‘MUSANG Berbulu Ayam’ ialah ungkapan yang bukan berasal dari lidah Melayu tetapi ia dicetuskan oleh perumpamaan Inggeris: the wolf in the sheespskin atau ‘serigala berbulu biri-biri’. Ia diogah Khairy dalam dentuman ‘berita palsu’ dan ‘akta pencegahan berita palsu’. ‘Musang’ ditujukan kepada Tun Dr Mahathir. Jika Tun Dr M terbalikkan dan memanggil Khairy ‘serigala’, bagaimana?

Apabila musang sebagai pemangsa ayam menyamar sebagai ayam, jawabnya tidak ada reban yang terselamat. Pasti terdengar ayam terkiuk-kiuk sepanjang malam. Hanya bulu dan darah saja yang tinggal pada pagi esoknya.

Walaupun ia satu perumpamaan, kepalsuan musang itu menyamar sebagai ayam tidak setepat serigala menyamar biri-biri. Musang ialah binatang liar jenis maging dan maun, berkaki empat, boleh memanjat di pohon dan berlari di tanah. Itukah ciri-ciri mantan PM itu?

Berbeza daripada musang dengan ayam, serigala sukar dicam oleh penjaga biri-biri kerana bentuk yang satu hampir sama dengan yang satu lagi. Muka dan kepala hampir sama. Satu bertanduk kecil dan satu lagi bertelinga besar. Warna kulit yang putih dan keputihan terdapat pada kedua-duanya.

Jika ada perbezaan, ia hanya pada saiz. Umumnya biri-biri kelihatan lebih berisi, berbulu tebal, sedangkan serigala lebih langsing dan lidahnya terjulur-julur. Oleh itu serigala dan biri-biri kelihatan seakan-akan kalaupun serigala tidak memakai kulit biri-biri.

Sebenarnya apa yang diperkatakan itu berlegar pada erti kepalsuan. Akta berita palsu mencerminkan satu masalah besar yang dihadapi kerajaan. Terbit dari apa yang dianggap berita palsu itu ialah tindakan palsu.

Tidak perlu diselak jauh, gara-gara berita palsu ini timbul setelah Presiden Trump mempopularkannya ketika beliau menuduh banyak stesen TV di AS menyiarkan berita palsu terhadapnya.

Sungguhpun begitu, beliau tidak bertindak menggubal akta anti berita palsu. Beliau hanya berucap berulang-ulang untuk menumpulkan apa yang beliau anggap palsu. Untuk mengelaknya, beliau berhubung terus dengan rakyat melalui internet, Twitter.

Dengan itu ‘penjaga pintu’ di media tidak boleh memilih dan meminda apa yang hendak disiar, seperti juga yang dilakukan oleh media sosial.

Akta-akta sedia ada untuk membanteras kepalsuan seperti memfitnah, menjatuhkan maruah, berbohong untuk memperdaya dan lain-lain kekal berkuat kuasa untuk semua rakyat bertindak mencari kebenaran melalui mahkamah. Penggunaan akta ialah satu cara bertindak untuk membetulkan sesuatu.

Trump menggunakan cara sendiri untuk melangkau media dan melawan musuh politiknya. Setakat ini, baik apa buruk baiknya, Trump masih belum terjejas, malah lawan-lawannya yang terjejas.

Berbalik kepada Khairy dek musang dan ayamnya, beliau sebagai manusia dan aktivis politik tentunya tidak terlepas daripada implikasi ‘musang dan ayam’ itu.

Suatu ketika saya sebagai ahli Lembaga Disiplin Umno tersangat bimbang apabila kedapatan di TV Khairy lantang melaung agar gerakan pemuda Umno menyokong Datuk Hishamuddin Hussein sebagai Naib Presiden Umno selepas beliau, Khairy, diumumkan sebagai pemenang dalam persaingan jawatan Ketua Pemuda Umno.

Kebimbangan itu wujud kerana mengenangkan Tan Sri Isa Samad dan Datuk Seri Ali Rastam pernah mengalami nasib amat malang dalam pemilihan penting Umno.

Isa dibatalkan pemilihannya sebagai Naib Presiden Umno, justeru hilang jawatan menteri, sedangkan Ali dibatalkan pencalonannya untuk jawatan Timbalan Presiden Umno. Kedua-dua hukuman berlaku atas alasan mereka melanggar Tataetika 5.1 Perlembagaan Umno.

Sokongan terbuka Khairy kepada Hishamuddin melanggar Tatetika 5.5 Perlembagaan Umno, maka beliau ditakuti akan mengalami nasib yang sama seperti Isa dan Ali itu.

Namun proses pendisiplinan berikutnya menyaksikan Khairy beruntung dan bernasib baik, tiada tindakan diambil. Jika ‘nasib baik’ itu tidak ‘melawat’ Khairy, kita tidak tahu di mana Khairy berada sekarang.

Tun Dr Mahathir memegang isu 1MDB laksana pacat menyedut darah di betis – tidak lepas-lepas. Kita tidak perlu mengulangi tindakan pelbagai negara dan media terhadap 1MDB. Pun begitu, Khairy tentu tahu mutu Economist, majalah ekonomi dan politik terulung di dunia, di mana beliau dikatakan pernah bertugas kira-kira 20 tahun dulu.

Jika beliau menerima kejituan Economist dan bertindak lain daripada yang dilakukan sekarang, maka Khairy tentulah melakukan perjudian besar dalam politiknya. ‘Musang  dan ayam’ masih berkejaran. Musang takut dibunuh orang. Ayam takut dibaham musang.

* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet