DALAM Surah Ya Sin terdapat analogi berkenaan keagungan ALLAH, kehidupan, maya dan seluruh alam sebagai pegangan mulia yang tidak terhingga.

Analogi awal ialah kedegilan terhadap kebenaran di sisi ALLAH SWT dan mereka yang degil itu diibaratkan seseorang ada mata tetapi tidak melihat, ada telinga tidak dapat mendengar dan ada mulut tidak dapat menyebar kebenaran. Segalanya di sisi ALLAH SWT. Justeru mereka menerima hukuman ALLAH yang maha berkuasa.

Memandangkan aplikasi Surah Ya Sin tidak kira waktu dan tempat, dan ia relevan sepanjang masa, maka apa yang dapat kita ikuti di Parlimen selepas PRU14 membawa kita kepada maksud surah agung ini. Salah satu sebab besar BN jatuh ialah anggapan parti itu tidak lagi mendukung hasrat rakyat.

Ia hanya berhabis-habisan mempertahankan bekas PM DS Najib meskipun begitu besar rasuah dan salah guna kuasa dilakukan, itulah sekurang-kurangnya yang dikutuk oleh Tun Dr Mahathir yang kini menjadi PM sekali lagi.

Jabatan Keadilan AS, atau DOJ, memperincikan kaupan wang kotor yang banyaknya tidak terperi , melalui pelbagai cara dan muslihat, baik langsung atau tidak langsung dari 1MDB, tetapi bekas-bekas menteri yang kini menjadi pembangkang masih tetap mempertahankan bekas bos mereka.

Ada yang sanggup menjadi loyar buruk. Ungkapan ‘prima facie’ dan ‘seseorang itu tidak bersalah melainkan didapati bersalah’ digunakan macam orang lain tidak faham.

Berpolitik bererti penyebaran info agar rakyat mendapat tahu sesuatu perkara secara meluas. Prima facie bererti ‘pandangan pertama’. Tidakkah menurut ‘pandangan pertama’ rakyat sudah nampak beratus juta ringgit nilai intan berlian barang-barang mewah diambil dari kediaman mewah Najib dan isternya? Ia diberitakan di TV, radio, media utama dan media sosial sebagai satu khidmat kepada rakyat.

Lihat saja berita leluasa apabila seorang wanita kaya dibunuh ngeri bersama beberapa orang lagi tidak  lama dahulu. Kisah kejadian hodoh itu diulang-ulang di semua jenis media walaupun mahkamah belum menjatuhkan hukuman. Itulah amalan demokrasi malah amalan komunisme juga.

Apa yang mudarabkan rakyat ramai harus didedahkan sebagai teladan dan pengajaran. Kini peguam keparat dan para pekerjanya yang bersalah telah dihukum mati. Mahkamah ialah seperti sindiket peperiksaan: ia mengesahkan  keputusan.

Oleh itu kes Najib yang dijangka bermula Februari 2019 akan berupa satu peristiwa besar Malaysia dan dunia. Tidak selalu Malaysia menjadi tumpuan dunia. Untuk MP-MP yang mempersoalkan, kalau Najib terbukti bersalah, kenapa tidak dibicarakan lagi, perlu dihubayakan agar mereka  seperti rakyat ramai perlu bersabar. ‘Kesabaran itu sebahagian daripada iman’. 

BAYU MAYA 1958. Garam dan kehidupan.  Kata orang tua-tua, lebih lama hidup lebih banyak garam dimakan. Ertinya, lebih mendalam pengalaman. Saya nukilkan di sini apa yang berlaku 60 tahun dulu sebagai cermin kepada apa yang berlaku kini. Sungai Kuantan mengalir segar.

Jarak kualanya dari rumah kerajaan yang keluarga saya tinggal ialah sesuku batu (400 meter), di birai tebing. Benteng dengan birai sungai hanya empat depa. Bila air pasang, air naik separas benteng, sering pula melimpah. Bila melimpah, berkeliaranlah ketam nipah di bawah rumah.

Seorang pengurus bank yang menjadi jiran kami gemar berjalan-jalan mengharung air dalam keadaan begitu. Ketam dikaup sepenuh tin minyak tanah. Kami yang tidak gemar ketam tidak menjadi pesaingnya merebut ketam.

Suasana tanah air Malaya masih lagi digugat oleh ancaman komunis di bawah Chin Peng. Bapa saudara saya diberikan lesen besar menjual beras, gula dan gandum yang terkawal, bagi memastikan tiada orang kampung dari kaum apapun memberi  makanan kepada pengganas komunis.

Dua ratus meter dari rumah kami ialah Pelabuhan Kuantan dan bukan di tepi laut seperti sekarang. Di situlah juga letaknya Jabatan Kastam. Ia banyak menampung bijih timah dari Sungai Lembing, 30 batu di pedalaman, kepunyaan pelabur British. Kini lombong itu sudah lama ditutup.

Sering terdapat sebuah dua kapal kargo kuasa wap yang berulang-alik ke Singapura dan pelabuhan-pelabuhan kecil di sepanjang Pantai Timur. Lapan tahun terdahulu, Cek Minah dan anak angkatnya Natrah, gadis Belanda, belayar ke Singapura dari pelabuhan Kemaman, 38 batu dari Kuantan, dengan sebuah kapal yang selalu berlabuh di sungai Kuantan.

Pelayaran itu berupa permulaan kepada satu tragedi berdarah yang amat dahsyat. Mahkamah memulangkan Natrah kepada keluarga asalnya di Belanda.

Di hujung tahun, semasa menunggu keputusan LCE atau SRP pada cuti panjang, saya dan kawan sedarjah berbasikal ke Singapura. Di sana, saya menyaksikan Lee Kuan Yew berkempen. Beliau membawa kemenangan kepada parti PAP dalam PRU 1959.

Justeru beliau menjadi Ketua Menteri Singapura berkerajaan sendiri, sebelum merdeka. Berapa kerat yang masih ada sejak itu? Ya Rabbi.             

* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet