan mengekalkan keraguan ke atas Nor Yakcop itu.

Dipercayai RCI tidak dapat tidak akan menyiasat Nor Yakcop. Adakah Nor melakukan penyangakan itu atas arahan orang lain ataupun tidak ialah satu persoalan besar. Jika ya, adakah terdapat bukti arahan itu secara hitam putih. Sukar untuk mana-mana pihak yang membuat arahan itu mengaku, lebih-lebih lagi jika akibatnya akan membahayakan diri sendiri. Itulah risiko pihak yang menjalankan arahan, jika arahan benar-benar dibuat.

Dalam hal begini, kita sudah mengetahui bagaimana pegawai-pegawai tertentu dihukum kerana melaksanakan arahan ‘bos’nya. Mahkamah menjatuhkan hukuman; dan mahkamah juga membebaskan mereka selepas rayuan dibuat. Contohnya bukan satu, bukan dua; malah lebih daripada itu. Politik bukan seperti kes undang-undang yang sering ditamatkan dengan satu keputusan mahkamah. Politik boleh mencakup waktu yang lama, dulu dan sekarang; dan di mana-mana, baik di Arau, Perlis atau di Tawau, Sabah.

Jika yang lama diungkit, jelas sekali Tun Mahathir pernah menjadi Menteri Pelajaran, Menteri Perdagangan dan Menteri Dalam Negeri. Tidaklah diketahui apa yang berlaku dalam kementerian-kementerian itu terutama dalam peruntukan pembangunan, jika ia hendak dikorek.

Begitu juga Najib. Semua orang tahu bahawa beliau pernah menjadi Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (selepas Tim A lwn Tim B dalam Umno pada tahun 1987, beliau menjadi Menteri Belia dan Sukan saja, satu tindakan politik daripada PM Tun Mahathir); Menteri Pelajaran; dan Menteri Pertahanan. Suka tidak suka, banyak kejadian berlaku. Rentetannya terus wujud hingga sekarang. Adalah menjadi satu kebimbangan kalau-kalau penyiasatan RCI akan tempias kepada diri sendiri ketika mengetuai kementerian-kementerian yang disebutkan itu.

Bahawa Tun Mahathir menjadi sasaran RCI itu sudah diterima luas oleh semua, termasuk penyokong kerajaan.  

Akhir-akhir ini terbetik pula berita bahawa Perancis menghukum pegawai tertentu  sebab melakukan rasuah dalam penjualan kapal selam kepada Malaysia ketika Najib menjadi Menteri Pertahanan. Segalanya itu menjaminkan satu senario ‘telan air liur’ yang berleretan dan berlarutan dari sekarang hingga menjelang pilihan raya.

Ia bukan mencuci kain kotor di khalayak ramai, tetapi lebih berbentuk ‘telanjang-menelanjangi’. Justeru, ia memudahkan orang ramai mengetahui siapa lebih banyak kurap dan pekung. Jika dipandang dari segi amalan demokrasi, ia adalah sesuatu yang baik. Ini memudahkan rakyat membuat kesimpulan siapa patut dipilih dan disisih untuk memimpin mereka.

Dalam politik demokrasi matang di AS dan UK kini, setiap ketika di TV kita boleh mengikuti kata-kata nista daripada Presiden Trump dan PM May. Sebaliknya, mereka juga tidak terlepas menerima kata-kata begitu daripada lawan. Periuk mengatakan belanga hitam. Mengata parang, paku serpih; mengata orang, kita yang lebih. Yang lalu tetap berlalu. Yang baru akan terpalu.