KERETA kelihatan berasak-asak di mana-mana saja di Malaysia. Disebabkan banyaknya kereta di jalan, saya sering mengambil masa antara 40 minit hingga sejam untuk tiba dari tengah kota Kuala Lumpur (KL) ke tempat tinggal saya kini, Kota Damansara.

Jarak antara kedua-duanya ialah kira-kira 16 km atau 10 batu. Pada awal pagi Ahad, sebelum jam 7, saya hanya mengambil masa 10-15 minit untuk tiba di tempat saya berekreasi di Jalan Tun Razak. Tentunya kerana kurang jumlah kereta di jalan.

Kota Damansara ialah kota tersendiri yang baharu yang bergayut pada KL dalam ehwal ekonomi. Kebanyakan penduduknya berpindah ke sini sejak 10 tahun dahulu. Mereka tinggal di rumah-rumah banglo, semi-D, teres dan flat. Dengan kata-kata lain, komunitinya terdiri daripada pelbagai manusia. Pemilikan dua buah kereta dan lebih adalah pemandangan biasa apabila kita menjenguk halaman-halaman rumah.

Di flat-flat kos rendah yang tingginya tidak kurang 10 tingkat, kereta-kereta terletak macam ikan sardin di tempat-tempat lapang di sekitarnya. Banyak pula kereta membuak ke tepi jalan-jalan awam di sebelahnya.

Segalanya itu, dengan menggunakan istilah Indonesia, menjadikan KL kota macet. Tidak berapa lama dulu, saya memandu ke Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Gua Musang, Kuala Lipis, Raub, Bentong dan balik ke KL, satu pusingan sejauh 750 batu atau 1,250km.

Pastinya tiga kota terbesar dalam lingkaran itu ialah Kuantan, Kuala Terengganu dan Kota Bharu. Ketiga-tiganya ialah kota macet. Membelah kota-kota itu seperti mengharung Jalan Bukit Bintang, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Ampang di KL; bukan lagi bak ‘berjalan di taman’ seperti beberapa tahun dulu.

Selepas pemerian begitu, sesuai saya sebutkan bahawa memandu di Kuala Lumpur adalah lebih susah daripada memandu di kota New York, London, Paris, Chicago, Brussels dan Amsterdam. Kesimpulan ini datangnya daripada pengalaman peribadi. Kesukaan saya memandu kereta samalah seperti orang yang gemar menunggang kuda.

Kenapa boleh menjadi begitu macet dan sesak? Jawabnya, terdapat lebih kurang 14 juta kereta di Malaysia berbanding dengan penduduk sejumlah 33 juta. Ini bererti terdapat hampir 4 kereta dalam 10 orang penduduk Malaysia.

Di Jepun, kadarnya ialah 3 dalam 10, atau 40 juta kereta. Di AS, lebih sedikit 4 dalam 10, atau 140 juta kereta. Maklumat ini datangnya dari sebuah penerbitan yang diterbitkan oleh majalah mingguan Economist dalam bahasa Inggeris yang berwibawa, diterbitkan di London.  

Kadar pemilikan kereta di Malaysia bukan saja mengagumkan, malah amat mengancam, memandangkan tidak sampai 10 peratus daripada jumlah keluasan tanah di seluruh negara yang dipakai (untuk kota dan kampung, pertanian, pengangkutan dll). Jika pemilikan kereta ini berlaku pada 1984, ia bererti sama banyak dengan jumlah penduduk. Apabila saya diberitahu oleh seorang pegawai negara China ketika berkunjung Presidennya pada 1991, bahawa penduduk negara itu bertambah 16 juta setahun, saya menyampuk secara humor bahawa China mendapat sebuah Malaysia setiap tahun. Memang pada tahun itu jumlah penduduk Malaysia ialah 16 juta!

Masih diingati oleh sebahagian besar rakyat Malaysia bahawa sebelum tahun-tahun 1980-an, pemilikan kereta dianggap sebagai satu kemewahan kerana sebahagian besar rakyat tidak mampu memilikinya. Kini berkereta ialah satu keperluan, meskipun masih ramai yang belum mampu memilikinya. Jika tidak kereta baharu, tentunya kereta terpakai memadai, sedangkan harganya amat murah berbanding dengan wang yang ada dalam poket. Soalnya, adakah rakyat Malaysia sudah cukup kaya jika diukur pada pemilikan kereta? Tentunya tidak. Jawapan ini dikaitkan dengan pemilikan rumah.

Mereka yang mampu, membeli rumah selesa; yang kurang mampu membeli rumah sepadannya; dan yang tidak mampu, terus menyewa sehingga cukup mampu untuk membeli rumah. Di samping tu, kemampuan untuk memenuhi keperluan hidup yang utama, iaitu makan minum, boleh dikatakan tidak berada dalam keadaan berbahaya. Kesimpulan yang boleh dibuat ialah pendapatan kebanyakan rakyat hanya cukup untuk memiliki tempat tinggal, memiliki kereta (atau motor) dan makan minum. Dengan itu mereka kurang atau tiada lebihan untuk tujuan-tujuan lain.

Pada keseluruhannya, kemampuan rakyat membeli kereta dan rumah tidak memadai untuk dijadikan ukuran kemampuan hidup mereka. Rakyat memerlukan lebih daripada itu jika mereka benar-benar mahu menghayati gaya hidup sebuah negara maju menjelang 2020 seperti yang diuar-uarkan begitu lama.

* Tan Sri Adam Kadir, mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet