"SEMUANYA kerana minyak," kata seorang wanita Iran kepada isteri saya beberapa tahun dulu di lobi sebuah hotel di Tehran. Beliau berkelubung liku, kain berwarna hitam. Hanya mukanya yang nampak. Penggunaan bahasa Inggerisnya adalah baik.

Suasana ketika itu amatlah tegang, seolah-olah AS dan UK serta sekutu Barat lain yang pro-Israel akan mengebom Iran begitu teruk hingga teranjak ke zaman batu.

Begitulah bencinya mereka terhadap Iran, meskipun kebencian itu tidak dikongsi oleh semua rakyat mereka. Hidup pada usia muda ketika segala kepanasan itu memuncak membuatkan saya begitu prihatin terhadap apa yang dilakukan oleh Barat kepada orang Arab dan Iran. Umpamanya, apabila orang dari jauh datang bersengketa dengan kita di halaman kita, adakah betul dikatakan pendatang itu yang bersikap wajar dan kita pihak agresif?

Adakah mereka betul kerana hendak pawah durian kita dengan harga murah dan menjualnya dengan harga mahal, sedangkan kita ternafi dan makan sisa saja?

Jawapan kepada dua soalan andaian itu boleh menolong kita memahami apa yang berlaku di bumi Arab kini. Ambil tiga negara sebagai contoh: Mesir, Iran dan Saudi.

Kolonialis British membendung Mesir begitu lama kerana keuntungan daripada Terusan Suez dan pengaruh Mesir ke atas negara-negara Arab lain. Apabila King Farouk dijatuhkan pada tahun 1952, satu era baharu terbuka, dan British terpatah kolonialismenya di situ. Kemarahan UK dan AS tidak terhingga.

Tahun berikutnya, 1953, PM Iran Mussadeg yang dipilih secara demokrasi selepas Perang Dunia II ditumbangkan oleh AS melalui CIA, dan Raja Reza Pahlavi ditegakkan di takhta untuk dimanipulasikan walaupun ditentang sebahagian besar rakyat.

Tindakan itu dimungkinkan oleh wang rasuah daripada AS; membeli ahli-ahli Parlimen, pegawai-pegawai askar dan mengupah sejumlah orang ramai untuk menunjuk perasaan.

Ia memudahkan sekumpulan jeneral merampas kuasa dan memampatkan Reza. Bagaimanapun, peristiwa 1953 itu dianggap sebagai menangguhkan kejadian yang tidak boleh dielakkan kepada tahun 1979, apabila Raja Reza dijatuhkan secara mutlak lalu mati dalam buangan.

Setelah tragedi 9/11, atau keranapan menara kembar World Trade Center di New York tahun 2001, semua jari menuding ke arah Arab Saudi kerana perancang dan pelaku tragedi itu adalah terdiri kebanyakannya, kalau bukan semuanya, daripada rakyat Saudi Arabia.

Demi niat serong, AS dan Barat menyalahkan Iraq. Sebabnya senang saja. Presidennya, Saddam Hussein, enggan tunduk kepada mereka dalam hal minyak, walaupun Saddam pernah menurut telunjuk mereka berperang dengan Iran tidak berapa lama sebelum itu.  

Dengan latar belakang begitu, AS, UK dan Barat berpura-pura tidak bersalah kepada mereka di bumi Arab itu. Salah satu kepura-puraan itu terpancar dalam tragedi ini.

Pada tahun 1988, pesawat Boeing A300 milik Iran Air ditembak jatuh oleh kapal perang Angkatan Laut AS di udara Teluk Iran, mengorbankan 280 orang awam Iran yang tidak berdosa.

Kapten kapal itu, ketika dibicara, mengaku beliau menembak pesawat itu untuk menguji keberkesanan senjata yang baru dipasang di kapal perang itu.   

Sebenarnya laungan Iran memiliki bom atom ialah untuk dijadikan alasan jika Iran benar-benar diserang kelak, seperti nasib Iraq yang dibohongi memiliki bom kimia.

Kehancuran Iraq akibat pembohongan itu tiada berkesudahan hingga sekarang. Untuk itu, bakal Presiden Trump kini telah mencemuh CIA. Beliau mengutuk CIA begitu apabila beliau sendiri menjadi mangsa pembohongan CIA.

Berbalik kepada Mesir, Saudi Arabia dan Iran, apa yang penting ialah soal amanah dan integriti.

Mesir menggulung balik kemenangan demokrasi yang diperjuangkan begitu lama apabila tentera di bawah Jeneral Al-Sissi merampas kuasa. AS merestuinya dengan menghulur bilion-bilion dolar setahun. Saudi Arabia pula sentiasa dalam ketakutan. Ia tidak popular dengan rakyatnya.

Ia berpaut kepada AS dan Barat demi kewangan dan persenjataan. Tidak cukup itu semua, Iran pula didakyahkan sebagai bukan Islam yang harus dimusnahkan. Itulah akibat ketakutan.  

Kini AS dan UK secara terang mengaku hendak menghancurkan Syria dan membentuknya semula menurut acuan mereka demi keselamatan Israel dan hasil mahsul minyak dan gas yang bernilai trilion dolar. (Angka trilion ada 12 sifar: 1 trilion = 1,000,000,000,000).
 

* Tan Sri Adam A. Kadir, mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet