TINDAKAN sinis sembilan ahli Lembaga Pengarah Khazanah, termasuk Pengarah Urusannya Tan Sri Azman Mokhtar, meletak jawatan ramai-ramai ditampar segera oleh PM Tun Mahathir dengan menerimanya serta-merta.

Tun M memberitahu dunia, termasuk temu bual dengan CNN, bahawa Azman dan Khazanah melakukan tindakan jelik, antaranya membeli rumah-rumah yang bukan kerja badan itu. Lebih meloyakan Khazanah berniaga seluar dalam dan coli yang rugi RM80 juta.

Lantas DS Najib menafikan dan membela Khazanah. Penafian begitu senasib dengan penggunaan ‘fitnah’. Tidak kering gusi beliau kena fitnah. 1MDB, kapal mewah, tas tangan dan jam DS Rosmah berharga ratusan juta ringgit, apartmen mewah di kota New York, mansion dekat Hollywood, wang RM2.6 bilion, ratusan juta wang tunai dalam miliknya, wang keluar masuk 1MDB di Switzerland, Luxembourg, Singapura, Arab Saudi dan lain-lain lagi, semuanya fitnah. Kempen beliau untuk PRU14 bergema dengan fitnah.

Pada malam 9 Mei setelah BN kalah, beliau berdondang fitnah bagaikan enggan menerima Pakatan Harapan sebagai pemenang. PH hanya ikatan parti-parti tersendiri, sedangkan pemenang kerusi terbanyak ialah Umno. Agong akan memutuskan siapa membentuk kerajaan, kata DS Naib.

Jika ada pihak yang syak tersemi satu ura-ura merebut kuasa, maka syak itu bukan kosong. BN jika (ulang JIKA) diserahkan kuasa oleh Agong, mungkin berkerajaan darurat kerana ia kurang kerusi, seperti yang pernah berlaku di banyak negara. Di Malaysia sendiri selepas pilihan raya tahun 1969, wujud MTN (Majlis Tindakan Negara) di bawah Tun Razak. Perbezaannya ialah: waktu itu BN menang nipis. Kini, BN kalah teruk.

Dunia kini sudah tahu Najib sudah dihadapkan di mahkamah atas tuduhan korapsi dan salah guna kuasa. Kini kerana dibiarkan bebas, beliau menyanyikan lagu ‘tidak ada bukti’ terhadap tuduhan-tuduhan yang beliau hadapi.

Segalanya ini adalah satu taktik undang-undang yang mungkin menarik apa-apa jawapan daripada pihak pendakwa, termasuk Tun M sendiri. Sebarang jawapan yang boleh melemahkan tuduhan terhadap Najib itu akan dikumpulkan untuk diluahkan dalam mahkamah sebagai prejudis atau prasangka.

Sebagai manusia biasa, Najib pasti takut pada prospek beliau akan terkurung bertahun-tahun dalam penjara seperti yang sudah sedia berlaku kepada beberapa presiden dan perdana menteri jauh dan dekat di seluruh dunia. Kebanyakannya, kalau bukan semuanya, adalah kerana rasuah dan salah guna kuasa.

Agak mengagumkan, Najib memberi senyum yang sama dalam semua suasana, baik ceria, tertekan, galak, sedih, terancam, tegang dan apa saja.

Kata ilmu psikologi, jika ada sesiapa yang sentiasa senyum dalam suasana yang lazimnya disedihi orang, dan sentiasa marah dalam suasana yang lazimnya diceriai orang, maka orang itu mempunyai asas untuk diuji atas kemungkinan ia ada jejasan kejiwaan. Sebaliknya, Najib tidak pula begitu. Beliau tetap dengan senyumnya, waimma apa suasana.

Sosma Giling. Pada 20 Julai lalu, saya menerima kiriman WhatsApp kononnya salinan surat bertanda tangan Datuk Hasanah Abd Majid, Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri Malaysia, bertarikh 4 Mei 2018, 5 hari sebelum PRU14, kepada Gina Haspel, Pengarah (designate) CIA, di Langley, USA.

Daripada hemah saya, surat itu nampaknya tulen. Umumnya bahasa Inggerisnya baik, selaras dengan yang boleh diterima sebagai surat rasmi kerajaan Malaysia kepada pihak kerajaan USA.

Jika benar, surat itu menggerunkan. Tun M disifatkan anti-Barat, anti Yahudi, anti-Amerika dalam kehendak AS di rantau ini, anti hak asasi, manusia, kuku besi dll., sedangkan Najib demokratik,  sederhana, disayangi rakyat, membebaskan 700,000 Rohingya, rakan setia AS, serta pelbagai kecemerlangan lagi. 'Segala yang baik ini akan terhapus jika Tun M berkuasa semula', kata surat itu. 'Justeru tolonglah DS Najib apa saja memenangi PRU14,' rayu surat itu. 

CIA sudah banyak menjatuhkan dan menggantikan kerajaan asing dalam sejarahnya. Surat itu mungkin boleh ditakrifkan sebagai kes keselamatan negara di bawah Sosma. Inilah peluang PH untuk memberi peluang kepada Najib merasa penangan Sosma yang dikaryakannya: diigap 24 jam; dikuti 28 hari penjara; dibicarakan; boleh ditahan jangka berganti jangka, sehingga tamat semua proses pengadilan.

Semua jenayah besar dunia bermula dengan penafian. Namun Najib tetap tidak hilang senyumannya.

* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet