SEBUTAN Kuala Lumpur berbunyi menarik, sedangkan KL berbunyi glamor apabila di sebut di Boston, AS; Buenos Aires, Argentina; Moscow, Rusia; London, UK dan Istanbul, Turki. Satu ketika apabila menaiki keretapi Metro di Boston AS, saya berbual dengan seorang siswa Universiti Harvard dari Bangladesh. Beliau tersenyum kagum mengenangkan banyak nama kota Malaysia dipendekkan: KL, PJ, PD, KT, KB, JB, KK dan lain-lain lagi.

Sejak majalah Economist di London, melalui cawangannya Economist Intelligence Unit (EIU), membuat penilaian kota-kota besar dunia, KL kerap diletakkan di tengah-tengah dalam kalangan kira-kira 150 buah kota. Yang terakhir, KL di nombor 70. Walaupun KL yang kedua terbaik dalam kalangan kota-kota besar di Asia Tenggara, namun KL tidak pernah mengatasi Singapura. Memandangkan kebanyakan kota yang dinilaikan itu pernah saya kunjungi, saya terasa ada sesuatu yang tidak betul tentang cara dan kaedahnya.

Tidak kurang daripada akhbar terkemuka dunia, New York Times, yang menuduh bahawa EIU amat prejudis terhadap kota-kota yang bukan berbahasa Inggeris. Namun begitu, tidak ada sebuah pun kota AS yang mendapat kedudukan lebih baik daripada nombor 20, tidak juga New York, Chicago, Los Angeles dan Miami. Terpinga juga dibuatnya apabila Vienna, Melbourne, Vancouver dan beberapa buah kota di Kanada dan Australia yang lain dinilaikan 10 kota terbaik di dunia.

Melbourne ialah kota tuan rumah untuk pertandingan besar Tenis Terbuka Australia. Ia ada sungai bersih membelah kota yang tepiannya dijadikan tempat rekreasi. Selain dari itu tidak terdapat apa-apa yang luar biasa. Vienna pula selain mempunyai beberapa bekas istana yang jereguk dan pusat kota yang senang bermundar-mandir, cuacanya kadang-kadang terlalu sejuk.

Satu faktor besar yang memisahkan KL dengan kota-kota besar dunia ialah kekayaan alam dan kehijauan. Hutan hujan atau rain forest adalah mat romantis dalam imaginasi orang Barat. Di kota Oslo, Norway, sebuah hutan begini diwujudkan sebagai tarikan pelancong. Di hutan buatan itu terasa sebuah hutan yang bersungai dan batu-batan itu dituruni hujan setiap masa. Yang sebenarnya bukan begitu di sini. Kalau begitulah keadaan alam yang diminati mereka, maka bukit-bukau, gunung-ganang, sungai-sungai dan air terjun dalam lingkungan 20 meter – 60 km dari KL tentunya berupa tarikan kualiti hidup yang kuat.  

Ambil sebuah bukit junam (cliff) yang tinggi terletak 2 km dari Genting Sempah. Untuk tiba di situ kita kena melalui jalan lama Gombak ke Bentong. Dari cliff itu, kelihatan lalu-lalang di bawah sana di Lebuh Raya KL-Kuantan kecil sayu-sayup. Ertinya, ia cukup tinggi untuk peminat glider atau wau gayut terbang seperti di banyak kota di Eropah, AS dan Amerika Selatan. Malangnya, minat rekreasi kita hanya terbatas kepada bola, badminton, sepak takraw dan sikit-sikit berenang.

Jika cliff yang dekat dengan kampung Janda Baik ini bersuasana seperti di sana, kita boleh bayangkan bagaimana cerianya sekitar Genting Sempah ini. Ke sana sikit dari Bentong (50 km dari KL) terdapat air terjun bertangga-tangga yang boleh diselusuri dari satu tahap ke satu tahap, sama hebatnya dengan adventure menyongsong ‘air buih putih’ di sungai-sungai yang berjeram di Barat. Pergi pula ke arah Ulu Yam sebelum tiba di jalan lama KL-Ipoh, terdapat patah-patah sungai sedalam kepala lutut yang berair jernih, bersih dan dingin untuk mencelup badan bersantai lama-lama.

Berbalik ke KL, apa yang tidak ada? Empat daripada kompleks beli-belah terbesar di dunia terdapat di sini. Ya, New York dikatakan kota yang tidak pernah tidur. KL pun sama, tidak pernah tidur. Jenguk saja Bukit Bintang, Jalan P Ramlee-Sultan Ismail, Jalan Ampang dan lain-lain. Banyak kota besar dunia hanya kota semata-mata, tanpa anjung dan lambur kota seperti Singapura. KL sebaliknya beranjung dan berlambur yang diteratahkan oleh Gombak, Ulu Kelang, Sungai Buluh, Paya Jaras, Serendah, Segambut, Petaling, Subang, Cheras, Rawang dan lain-lain lagi. Dengan sendirinya cara hidup terkini di KL seperti di New York dan London disandingkan dengan cara hidup tradisi, bersinambungan, tidak berputus arang.

Penjagaan kesihatan pula ditampung oleh pelbagai jenis hospital – awam dan pakar – pusat kesihatan dan klinik, baik milik kerajaan atau swasta. Tiada penyakit yang tidak boleh dirawat.

Dalam sukan dan rekreasi, KL ada banyak kemudahan dan stadium bola, tenis, badminton, golf, skuasy, hoki, berenang, olahraga dan lain-lain. Dalam pendidikan pula, KL menampung hampir 200 universiti kecil-besar termasuk cawangan universiti luar negeri.

Akses ke segala itu dipermudahkan lagi dengan siapnya siratan LRT dan MRT.

Mereka yang pernah tinggal di luar negeri apabila pulang, berkata: "Tak ada yang boleh lawan KL."