KEKEJAMAN Kim Jong-un di Korea Utara mengingatkan kita kepada King Henry Vlll di England. Juga kepada pelbagai ketua negara dengan pelbagai gelaran dalam sejarah. Semasa dan selepas Perang Dunia Kedua, diktator-diktator di Amerika Selatan, seperti Argentina dan Brazil, menjelang ke minda kita.

Begitu juga Hitler dan Mussolini. Shah Pahlavi yang mengetuai Iran pada 1941 hingga 1979, selepas bapanya Reza Pahlavi diturunkan dari takhta yang diberikan oleh British-AS pada 1924, juga tidak kurang kekejamannya. Beribu-ribu orang dibunuh atas aneka tuduhan yang kebanyakannya tidak berasas. 

Presiden Bush kedua menyerang Iraq, 16 tahun dulu atas alasan palsu dan bertentangan dengan keputusan Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu, mengakibatkan lebih sejuta orang terbunuh. Jong-un pula berkuasa di Korea Utara pada usia 27 tahun, selepas bapanya meninggal pada 2011.

Sejak itu beliau berada dalam terancam. Sehingga kini, beliau telah membunuh 400 orang ketua-ketua askar, pegawai-pegawai tinggi, sanak-saudara termasuk abangnya yang diracun di Kuala Lumpur baru-baru ini. Ini belum dikira pembunuhan tidak langsung oleh polis dan tentera atas alasan mereka anti-negara.  

King Henry Vlll pula menaiki takhta pada usia 18 tahun pada 1509, dua tahun sebelum Melaka jatuh ke tangan Portugis. Sejarah bagaikan terkatup terhadap kekejaman Portugis pasca kejatuhan Melaka itu pada 1511.

Banyak yang dibunuh. Wanita dirogol. Anak luar nikah membesar dan jadi Kristian. Titisan keturunannya begitu nyata hingga sekarang. 

Kebeliaan King Henry Vlll terbukti pada ketangkasan bersukan dan menunggang serta berekreasi kuda. Namun segala itu bertukar kepada nafsu-nafsi pengejaran wanita cantik. Perkahwinan pertama baginda dengan Catherine berlaku sebaik saja baginda menjadi King pada usia 18 tahun, isterinya 24 tahun.

Disebabkan ketiadaan anak lelaki, Henry Vlll hendak menceraikan Catherine selepas 24 tahun berkahwin untuk mengahwini Anne Boleyn. 

Setelah kekandasan menteri utama baginda mendapatkan kebenaran Pope untuk maksud itu, baginda terus memutuskan hubungan dengan Roman Catholic dan menubuhkan mazhab Church of England yang diketuai baginda.

Sebagai isteri kedua, Anne melahirkan Elizabeth (bakal Queen Elizabeth I). Baginda kemudiannya naik jemu dengan Anne. Baginda sudah jatuh hati pada Jane Seymour. Lalu Anne dihukum pancung atas alasan Anne bermukah dengan pegawai istana. 

Takdir menentukan, Jane meninggal selepas melahirkan anak lelaki seperti yang diidamkan baginda. Buat pertama kali King Henry Vlll benar-benar gundah-gulana. Perkahwinannya dengan seorang yang bernama Anne juga selepas itu terbukti amat dahsyat. Baginda menceraikan Anne kerana kononnya baginda dari awal lagi tidak berkenan dengan perkahwinan mereka. 

Isteri baginda seterusnya juga bernama Catherine seperti isteri pertama. Catherine ini berusia 18 tahun, baginda 49 tahun. Dek kecantikannya, Catherine pernah ada kekasih sebelum berkahwin dengan baginda.

Ketika menjadi isteri, Catherine berasmara dengan pegawai istana. Catherine dipancung kepalanya pada usia 20, dua tahun selepas berkahwin. 

Baginda berkahwin dengan seorang Katherine lagi setahun kemudian. Pada usia 54, baginda tersangat uzur mengalami pelbagai penyakit. Katherine pandai menjaga baginda. Namun naluri kekejaman baginda timbul semula.

Baginda mengarahkan Katherine dipancung kerana nasihatnya agar baginda memerintah secara lembut tidak disukai baginda. Katherine terselamat sebab baginda membatalkan arahan itu. 

Selepas kandas dalam satu serangan ke atas Perancis, baginda menemui ajal selepas pulang. Atas restu baginda semasa masih hidup, Katherine menjadi pemangku Raja selepas baginda meninggal. Apa yang berlaku kepada England selepas Henry Vlll menunjukkan bahawa England tidak ada pilihan melainkan monarki diteruskan. 

Maka kekallah sistem monarki di England hingga sekarang, walaupun sudah berubah kepada sistem berperlembagaan.

Perubahan ini berlaku ekoran daripada penyelesaian satu pertelingkahan besar antara rakyat Inggeris dengan King Charles l yang menyaksikan kepala baginda dipancung. Justeru sistem monarki yang masih ada di dunia kini meraih ilham daripada pengalaman England.

Kerencongan daripada pengalaman itu mengalu-alukan keruntuhan seperti berlaku di banyak negara Eropah, di bumi Arab, Afrika, India dan sesetengah tempat di Asia (China, Indonesia, Vietnam, Nepal dan lain-lain). Tersirat di dalamnya faktor kekejaman yang memberikan pengajaran buruk dan baik.